Kebas Suami Orang, Indahnya Bercinta Sampai Tergamak

kebas suami orang

Kebas suami orang? Begitulah indahnya percintaan sampai sanggup melupakan batasan moral. Garis batas antara yang benar dan yang salah pun sampai kabur. Samar-samar hingga tidak merasakan pun bahawa kamu itu sebenarnya sedang bercinta dengan suami orang dik oi. Ya saya tahu bercinta itu indah. Siapa yang tak suka bercinta? Makan pun tak lalu, terkenangkan dia sudah makan ke belum. Mandi pun tak basah mengingatkan apa yang si dia sedang buat.

Ini belum lagi masuk bab yang sudah menyerahkan segala-galanya (kalau kamu faham maksud saya). Rasa-rasanya seperti mahu setiap masa berkepit macam belangkas. “Mana you pergi, I nak pergi.” “Kalau you terjun lautan api, I pun akan ikut sekali.” “We will be together till Jannah k.” Nah ini lah antara kata-kata manis yang disebut waima dalam mesej teks atau secara lisan. Dunia ini seperti kamu yang punya waktu bercinta.

Begitulah yang terjadi kepada teman saya Kalsom. Dia sudah berumah tangga dan memiliki tiga anak. Saya tak nampak masalah langsung dengan perkahwinan Kalsom kerana mereka kelihatan seperti pasangan bahagia yang lain. Sampai lah satu hari pabila Kalsom dapat tahu Azmi (suaminya) ada perempuan lain. Hati isteri mana yang tak remuk pabila dapat tahu bahawa suaminya curang. Kalau tengah berkasih mungkin boleh terima lagi. Tapi ini sudah berkahwin dan ada anak pula.

Walaupun mereka dapat melalui detik perit itu bersama-sama, bergaduh, berantakan, melalui sesi kaunseling dan kekal bersama tetapi saya tahu jauh di sudut hati Kalsom, ada parut yang akan kekal selama-lamanya. Jadi satu hari pabila Kalsom memberitahu saya yang dia ada boyfriend, saya tak terkejut langsung. Saya juga tidak menghakimi dia. Bukan kerana saya bersetuju dia juga curang oleh sebab Azmi pernah curang terhadapnya tetapi saya faham mengapa Kalsom tergamak berbuat sedemikian.

Saya juga tahu walaupun Kalsom dapat tangkap Azmi ada girlfriend sekali itu, tetapi kenyataannya Azmi memang ada banyak girlfriend-girlfriend lain sebelum itu. “He makes me feel loved…” kata Kalsom tentang boyfriend nya. Bukan kah kita semua sebagai manusia hanya mahu rasa dicintai? Dan pabila kamu mendapatnya daripada lelaki lain selain suami kamu yang curang terhadap kamu – apakah wajar kita menyalahkan perbuatan itu? Saya tahu ia melanggar batas moral, tetapi tidak wajar saya menyalahkan Kalsom dan menghakimi dia.

Biarpun saya tahu boyfriend nya itu juga suami orang dan sudah ada anak lima. Ya Allah. Entahlah sebenarnya saya juga tak tahu apa nak dikata lagi pabila Kalsom memberitahu saya. “Kau dah fikir masak-masak ke Kal tentang hal ini?” “Entahlah, aku pun tak tau. Dia sayang aku dan aku pun sayang dia,” jawab Kalsom. “Dia suami orang Kal. Banyak yang perlu kau dan dia selesaikan dulu sebelum kau teruskan perhubungan ini.” Kalsom minta cerai daripada suami dia.

Tapi Azmi tak puas hati. Dia tak boleh terima permintaan Kalsom. Ego lelaki nya tercalar walau sebenarnya kalau saya jadi Kalsom, waktu saya dapat tahu Azmi curang lagi saya dah minta cerai. Azmi lupa bahawa punca masalah ini sekarang adalah kerana kecurangannya. Kesalahan itu datang daripada dia. Azmi mengupah penyiasat peribadi. Itu pun setelah dia bersetuju untuk bercerai. Hasil penyiasatan menangkap gerak-geri Kalsom bertemu dengan boyfriend nya termasuklah di tempat letak kereta yang gelap dan keluar masuk hotel murah.

Azmi buat laporan di pejabat agama. Kalsom ditangkap basah. Jalan penyelesaiannya ialah Kalsom menikah dengan boyfriend nya. Tetapi isteri boyfriend nya tak tahu pun yang suaminya akan menikah lain. Masalah Kalsom menjadi semakin complicated. Kalsom memutuskan menikah senyap-senyap. Memang pabila dia memberitahu saya semua ini, saya langsung tak setuju. Ia mencipta banyak lagi masalah yang sepatutnya boleh dielakkan.

“Apakah ini jalan terbaik Kal? Sampai sanggup kebas suami orang?” Saya bertanya banyak kali kepada Kalsom. “Kau sanggup biarkan isteri pertamanya tersakiti sama seperti yang kau rasakan?” Tetapi siapalah saya untuk memberi nasihat kepada dia. Kerana cinta, Kalsom meneruskan juga rancangannya. Kerana cinta, Kalsom tidak mengendahkan lagi akan kesan-kesan yang akan terpaksa didepaninya. Paling terkesan tentulah anak-anak Kalsom yang pastinya akan mendapat impak paling besar daripada semua kejadian ini.

Dan bagi Azmi, katanya dia masih mahukan keadilan. Saya ketawa besar mendengar kenyataan ini. Saya tak pasti sama dia berfikir panjang atau tak sebelum mengeluarkan kenyataan itu. Hahaha. Cinta. Ia adalah perasaan paling indah dalam dunia. Semua orang mengingininya. Ada pula yang mendambakannya. Segelintir masih belum pun dapat merasainya. Tetapi sama seperti aspek-aspek lain dalam kehidupan kita ini, ia juga tak seharusnya menjadi sukar. Tidak adil untuk kita merubah perasaan cinta itu menjadi sesuatu yang membebankan.

Bagi mengelakkan ini daripada terjadi, cinta harus dipasangkan dengan perasaan-perasaan yang positif sahaja. Kerana cinta itu sendiri adalah sesuatu yang positif. Jangan sesekali cuba memadankan cinta dengan tamak, benci, nafsu dan menyakiti. Cinta harus seiringan dengan kejujujuran, kebaikan, kesaksamaan, keadilan dan kebenaran. Nescaya cinta itu akan semakin subur dan menjalar menjadi taman inderaloka paling indah buat semua.

Jika Azmi berpaksi pada cintanya kepada Kalsom diiringi dengan kejujuran, keadilan, kebaikan dan kesaksamaan, dia tidak akan sanggup pun menduakan Kalsom. Dia tidak akan sanggup membenihkan segala perasaan negatif dalam diri Kalsom. Sebaliknya Azmi memasangkan perasaan cintanya dengan tamak dan nafsu sehingga seterusnya menjurus kepada menyakiti Kalsom. Akibatnya, Kalsom sampai tergamak kebas suami orang kerana mendambakan cinta yang dirasakan berhak dimilikinya.

Saya bukanlah mahu menyalahkan sesiapa tetapi ini hanyalah sekadar kesimpulan daripada secebis pengalaman.

kebas suami orang

What do you think?

Your email address will not be published. Required fields are marked *

No Comments Yet.

Previous
Petua Semula Jadi Untuk Bibir Kembali Merah Bak Delima
Kebas Suami Orang, Indahnya Bercinta Sampai Tergamak