Ernie Zakri: Persetankan! Ku Bersuara Demi Cinta!

Ernie Zakri: Persetankan! Ku Bersuara Demi Self-Love!

SITTING EDITOR:  ZAIDI CHE. PENATA GAYA: ARDI IDEWANI. ARAHAN SENI: MERRISSA EMILDA. RAMBUT & SOLEKAN: FENDI SANI. JURUFOTO: AZIM MAHAYUDIN. VIDEO: JUFRI JAMAL. STUDIO: AM STUDIO

Pagi itu hening. Saat daun pintu terkuak. Muncul tiga sosok wanita memberi salam. Kami yang berada di dalam studio pun menyambut dengan senyuman. Ernie Zakri hadir bersama ibu dan pengurusnya, Maria. Setelah bertegur sapa, saya membawa Ernie ke meja solek.

Dia gadis genit yang tak betah bicara. Perwatakannya ceria. Memberi rasa sejuk, di seluruh tarikan nafas pagi. Ketika pagi merayap dari sedikit matahari. Sebab itu dia dapat datang bebas. Dia dapat bicara. Ya, saya mahu dia bersuara.

Sebab jiwanya adalah peleburan segala kotoran. Segala dukacita. Bayangkan dia seperti air yang mengalir tenang. Bak pawitera yang sarat dengan puspa. Menjadikan Ernie kekasih yang penuh senyum. Melenggang melusuri jejak yang lama tak dia sentuh dengan hati.

Lama tidak dia sentuh dengan hati. Dia reda. Gemuruh dada. Sesuai bulan Februari, saya ingin menulis tentang penyanyi wanita yang satu ini. Tentang pendapatnya mengenai cinta. Mungkin pengalaman peribadi? Siapa tahu apa yang Ernie ingin kongsi?

Jadi sempena bulan istimewa, bulan cinta ini, sidang redaksi STAIL.MY dengan besar hati memaparkan Nur Ernie Shahirah Zakri atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Ernie Zakri dalam Ernie Zakri: Ku Bersuara Dengan Cinta sebagai gadis muka hadapan STAIL.MY isu Februari 2020 ini.

ERNIE ZAKRI – TENTANG WANITA & GEMBIRA

Di antara kelopak cinta yang selalu diperkata. Dengan kalimat-kalimat mati. Atau tidak pernah dikatakan sama sekali. Saya melihat Ernie adalah sosok yang bahagia. Sepertinya tiada masalah cinta yang tegar menghentam dia. Perasaan ingin tahu membuak-buak lagi. Apakah ada formulasi rahsia yang mahu Ernie kongsi?

“Nyahkan negatif!” ucap Ernie padu.

“Itu bermaksud kamu mencintai diri kamu. Jangan dikelilingi orang-orang yang berfikiran negatif yang boleh mempengaruhi kamu ke arah keburukan. Misalnya, putuskan sahaja hubungan dengan kenalan yang kamu rasa membawa aura negatif kerana suatu hari nanti orang-orang ini lah yang akan mengheret kamu ke lembah penyesalan.

Saya pernah lalui semua ini. Mujur saya bertindak cepat dengan memutuskan perhubungan atau persahabatan yang negatif itu. Bagi saya, saya menyayangi diri saya dengan cara begini,” hurainya lanjut.

Oh, benar sungguh kata-kata Ernie. Mencintai diri adalah lebih baik daripada berpura-pura bercinta tetapi sakit hati. Jika kamu mencari ‘kepuasan’, kita sebagai manusia tidak akan pernah puas dengan kehidupan ini. Bagi Ernie, dia mencari sesuatu yang boleh membuatkan dirinya menjadi lebih baik.

Tambah Ernie, “Jika hari ini Ernie Zakri sudah baik, Ernie Zakri esok hari mungkin boleh menjadi lebih baik daripada semalam. Itu yang selalu Ernie cari dalam kehidupan ini. Apabila Ernie bangun pagi dan merasa tenang. Ernie rasa boleh tersenyum dan tidak merasa down.

Kegembiraan dalam kehidupan apabila saya dapat membahagiakan kedua-dua ibu dan bapa. Berbuat sesuatu untuk mereka dan membuat mereka bangga. Bukan hanya ibubapa, malah seluruh keluarga tercinta. Itu lah definisi gembira bagi saya,” terang Ernie yang turut melayan genre-genre lagu seperti Jazz, R&B, Irama Malaysia, bahkan dangdut.

Wang lebih penting & berkuasa daripada cinta. Dengan wang, kita boleh bercinta. Ini Ernie katakan dengan sejujurnya. Cinta tidak boleh membawa makanan ke pinggan kamu. You need money… – tawa Ernie Zakri.

Ernie Zakri: Persetankan! Ku Bersuara Demi Self-Love!
Baju, Seluar & Rantai: MARC JACOBS, Kasut dari SALVATORE FERRAGAMO
ERNIE ZAKRI DALAM MENCARI ERTI SELF-LOVE

“Pada saya, self-love atau cintai diri itu apabila kamu tidak pernah hampa dengan diri sendiri. Tidak pernah meragui harga diri yang sebenar-benar. Bila melihat cermin, kamu tidak akan merasa negatif tentang diri kamu.

Dalam bab percintaan, kamu tidak menjurus ke arah perhubungan yang toksik. Kamu tahu kamu berhak akan cinta yang lebih baik. Atau mencintai seseorang yang kamu rasa layak disayangi kerana layanannya terhadapmu.

Cinta yang stailish adalah persefahaman

Masing-masing punya cara masing-masing. Kalau menurut Ernie, Ernie akan sentiasa bercakap dengan diri sendiri setiap pagi. Talk to yourself. Beri kata-kata semangat. Harapnya, hari ini akan lebih bersinar daripada semalam.

Ernie Zakri hari ini akan menjadi insan yang lebih gembira, kental dan sentiasa perfikiran positif. Rutin ini kamu harus amalkan. Jika kamu tetapkan hasrat. Kamu boleh menjadi seseorang yang mudah didampingi dan membuatkan orang lain senang dengan perwatakan kamu.

Ernie Zakri: Persetankan! Ku Bersuara Demi Self-Love!
VERSACE

 Self-love is when you love yourself

Ia perkara yang sangat penting. Kita harus sayangi diri kita. Semua ini berkaitan dengan keseluruhan. Bukan sahaja dari sudut perhubungan, malah dari sudut pergaulan dengan rakan-rakan. Nobody can help you, unless yourself.

Seperti yang saya katakan tadi. Mulakan sesuatu yang positif. Kelilingi diri kamu dengan orang-orang yang positif. Cari pasangan yang mampu menanam pemikiran yang baik-baik sahaja. Secara tak langsung, kamu akan jadi orang yang lebih baik, orang lebih bertuah.

Saya akan bercakap dengan ibubapa. Jika saya ada sebarang masalah, saya selalu berkomunikasi dengan mereka. Kerana saya sayang mereka. Ibubapa saya ibarat sahabat saya. Saya juga akan mengelilingi diri saya dengan persekitaran yang positif sahaja.

Pada saya, jika kamu lari dari semua perkara yang negatif, Allah SWT akan datangkan perkara-perkara yang positif sahaja pada diri kita.”

ERNIE ZAKRI SOAL PERHUBUNGAN CINTA TOKSIK & MOVE-ON

Semua orang pernah melalui. Perasaannya putus cinta seperti putus nyawa. Emosi tak stabil, perasaan jadi kacau. Hati terasa dirobek-robek. Lalu mendadak teringat memori dan janji-janji manis itu. Tiada siapa jangka sebelum hatinya pecah berderai.

Namun seperti apa pun yang kamu rasai, sejauh mana pun kamu menyayangi, sebenarnya kamu harus lebih menyayangi dirimu sendiri. Perasaan orang tak boleh dipaksa-paksa. Tiada jodoh dalam erti kata lain. Terima sahaja tidak perlu buang masa.

Dan jangan terlalu mencuba untuk orang yang tak pernah menghargai. Kasihanilah dirimu. Mengapa berduka demi si durjana yang tak guna? Percayalah, kamu hanya kehilangan seorang kekasih yang ‘tidak bersungguh’ mencintaimu, sebaliknya dia pula hilang kamu yang ‘sungguh-sungguh’ mencintainya.

Bahkan Ernie pun turut bersetuju, “ Saya tahu benar dengan perasaan move-on itu. Bagaimana sukarnya untuk ‘maju’ daripada cinta kamu yang dahulu. Dan saya juga dikelilingi oleh teman-teman yang juga sukar move-on. Terutamanya mereka yang dalam perhubungan yang toksik. Cinta yang bergentayangan di awang-awangan.

Nasihat saya, jika kamu terperangkap dalam perhubungan toksik buat pertama kali, saya dan kamu tahu itu satu kesilapan. Namun jika kali kedua atau ketiga, kamu masih berada di tempat itu, itu bukan lagi satu kesilapan. Ia sudah menjadi satu pilihan. Kamu pilih untuk tidak gembira. Tidak bahagia.

Ernie Zakri: Persetankan! Ku Bersuara Demi Self-Love!
GUCCI
“Jangan mengharap. Saya selalu berpesan kepada teman-teman saya yang tak boleh dan susah sangat nak move-on” – Ernie Zakri

Sebagai wanita, saya akui kita insan yang beremosi. Kita banyak sangat emosi. Dalam sekelip mata sahaja, kita boleh berubah jadi marah. Jadi gembira. Saya secara peribadinya merasakan setiap wanita itu kuat, tetapi mereka merasa diri mereka lemah. Itu adalah perkara paling skeptikal. Pemikiran yang menyatakan bahawa wanita itu sosok yang lemah.

Hakikatnya, wanita lebih mudah dan pantas move-on. That’s the truth. Saya tiada apa-apa nasihat. Cuma saya rasa kita sebagai wanita harus kuat. Tiada siapa-siapa di sekeliling kita yang boleh membantu diri, selain daripada diri kita sendiri. Jadi selalulah mengingatkan diri. Kamu layak berada di tempat yang sepatutnya,” jelas Ernie panjang lebar.

Tapi mawar tidak selamanya mekar, juga barangkali enigma tangkai ini. Besok mungkin akan dia temukan kunci. Untuk hati yang tak akan terungkap. Ada sahaja wanita yang menerima setangkai kembang tungggal yang berduri itu. Ketika malam sudah mabuk.

“Sebenarnya, dalam jangka sebulan, dua bulan awal, kamu tidak boleh agak lagi bagaimana kekasih kamu itu. Tetapi selepas enam ke tujuh bulan, saya rasa kamu sudah boleh nampak bendera merah. Sebaik sahaja kamu nampak tanda-tanda yang tidak menyenangkan, sepatutnya kamu sudah boleh berhenti. Berfikir sejenak. Jauhkan diri kamu daripadanya.

Soalnya, jika kamu sudah ‘mencipta’ perasaan terhadap dia, makin lama, makin ‘besar’. Makin besar, makin sayang.  Itu akan menyukarkan diri kamu sendiri. Bermain dengan hati dan perasaan bukanlah suatu perkara yang mudah. Lagi-lagi perasaan sendiri. Jika kamu tidak mahu terperangkap dengan jerat percintaan toksik ini, baiklah kamu mengundur diri.

Hati wanita perlukan perhatian. Saya rasa kebanyakan perhubungan toksik sebegini. Apabila si lelaki pandai mengambil hati si perempuan bila dia sudah melakukan satu-satu kesalahan. Atau mungkin si lelaki pandai memujuk-rayu. Si perempuan akan cepat ‘cair’.

Ernie rasa perhatian itu yang orang perempuan dambakan. Perasaan diingini. Namun selang beberapa minggu, dia akan kembali ke perangai asalnya. Mungkin perkara-perkara sebegini membuatkan mereka (perempuan) asyik terperangkap dalam perhubungan cinta toksik ini. Susah sebenarnya.

Alhamdulillah saya tidak pernah berada di tempat itu. Pada akhirnya, mereka sendiri akan penat dan sedar yang dia (perempuan) berhak untuk mendapatkan pasangan (lelaki) yang benar-benar layak. Dia harus mempercayai dan menyayangi dirinya sendiri terlebih dahulu,” terang Ernie tak berhenti kalimah.

Ernie Zakri: Persetankan! Ku Bersuara Demi Self-Love!
Dress MOSCHINO, Baju Rollneck GUCCI, Kemeja FENDI
SUARA HATI ERNIE ZAKRI

Berbicara dengan Ernie adalah satu sesi yang sangat menyamankan. Dia punyai ‘kekuatan’ walau miliki tubuh yang kecil molek. Jauh di sanubari Ernie, dia adalah wanita kuat. Saya dapat menangkapi aura yang hadir dari wanita ini.

Bianglala mula muncul selepas hujan membasahi bumi. Waktu itu sore jadi sedikit dingin kerana tak putih lagi matahari. Dari dini pagi, Ernie kerjakan sesi penggambaran dan pempotretan bersama kami.

Dia cekal dan nekad. Seperti Angelina Jolie dalam filem wanita perkasa kegemarannya, “SALT”. Namun sepertinya terdapat sesuatu yang menyekat Ernie dalam kehidupannya terdahulu. Saya bertanya, kenapa?

Ernie membalas, “Saya akui. Dahulunya saya seorang wanita yang tidak pernah berkata tidak. Saya takut. Saya takut membuat orang merasa kecil hati. Contohnya, bila orang mahu solek saya begitu begini, saya takut untuk bercakap tidak jika saya tidak berkenan. Ernie Zakri sekarang, bukan Ernie Zakri yang dahulu. Ernie Zakri dahulu pengeecut!” tawa Ernie.

Tambahnya, “Tetapi ada satu insiden yang merubah pendirian saya. Ia masa untuk karier saya. Saya rasa saya harus bertindak mengikut apa yang saya selesa. Saya harus memakai apa yang saya rasa selesa. Solekan yang selesa. Menyanyi pun harus lagu yang selesa. Sesudah tujuh, lapan tahun saya tersangkut dengan situasi berkenaan, tiba masanya saya jadi Ernie Zakri.

Jaket & Dress dari MSGM, But dari MARC JACOBS

Mereka harus lakukan apa yang saya selesa… Suara Ernie Zakri

Tapi bila kita ada suara. Kita harus bercakap dengan cara yang betul dan tatakrama yang baik. Kita harus bercakap dengan nada yang elok-elok belaka. Kerana sebagai manusia, semua ada perasaan. Kita kena hati-hati. Kebenaran itu pahit untuk ditelan. Apabila kita bersuara, kita akan bebas dan lega. Ia menjadikan Ernie Zakri yang sekarang. Membawa saya ke arah yang lebih positif dan lebih matang,” ucapnya.

Lalu membawa kita kepada ‘Ku Bersuara’.

“Ku Bersuara sangat dekat dengan diri saya. Ia kisah benar yang berlaku dalam karier Ernie. Ia satu insiden yang melibatkan saya. Saya adalah Ernie Zakri yang dahulunya lemah. Sampai suatu masa, saya berkata pada diri saya, saya sudah penat dengan ini semua. Saya harus BERSUARA.

Apabila ia melibatkan saya dan karier, saya harus membuka mulut berkata yang benar. Kebenaran. Jadi apabila saya bersuara, banyak susah payah yang harus saya hadapi. Lama kelamaan, sakit tu sebenarnya sebentar sahaja. Kejujuran kamu akan membawa ketenangan kepada kamu sampai bila-bila.

Saya menginginkan ‘Ku Bersuara’ kerana mendapat idea berkenaaan isu pemerkasaan wanita (women empowerment). Sewaktu itu, terlalu banyak isu yang melibatkan kaum wanita, khususnya. Kes penderaan domestik, kes rogol, ragut dan sebagainya. Saya rasa ia isu wanita yang dekat dan berkaitan dengan diri kita semua yang bergelar wanita.

Jarang saya menyanyikan lagu-lagu dengan tema yang berat sebegini. Dan saya suka memberi mesej yang penting kepada pendengar. Jika kamu tonton muzik video ‘Ku Bersuara’, ada jalan cerita yang ingin saya sampaikan. Penting untuk kita mengangkat sesama wanita. Tema pemerkasaan wanita ini membuatkan semua orang merasa terkait.

Ia satu langkah yang berkesan. Mengajar dan memberi pengajaran melalui seni muzik,” ujarnya sambil tersenyum.

SALVATORE FERRAGAMO

Kekuatan ‘Ku Bersuara’ adalah dari segi mesej & vokal. Memang saya pesan pada Syamel (komposer), bagi bahagian vokal harus menampilkan jajaran vokal saya. ‘Ku Bersuara’ adalah Ernie Zakri.

Adapun, dia penyanyi wanita yang sangat bersemangat dan bekerja keras. Kalau tidak, mana mungkin dia sempat mengajar sambil menyanyi sebagai karier sepenuh masa, bukan?

“Untuk mencari rezeki, kita harus pandai guna/jaga suara kita dengan sihat. Alhamdulillah, ramai rakan-rakan artis sudah mula peka dan celik. Terutamanya penyanyi wanita, datang bertemu saya dan saya kongsikan ilmu saya bersama mereka.

Ramai yang menggunakannya ke arah yang lebih baik. Dan saya rasakan itu yang saya mahu sampaikan untuk semua rakan-rakan penyanyi. Bagi saya, setiap penyanyi perlu ada ciri-ciri versatil, tetapi jangan pernah takut untuk pahatkan sekali identiti eksentrik kamu.

Dress Hud DIOR, Kasut MANOLO BLAHNIK

Saya mahu legasi saya dikenali sebagai pengajar suara. Suara yang mengajar suara. Suara untuk suara.

Tambah penyanyi yang sangat menggemari warna-warna pastel dan lilac ini, “Saya mahu sampaikan muzik yang sarat dengan mesej. Bukan semata-mata hanya lagu-lagu cinta. Saya suka bercerita tentang kehidupan. Saya sulamkan dalam lagu agar ia lebih bermakna. Saya rasa itu yang menjadikan kamu seorang artis.

Lagu saya yang terbaru bertajuk ‘Gundah’, berkisahkan tentang kisah benar tentang bagaimana arwah datuk saya tersangat merindui arwah nenek saya selepas kematiannya. Selepas setahun, tiba giliran arwah atuk kembali dijemput Ilahi. Selama setahun itu, saya sendiri menyaksikan keseksaan dan rentetan rindu dendam yang dilalui oleh arwah datuk saya.

Jadi perkara-perkara sebegini amat peribadi bagi saya. Saya mahu kongsikan kepada pendengar dan peminat saya di luar sana. Agar mereka mendapat secebis Ernie Zakri melalui lagu dan melodi.

Daly Filsuf (Ahli Fiqir) pernah berpesan kepada saya supaya banyak-banyak bersabar. Percayalah jika kamu bersabar, ganjaran yang kamu dapat yang manis-manis belaka. Saya percaya dan pegang kata-kata itu. Alhamdullilah, ia terbukti dalam kehidupan Ernie sampai sekarang.

Sabar dalam kehidupan

Dalam agama pun mengajar kita untuk bersabar. Sabar itu boleh membantu kamu ke arah kebaikan. Walau apa pun terjadi, kamu harus bersabar. Dalam keadaan marah, bila kita tidak tenang, selalunya keputusan yang kita putuskan itu akan membinasakan kita.

Saya rasa sabar itu bukan hanya dipegang dalam karier sahaja, malah untuk kehidupan. Belajar untuk menjadi seorang yang tenang. Kerana apabila kamu percaya, dalam keadaan sabar dan tenang itu, akan muncul kebahagiaan,” pungkasnya.

What do you think?

Your email address will not be published. Required fields are marked *

No Comments Yet.

Previous
Tyler Mitchell Pencetus Pameran Budaya Pop New York: 3 Soalan STAIL Bersama Jurugambar Hebat Itu
Ernie Zakri: Persetankan! Ku Bersuara Demi Cinta!