Nama Proton Wira ini memang sebati dengan rakyat Malaysia, macam nasi lemak. Model kedua keluaran syarikat kereta nasional pada tahun 1993 selepas Proton Saga ini adalah model yang penting pada masa itu, dan sehingga kini masih ramai lagi yang meminatinya. Berasaskan model Mitsubishi Lancer generasi keempat, Proton telah mencipta pelbagai jenis variasi model berasaskan platform Wira ini seperti Aeroback, Satria, Arena, dan juga Putra. Dalam rencana kali ini, penulis ingin memberi fokus khusus kepada model Proton Wira rare – Sedan dan Aeroback yang ‘rare’ dan unik, bermula dari nombor 10 sehingga-lah Wira yang kami rasa paling ‘ultimate’.
10. Proton Wira 2.0 Diesel
Tak banyak orang yang mengetahui fakta ini, tetapi Proton Wira ialah kereta nasional pertama yang menawarkan enjin berkuasa diesel kepada orang ramai.
Ditawarkan pada 1996, varian berkuasa diesel 2.0 liter 4 silinder SOHC 9 injap aspirasi natural 4D68 (dilabel sebagai 2.0D atau D) mencapai standard piawaian Euro 1. Ia menghasilkan 64 PS.
Terdapat juga varian 2.0 turbodiesel (TD atau TDi) yang hanya dijual di pasaran Eropah yang menghasilkan 80 PS.
Ketika itu, pembeli Wira Diesel layak untuk mendapat pengurangan cukai jalan sebanyak 50% daripada kerajaan sebagai sokongan untuk kereta yang lebih bersih.
Namun begitu, varian diesel Proton Wira rare ini dihentikan beberapa tahun kemudian kerana kurangnya minat pengguna akibat daripada kadar cukai jalan yang terlalu tinggi pada kenderaan persendirian yang menggunakan enjin diesel berbanding petrol dengan seseran yang sama (sehinggalah struktur cukai tersebut disemak semula pada 2008).
Harga pada ketika itu bermula pada RM56,567.95 (solid) dan RM 57,249.81 (metalik).
9. 1.5 Special Edition (SE)
Varian 1.5 Special Edition (atau lebih dikenali sebagai SE) ini versi khas yang terakhir direka oleh Proton. Kemasan luar lebih aerodinamik, tempat duduk bucket, spring sport, panel meter sporty, tombol gear aluminium, pedal aluminium, spoiler GT, ekzos sport, dan rim 16-inci berspesifikasi GTi.
Menggunakan enjin 4G15 MPI yang telah ditala, ia menghasilkan 90 PS @ 6,000 rpm dan 126 Nm tork @ 3,000 rpm. Sistem ekzos pada Wira SE ini dikatakan menawarkan peningkatan kuasa sehingga lapan peratus. Terdapat dua pilihan transmisi iaitu automatik 3 kelajuan ataupun manual 5 kelajuan.
Untuk harga RM 49,000 pada tahun pelancarannya (2004), kami rasa ia agak berbaloi memandangkan kamu mendapat pelbagai jenis kelengkapan serta pemanduan yang lebih menyeronokkan berbanding Wira standard. Hanya dua warna sahaja yang ditawarkan, iaitu Racing Red dan Black Rider.
8. 1.6 Millennium
Proton Wira 1.6 Millennium ialah model Aeroback dengan warna Lake Green metalik istimewa yang dikeluarkan sebagai tanda memasuki era Millennium (2000) pada masa itu.
Spesifikasi dan kit badan sama seperti Wira Edisi Piala Thomas di atas. Kami tidak dapat pastikan harganya berapa pada masa itu, tetapi kami yakin ia berada di julat harga Edisi Piala Thomas.
7. Proton Wira 1.6 Edisi Piala Thomas
Sebagai salah satu cara untuk Proton menunjukkan sokongannya kepada pasukan badminton negara kita dalam Perlawanan Akhir Kejohanan Piala Thomas dan Kejuaraan Uber Cup KL 2000, EON telah menghasilkan ‘Edisi Piala Thomas’ khas berdasarkan sedan Proton Wira 1.6XLi yang popular.
Wira ‘Edisi Piala Thomas’ dengan warna biru metalik dengan harga RM63,182.67 (dengan insuran) sama dengan Wira sedan biasa dengan warna metalik. Bezanya, ia dilengkapi stereng kulit, penutup pintu baru, dan tempat duduk ‘semi-bucket’ kulit.
Ciri-ciri tambahan termasuk skirting hujung depan baru, jalur cermin depan berwarna, jalur khas, lencana Logo Piala Thomas, rawatan lampu depan ‘gelap’ dan antena “bee-sting” di atas bumbung.
6. Executive 1.5/1.6
Wira standard tak cukup luas? Jangan risau, kerana Proton juga pernah menawarkan Wira varian Executive dengan jarak roda 254 mm panjang berbanding standard.
Menariknya, kamu boleh memilih sama ada kamu inginkan model Sedan ataupun Aeroback. Memang gempak betul Proton pada masa itu.
Berbanding Wira Grand Limousine, interior Executive sama dengan Wira standard kecuali tambahan trim kayu di dashboard.
Proton menawarkan Wira Executive dengan 2 jenis enjin iaitu 1.6 liter 4 silinder 4G92P (113 PS dan 137 Nm) dipadankan dengan transmisi 4 kelajuan automatik dan 1.5 liter 4 silinder 4G15P (85 PS dan 123 Nm) dengan transmisi 3 kelajuan automatik.
Pada mana yang bajet tak cukup tinggi pada masa itu tapi inginkan ruang yang lebih di belakang, bolehlah beli varian 1.5 liter. Harga berdasarkan senarai harga tahun 1996 adalah seperti berikut:
- 1.5 GL Sedan RM 71,969.58
- 1.6 XLi Sedan RM 80,981.67
- 1.6 XLi Aeroback RM 79,160.80
- 1.6 XLi Aeroback (dengan aksesori) RM 83,073.02
5. Grand Limousine 1.6
Ini memang Proton Wira rare. Executive tak cukup panjang? Ni dia! Model Proton Wira Grand Limousine ini sangat ‘rare’. Katanya hanya 25 unit sahaja yang dibina, menjadikan unit ini lebih ‘rare’ daripada Proton Satria R3. Ia mempunyai wheelbase tambahan 915 mm dari Wira sedan standard. Malah, ia juga dibuat di Australia dan bukannya dipasang secara tempatan.
Wira Grand Limousine ini dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri seperti
- televisyen dengan pemain video
- antena TV ‘boomerang’
- kemasan kulit “Connolly”
- meja siap laci perehat kaki bersaiz penuh
- cermin pembahagi ruang privasi antara depan serta belakang
- sistem intercom dengan pemandu
- lapik lantai belakang menggunakan bulu biri-biri
- trim kayu di dashboard
- lampu bacaan di tiang belakang
- lampu suasana
- bumbung dibalut PVC lembut
Dari segi trenkuasa pula, ia menggunakan enjin 1.6 liter 4 silinder 4G93 dengan 113 PS dan 137 Nm tork. Tiada pilihan enjin lain. Mesti ada tertanya harganya berapa kan? Menurut broshur EON pada 1996, harganya ialah RM 108,358.97; dah saing-saing Proton X50 dan Proton X70.
4. Proton Wira 1.8 EXI PERT (C99S)
Tanpa spoiler tiang gol, rim AAC 14 inci 5 lubang, dan warna Lake Green metalik yang nampak macam budak baik, memang varian EXI 1.8 PERT ini nampak sama seperti Wira biasa dengan sedikit perubahan.
Namun jika kamu seorang yang amat teliti, kamu boleh lihat lampu depan dengan kemasan hitam, lip depan, antena radio bumbung di belakang tengah, lampu signal berwarna putih, dan juga rim enam bilah.
Berbeza dengan interior Wira 1.8 EXI LE, tiada tempat duduk Recaro, tombol gear dan juga stereng MOMO. Sebaliknya, tempat duduk dalaman disaluti dengan kain kulit, manakala panel meter dan radio pula berwarna perak. Perbezaan terbesar model ini ialah ia dilengkapi dengan transmisi automatik empat kelajuan.
Senang cerita, ini adalah Wira C99 versi ‘jinak’ dan ‘baik’ jika nak dibandingkan dengan tiang gol itu. Harganya pun sedikit ‘murah’ – RM 71,947.86 (berdasarkan senarai harga tahun 2003).
3. 1.8 EXI LE RS (C99S)
Ini adalah Proton Wira rare seterusnya. Jika kamu rasa versi 1.8 EXI LE tak cukup luar biasa lagi, lihatlah varian RS (Racing Spec) yang lebih ‘hardcore’. Hanya 50 unit sahaja dihasilkan, segala kelengkapan yang berat dibuang atau diringankan, termasuklah tingkap yang ditukar ke jenis manual dan bukannya elektrik.
Malah, ia tidak dilengkapi dengan tempat duduk Recaro berserta fabrik trim yang sama serta stereng dan tombol gear Momo. Hasilnya, varian RS ini hanyalah 1,030 kg sahaja.
Untuk menjadikannya lebih kompetitif, ECU yang digunakan dalam versi RS masih lagi menggunakan circuit board MMC yang ditala oleh Proton Motorsport. RS ini tiada rev cut mahupun speed cut, dan dikatakan mampu mencapai 9,000 rpm! Meternya pun menunjukkan bacaan 260 km/j. Senang cerita, ini memang betul-betul jiwa kering punya Wira.
2. 1.8 EXI LE (C99S)
Senarai ini tak sah kalau kami tak sebut model 1.8 EXI LE, model ‘holy grail’ bagi peminat Proton Wira. Lebih dikenali sebagai Wira C99 atau Wira “spoiler tiang gol”.
Dibina khas untuk untuk memenuhi keperluan homologasi FIA (badan berkanun sukan permotoran dunia) yang memerlukan sekurang-kurangnya 2,500 unit yang ditetapkan oleh Kejuaraan Rali Dunia Group N.
Selain kit badan, ekzos tip berkembar, rim AAC 14 inci, brek depan serta belakang yang lebih besar, kerangka badannya dikuatkan dengan penambahan 20 poin kimpalan sirat berganda (‘double stitch weld’) di serata kerangka dan bar pengukuhan (‘reinforcement bar’) bagi menguatkan struktur dan mengurangkan tahap lentur (‘body roll’) ke jumlah yang minima.
Wira 1.8 EXI LE dikuasakan oleh enjin 1.8 liter 4G93P 4-silinder aspirasi natural menghasilkan 140 PS @ 6,500 rpm dan tork 167 Nm @ 5,500 rpm, dipadankan dengan transmisi 5 kelajuan manual.
Interior nya pula datang dengan tempat duduk Recaro Enjoy semi-bucket dengan kain fabrik Recaro di keseluruhan trim, berserta stereng Momo Daytona 3-bilah dan tombol gear Momo. Harga untuk kesemua kit ini? RM 72,235.10 dengan insuran (berdasarkan senarai harga tahun 1998). Berbaloi-baloi.
1. Proton Sembilu
Apakah Proton Wira rare yang berada di tangga pertama? Proton Wira 1.8 EXI LE (C99S) ini menduduki carta teratas dalam senarai ini, tetapi kereta inilah yang menjadi permulaan bagi model yang terkenal dengan jolokan nama “spoiler tiang gol”. Direka pada 1994, Edaran Otomobil Nasional (EON), telah memperkenalkan Proton Sembilu.
Apa yang istimewa tentang Sembilu ini adalah ia menggunakan enjin 2.0 liter 4 silinder turbo 4G63T dan juga pacuan semua roda (AWD) daripada Mitsubishi Lancer Evolution! Gila kentang!
Pihak EON ketika itu berkata “bahagian-bahagian yang diubahsuai akan dipasarkan kepada orang ramai apabila proses pengubahsuaian sepenuhnya selesai dalam tempoh kira-kira setahun lagi”.
Antara pengubahsuaian yang dirancang dalam fasa seterusnya melibatkan “bahagian enjin, sistem suspensi dan gear untuk tujuan perlumbaan”.
Perlumbaan yang dimaksudkan adalah Kejuaraan Rali Dunia (WRC) di bawah pasukan Petronas EON Racing Team (PERT) yang merangkul pelbagai kejuaraan di bawah pemandu utamanya, lagenda rali Karamjit Singh.
Sayangnya, model Sembilu ini tidak dapat dipasarkan akibat mendapat tentangan dari pihak JPJ. Dari tentangan ini, Proton menggunakan badan asal Mitsubishi Lancer Evolution dan menukar lambang ke Proton untuk memenuhi kriteria homologasi Kejuaraan Rali Dunia pada masa itu.
Tetapi R&D kereta ini tidak dihentikan sebegitu sahaja, kerana ia melahirkan bintang terbesar dalam sejarah Proton Wira iaitu model 1.8 EXI LE (C99S).
Proton Wira rare
Inilah dia serba serbi Proton Wira yang ‘rare’ dan unik sepanjang tahun pengeluarannya selama 17 tahun. Dalam 952,216 unit yang dijual, beberapa ribu dari nombor tersebut adalah model yang ada dalam senarai di atas.
Proton Wira terakhir dijual pada tahun 2009, digantikan dengan Proton Gen.2 (Aeroback) pada 2004 dan juga Proton Persona (Sedan) pada 2007.
Legasi Proton Wira akan kekal sepanjang hayat dan kekal terpahat di dalam sejarah automotif Malaysia. Mana satukah Proton Wira kegemaran kamu dalam senarai ini?
Untuk lebih banyak artikel sebegini, lawati www.wapcar.my
Apa pandangan anda?