Apakah Kita Hidup Dalam Dunia Yang Dahagakan Perhatian?

Saya duduk menghadap garis langit Tokyo menerusi tingkap besar di bilik hotel Capitol. Senja sedang melabuhkan tirainya. Malam bakal menjelma. Saya di sini memenuhi undangan persembahan Marc Jacobs koleksi musim bunga 2018 selain majlis Bookmarc di Omotesando. Saya tidak merenung kosong bangunan-bangunan pencakar langit Tokyo ini sebaliknya minda saya merewang jauh sehingga sampai ke isu yang saya mahu ketengahkan kali ini. Tentang perhatian yang didambakan sesetengah insan di dunia ini.

Ada banyak bangunan pencakar langit di Tokyo. Rata-rata direka sama dengan yang lain. Tetapi ada juga beberapa yang dahsyat rekaannya. Lebih tinggi berbanding yang lain. Ada pula yang bercahaya terang malah ada yang berkelip-kelip. Ada pula yang diletakkan papan tanda besar lebih menangkap mata yang memandang. Fikir saya, sesama bangunan yang tidak bernyawa ini pun, ada sesetengah yang lebih mengingini perhatian berbanding yang lain.

Kemudian terdetik pula dalam hati berkata, dah manusia pun yang membina bangunan-bangunan ini tentulah ada sikap ingin berlebih-lebih berbanding yang lain bukan? Mustahil sesama bangunan yang tidak bernyawa ini ada sikap dengki-mendengki dan mahukan perhatian jika tidak manusia lah di sebalik pembinaan setiap bangunan itu. Perhatian. Attention. Nah itu dia yang mahu saya bincangkan kali ini. Sehinggakan pabila merenung pada bangunan pun, saya terfikirkan akan isu ini.

Well saya faham dalam dunia adornis hari ini yang sangat mencengkam, setiap daripada kita pasti dahagakan perhatian dan mahukan sebanyak mana perhatian yang boleh kita raih

Sebagai manusia, sememangnya sejak lahir lagi setiap daripada kita mendambakan perhatian. Saya tak pasti sama ada kamu perasan atau tidak bahawa setiap bayi yang lahir tentunya mahukan perhatian ibunya. Setiap masa dia mahu dibelai, dimanja dan disayangi. Dan saya juga faham sikap ini tentunya tidak akan hilang sama sekali dari diri manusia biarpun sampai mereka dewasa.

Cuma satu yang tak dapat saya terima ialah pabila manusia dewasa yang sudah mampu berfikir turut mendambakan perhatian terutamanya bukan sahaja daripada ibubapa atau keluarga tetapi daripada masyarakat sejagat. Sehingga sanggup melakukan apa pun demi meraih perhatian dan diinginkan. Well saya faham dalam dunia adornis hari ini yang sangat mencengkam, setiap daripada kita pasti mahukan sebanyak mana perhatian yang boleh kita raih. Tapi pada saya biarlah kena pada gaya dan cara.

Bukankah lebih indah kalau perhatian yang kita raih itu atas dasar hasil-hasil kerja bagus yang kita laksanakan. Atau atas dasar kebaikan dan ketulusan dalam hubungan kita sesama insan. Menghormati manusia lain tanpa ada sebarang prejudis atau hukuman. Perhatian sebegini bagi saya lebih memuaskan nurani dan jiwa. Ini tidak. Tak usah pandang jauh. Cukup sekadar skrol di laman Instagram, kita sudah boleh lihat betapa banyak manusia yang ‘sakit’ kerana mahu meraih perhatian.

Ada yang sanggup berbogel, menunjuk cleavage, tak ada langsung gambar tanpa mekap tebal kerana bimbang followers tak dapat terima wajah semulajadi mereka. Ada pula yang galak memuat turun hasil shopping barang-barang berjenama, hanya memuat turun gambar-gambar travel semata-mata kerana mahu mempamerkan destinasi-destinasi berpergian mereka. Pada mereka, ini akan mengumpan perhatian kerana ini yang mereka rasa didambakan masyarakat hari ini.

Tak kurang juga yang sanggup membuat gimik lebih besar agar menjadi headline seperti berkahwin senyap-senyap. Jadi kesan yang tercipta pada waktu pernikahan itu diumumkan jauh lebih besar berbanding jika urusan baik ini diberitahu dan dilangsungkan secara normal sama seperti pasangan-pasangan lainnya. Haih… sampai begitu sekali manusia sanggup buat demi perhatian.

dahagakan perhatian
Gambar: Vogue

 

Bukankah lebih senonoh jika perhatian yang kamu peroleh adalah kerana kejayaan yang ditempa

Oh… oh… maaf. Mungkin kata kamu, kita harus menghormati cara mereka ini. Ada sebabnya mereka melaksanakannya sebegitu. Ya mungkin telahan saya salah tapi bagi saya ini bukan perkara main-main. Perhubungan kamu itu juga bukan lagi rahsia. Satu dunia sudah faham, menerima dan merestui. Jadi saya tidak faham di mana rasionalnya mahu melaksanakan kerja baik ini dalam cara sebegini jika bukan kerana dahagakan perhatian. Tolong betulkan saya andai saya masih salah.

Bukankah lebih senonoh jika perhatian yang kamu peroleh adalah kerana kejayaan yang ditempa. Perniagaan kamu melebar sampai terkenal di mata dunia. Kamu dinobat organisasi antarabangsa kerana kebijaksanaan kamu mengelola syarikat pada usia muda atau kerana menjadi duta pertama negara untuk jenama antarabangsa misalnya. Insan sebegini lebih layak dihormati dan dan diberi perhatian tidak kiralah sebanyak mana pun.

Saya juga tidak boleh menyalahkan manusia-manusia yang dambakan perhatian ini. Kerana populariti dan fame itu juga ibarat barah. Kalau dibiarkan akan memakan diri. Ya, kerana pada sesetengah daripada kita, populariti itu menjadi makanan ego. Dan sesungguhnya sesetengah daripada kita suka mengenyangkan ego diri dan suka sangat akan perasaan yang diberikan oleh kekenyangan itu. Jadi adakalanya andai kata diri merasa makanan ego itu sudah kekurangan maka mereka akan sebaik-baiknya memburu populariti itu demi mengenyangkan ego diri.

Bagi yang terdesak, seringkali kita dapat lihat betapa mereka akan sanggup melakukan apa pun demi perhatian dan populariti ini. Lantas membangkitkan persoalan-persoalan seperti yang saya kemukakan tadi. Sampai mereka juga sudah tidak nampak lagi antara cara betul atau salah dalam mendapat perhatian yang diingini.

Tapi sekiranya perhatian dibahagi sama rata kerana setiap seorang daripada kita layak mendapatkan, bayangkan akan betapa amannya dunia kita?

Menghadiri majlis Bookmarc dan parti Marc Jacobs, rata-rata yang hadir berpenampilan unik dan quirky. Ada yang memadukan elemen hip hop dalam penampilan. Tentunya tidak kurang yang datang bergaya Harajuku dan beberapa wanita bijak memadankan antara kimono dan aksesori-aksesori moden. Mungkin pada sesetengah ini adalah usaha setiap daripada mereka meraih perhatian. Tapi peliknya pada saya ia tidak kelihatan seperti itu. Kerana mereka memiliki paksi yakni kecintaan terhadap fesyen.

Berpakaian unik dan quirky itu adalah cara mereka meluahkan kecintaan mereka pada fesyen itu. Malah hampir kesemua daripada tetamu hadir berkonsep sebegitu. Nah dalam situasi sebegini mana mungkin kita bisa menganggap yang setiap daripada mereka membutuhkan perhatian malah semua layak diberi perhatian yang sama. Menaiki tren di Tokyo pula saya perasan rata-rata mereka senang mengenakan hitam sementelah kebanyakan outerwear musim dingin berwarna begitu. Sekali lagi tidak timbul soal mendambakan perhatian kerana saya percaya setiap daripada mereka tidak saling mengejar perhatian sesama mereka.

Begitulah harapan saya tentang soal perhatian ini. Agar setiap daripada kita terus maju bersama dalam mengemudi hidup tanpa perlu berlumbakan perhatian sesama kita. Bayangkan setiap daripada sama berjaya dan mencapai sesuatu dalam setiap yang kita kerjakan, soal perhatian itu bahkan tidak mungkin wujud sama sekali. Biarpun pada dasarnya setiap manusia memerlukannya. Tapi sekiranya ia memang dibahagi sama rata kerana setiap seorang daripada kita layak mendapatkan, bayangkan akan betapa amannya dunia kita?

#normalisthenewavantgarde

Mulai Disember, saya akan menampilkan kolum baru dalam ruangan Kata Pengarang ini. Kolum di mana saya menampilkan beberapa personaliti yang memadankan gaya #normalisthenewavantgarde. Bermula dengan paparan Deanna Yusoff bulan lalu, kolum ini diteruskan lagi dengan personaliti-personaliti daripada lapangan berbeza. Ya setiap daripada mereka akan menunjukkan suai padan gaya menggunakan helaian basic tetapi dalam gaya lebih avant garde.

Dunia stail semakin terarah kepada corak pemakaian sebegini. Lebih banyak antara kita lebih senang membeli helaian asas. Tetapi tentunya jauh di sudut hati, kita juga mahu berupaya merubah helaian-helaian asas ini kepada gaya luar biasa. Melalui kolum ini kami memaparkan keupayaan personaliti-personaliti ini berbuat demikian. Bersama harapan agar ia juga bisa memberi inspirasi dan mencetuskan kreativiti buat pembaca untuk turut serta menyertai skuad #normalisthenewavantgarde.

DHANIYA ILLIANI, PELUKIS & ARTIS

Dhani cuba menyelitkan elemen ‘athleisure’ dan sifat kasual pada gaya kemeja Oxford tanpa kolar lelaki. Mendefinisikan sesuatu yang genderqueer pada gaya keperempuanan dalam siluet lelaki. Semua helaian daripada UNIQLO.

ATIRA ARIFFYN, ARKITEK (BERPANGKALAN DI AMSTERDAM)

Arkitek ini sukakan gaya berupa architectural forms. Gaya ini menggabungkan kontra dari segi warna, kasual dan lebih bersahaja. Kemeja Oxford tanpa kolar warna putih dibalas dengan parka labuh tebal bagi menegaskan bentuk. Semua helaian daripada UNQILO.

ARDI IDEWANI, EDITOR FESYEN STAIL.MY

Kemeja Oxford tanpa kolar disarung bersama jaket trench kolaborasi bersama JW Anderson. Warna solid kemeja dipecahkan dengan corak plaid pada jaket trench, yang menjadi signature rekaan British. Seluar sengaja dilipat senteng menunjukkan kulit buku lali.

What do you think?

Your email address will not be published. Required fields are marked *

No Comments Yet.

Previous
The ‘Real Fake’: Realiti Dunia Media Sosial Hari Ini
Apakah Kita Hidup Dalam Dunia Yang Dahagakan Perhatian?