Fazril Razif

Fazril Razif

Sitting Editor: Ardi Idewani
Pakaian: UNIQLO
Gambar: Edmund Lee
Solekan: Emmy Agung
Rambut: Fendi Sani
Arahan Seni: Merrissa Emilda
Penata Gaya: Azreezal Hafidz & Ardi Idewani
Video: Jordi Harris, Ryan Mohamad & Ashura Hakim

FAZRIL RAZIF – PENSYARAH

1. Siapakah di sebalik nama Fazril Razif dan apa yang kamu lakukan dalam hidup dan karier?
Saya anak sulung kepada lima adik beradik, lahir dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Pada umur 13 tahun, ibu bapa saya memutuskan untuk menghantar saya ke Australia untuk belajar kerana mereka ingin saya mempunyai pendidikan berasaskan bahasa Inggeris. Di universiti, saya menerima ijazah sarjana muda berganda dalam bidang Sains Bioperubatan dan Sains Forensik. Kemudian, saya selesai melanjutkan pelajaran PhD dalam bidang biologi sintetik pada umur 26 tahun. Saya kembali ke tanah air pada 2014, dan kini bekerja sebagai pensyarah kanan di sebuah universiti awam.

2. Apakah kelebihan menjadi pensyarah?
Kelebihan yang paling saya hargai sebagai pensyarah adalah interaksi bersama pelajar. Saya rasa amat rendah hati dengan segala pengalaman yang diraih sebagai seorang mentor kerana saya diberi peluang untuk mengajar generasi muda Malaysia. Saya sentiasa mengingati pensyarah-pensyarah yang pernah mengajar saya kerana mereka telah meninggalkan kesan positif yang berkekalan sepanjang zaman formatif (zaman paling mencabar saya). Saya rasa girang mendengar pelbagai pandangan bertentangan dari perspektif mereka, dan saya sering mencabar pandangan itu untuk memastikan bahawa mereka melalui kehidupan dengan fikiran terbuka.

3. Selain daripada pensyarah, apakah bidang lain yang mahu diceburi? Mengapa?
Sejak kecil lagi saya mempunyai sisi kreatif dalam diri saya. Jika saya tidak membuat keputusan untuk menceburi dalam bidang sains perubatan, saya ingin menjadi seorang juruterbang atau arkitek. Saya mempunyai minat dalam seni bina dan konsep-konsep di sebalik reka bentuknya. Sejujurnya, saya ingin membuat sesuatu yang lebih kreatif, tetapi saya tidak pasti jika ada sesiapa yang ingin memberi saya peluang untuk berbuat demikian. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya telah pun mengorak langkah ke dalam dunia kreatif melalui pelbagai jenis initiatif termasuklah menjadi seorang emcee, editor surat khabar dan penyelaras program jangkauan sains.

4. Pencapaian terbesar sepanjang hidup?
Selain daripada menggenggam ijazah PhD, pencapaian terbesar saya setakat ini ialah berada dalam lingkungan yang selesa secara fizikal dan mental. Di bangku sekolah, berat badan saya agak berlebihan. Di samping itu, saya juga mengalami kecelaruan keresahan dan telah mengalami kemurungan beberapa tahun lepas. Oleh itu, saya hilang keyakinan diri. Ia bukanlah proses yang mudah untuk diatasi dan saya masih perlu membuat banyak kerja dalam diri saya sendiri.  Namun begitu, saya bersyukur kerana dapat menyedari bahawa saya mempunyai masalah yang perlu diatasi dan itulah sesuatu yang sangat berharga.

5. Siapakah Fazril Razif 10 tahun ke hadapan?
Saya ingin bahagia dalam semua aspek kehidupan saya termasuklah kewangan, kehidupan kerja, emosi dan fizikal. Itulah yang saya benar-benar mahu. Perjalanan hidup saya setakat ini adalah untuk meraih sebarang peluang yang diberikan. Pasti ada halangan dalam setiap cabaran, jika ia tidak berhasil, itu bukanlah pengakhiran. Sekurang-kurangnya saya boleh beritahu pada diri sendiri yang saya telah mencuba sedaya upaya.

Fazril Razif

6. Apakah yang kamu mahu capai pada 2020 ini?

“Satu perkara yang saya mahu capai tahun ini adalah untuk menjadi lebih yakin dengan keputusan besar yang saya akan buat. Contohnya, saya sering rasa gelisah untuk mencuba pengalaman yang baharu, mungkin kerana umur saya semakin tua”. Jelasnya disulam tawa. “Rasa resah untuk melangkah keluar dari zon selesa.”

7. Apakah keistimewaan kamu daripada orang lain?
Semua orang istimewa dalam cara mereka sendiri. Saya sebenarnya seorang yang mementingkan kesempurnaan dan saya ingin memastikan bahawa tugas yang diberikan kepada saya itu dibuat dengan sempurna 110 peratus. Saya meletakkan banyak idea dan usaha dalam apa sahaja yang saya lakukan, sehingga saya mahu lihat senyuman kegembiraan di wajah orang. Satu-satunya ciri keperibadian saya yang agak aneh ialah saya mempunyai sifat OCD membersihkan rumah. Saya memang suka aktiviti ini.

8. Dunia semakin parah dengan pencemaran, apakah sumbangan kamu terhadap alam sekitar?
Kesan pencemaran dan pemanasan global pastinya menjadi satu fenomena yang sangat ketara kebelakangan ini. Saya sendiri cuba mengurangkan penggunaan plastik dalam kehidupan seharian. Selain itu, saya turut berusaha untuk mengurangkan penggunaan elektrik di rumah saya. Saya juga suka membeli-belah di kedai menggunakan beg terpakai untuk mengurangkan pembaziran. Sebagai balasan, saya juga mendermakan banyak pakaian lama saya kepada badan amal dengan harapan saya dapat membantu orang lain.

9. Bagaimana cara Fazril melepaskan tekanan?
Bagi saya, bersenam adalah sangat terapeutik, ia membolehkan saya melepaskan semua tekanan pada hujung hari. Saya menyedari bahawa saya menjadi resah jika saya tidak pergi ke gim. Saya turut suka mengambil masa untuk menenangkan fikiran biarpun memejam mata selama lima minit di pejabat.

10. Kesan Instagram terhadap kehidupan Fazril Razif. Apakah yang perlu dielakkan?
Instagram (IG) mengajar banyak tentang diri saya. Saya menggunakan Instagram sebagai outlet kreatif. Saya memang gemar mengambil gambar, terutamanya bangunan dan pemandangan. IG memang unik secara psikologi dalam cara orang memproses dan memahami imej yang dilihat. Sisi negatif IG tentunya penyebaran berita sensasi palsu.

Perkara-perkara yang saya rasa perlu dielakkan adalah terlebih berkongsi hidup kamu dengan dunia. Tidak mengapa menyimpan beberapa perkara yang perlu disimpan secara peribadi. Di samping itu, janganlah ambil sesuatu perkara terlalu serius. Halaman IG kamu sepatutnya mengenai apa yang membuatkan kamu gembira. Akhir sekali, janganlah menyebar ungkapan benci.

What do you think?

Your email address will not be published. Required fields are marked *

No Comments Yet.

Previous
Fendi Paperbag Dalam Material Kulit Bakal Menjadi Item Paling In?
Fazril Razif