Posted on November 30, 2020
Dalam temubual bersama Astro Awani, Dr Li Chunrong telah membuat kenyataan bahawa dua model Proton baru bukan rebadge bakal menjengah ke pasaran dalam masa dua hingga tahun lagi. Lebih menarik lagi, memang terdapat dua model dengan samaran juga yang sedang giat menjalani percubaan atas jalan. Kemungkinan besar, Proton Iriz dan Proton Persona adalah dua model yang bakal dilancarkan tersebut. Kali ini, fokus akan diberikan kepada Proton Persona. Oleh itu, berikut adalah spekulasi awal tentang Proton Persona 2021.
Apa yang berubah?
Jangkaan awal adalah perubahan secara kosmetik. Antara klu awal mengenai perubahan kosmetik adalah gambar yang tular ketika pelancaran Proton X50. Pereka Proton dilihat sedang membuat rekaan bumper belakang baru dengan lampu belakang Proton Persona yang ketara.
Selain itu, tidak keterlaluan untuk menjangkakan bahawa Proton Persona bakal menerima transmisi baru. Antara keluhan utama mengenai model Proton adalah transmisi CVT yang kurang memuaskan. Namun, segalanya berubah apabila Proton Saga beralih dari transmisi CVT ke 4AT. Langkah ini disambut baik dan Proton Persona 2021 harus mengikut jejak tersebut.
Apa yang paling kurang dijangkakan adalah enjin dan transmisi baru. Jika ada sebarang perubahan enjin, kemungkinan besar adalah talaan yang lebih baik berbanding sebuah enjin baru.
Perincian kecil
Melalui gambar intipan juga, Proton Persona 2021 mungkin menggunakan headunit sistem hiburan yang lebih besar jenis terapung seperti Proton Saga. Tidak keterlaluan juga sekiranya ia mungkin dilengkapi dengan antara muka GKUI (Geely Key User Interface) yang lebih terkini dan dilengkapi pada Proton X50.
Selain itu, terdapat juga ura-ura mengatakan bahawa lampu halogen akan diubah menjadi lampu LED. Jika lampu halogen dikekalkan, ia mungkin hanya pada varian paling bawah.
Varian yang ditawarkan pada Proton Persona facelift 2021 juga dijangka akan dikekalkan. Kebanyakan pesaing sedan segmen B sudah tidaklagi menawarkan transmisi manual jadi tawaran transmisi manual dalam barisan varian yang ada sekarang mungkin akan menjadi nilai jualan yang unik kepada Proton Persona facelift 2021.
Realistik untuk kemaskini selepas hanya 2 tahun?
Proton Persona generasi sekarang baru dilancarkan pada April 2019. Generasi sebelum itu pula tiba lebih awal pada Ogos 2016. Pelancaran pada penghujung 2021 lebih cenderung untuk berlaku kerana ini akan mengekalkan minat pembeli terhadap Proton. Selain itu, selepas Proton X50 dilancarkan tahun ini, model rebadge lain paling awal mungkin akan hadir pada 2022.
Kemungkinan paling besar, Proton Iriz facelift yang disebut sebut sebagai Proton Iriz Active mungkin dilancarkan terlebih dahulu tetapi hatchback ini bakal menerima saingan yang lebih hebat dengan Toyota Yaris 2021 dan Honda City hatchback 2021 terbaru. Mengukuhkan kedudukan Proton Persona adalah lebih baik berbanding bersaing sengit dengan 2 model hatchback terbaru itu. Bagaimana pula dengan pendapat anda?
Layari www.wapcar.my untuk lebih banyak lagi artikel.
https://www.youtube.com/watch?v=tiWWmMIGAcQ&feature=emb_logo
Apa pandangan anda?