Posted on May 30, 2026

Ada sesuatu yang terasa dekat apabila saya dapat bekerja dengan Sherry Alhadad. Mungkin kerana saya pernah melihat sisi dirinya di luar lensa kamera, bukan di set penggambaran, tetapi sepanjang perjalanan kami selama tujuh hari di Gangwon, Korea bersama AirAsia tahun lalu. Sherry memang begitu ceria, spontan, lucu dan sentiasa membawa tenaga yang sama walau di hadapan kamera atau di belakang tabir. Jadi apabila peluang ini datang semula untuk menjadikannya wajah digital cover STAIL.MY, ia terasa seperti satu kesinambungan yang semula jadi, seperti bertemu semula dengan kawan lama tetapi dalam konteks yang berbeza.
Berbeza pula dengan Jemput Dengar atau nama sebenarnya Ahmad. Ini kali pertama saya bertemu dengannya secara peribadi, walaupun saya sudah lama menjadi penonton dari jauh, melihatnya membuat persembahan di pelbagai acara dengan identiti kepala disko yang ikonik dan penuh misteri. Ada sesuatu tentang dirinya yang tidak memerlukan banyak kata, tetapi tetap mampu menguasai ruang hanya melalui muzik dan kehadiran.

Apabila kedua-dua dunia ini digabungkan untuk penggambaran ini, ia bukan lagi sekadar tentang fesyen, tetapi tentang chemistry antara dua personaliti yang bergerak dalam tenaga berbeza. Dalam digital cover story STAIL.MY ini, Jemput Dengar hadir dengan sisi yang lebih minimal, tenang dan cool. Manakala Sherry Alhadad pula membawa tenaga yang ekspresif, spontan dan penuh karakter. Bersama-sama, mereka membentuk satu ketegangan visual yang terasa natural. Satu mewakili ketenangan, satu lagi mewakili keriuhan.
Bila diminta menggambarkan gaya peribadi dalam tiga perkataan, Sherry memilih “bold, playful, confident”, manakala Jemput Dengar pula memilih “timeless, clean, funky”. Dua jawapan yang berbeza, tetapi cukup untuk memberi gambaran jelas tentang tenaga masing-masing. Kata Sherry, “Gaya bukan sahaja untuk fesyen, tapi bagaimana kita membawa diri kita atau hadir dalam sesuatu tempat atau majlis.” Cara seseorang berkomunikasi, bahasa tubuh dan keyakinan diri semuanya membentuk identiti yang tersendiri. Jika personaliti mereka diterjemahkan dalam bentuk visual, Sherry membayangkan sesuatu yang effortless tetapi tetap menyerlah, dengan pilihan warna hitam dan putih sebagai asas, disertai sentuhan bold seperti merah atau emas.

Tema Chaos & Cool sememangnya dekat dengan kedua-dua mereka. Sherry tanpa ragu memilih “chaos”. “Hidup I memang chaos, saya bukan sejenis orang yang control-control. Bak kata orang Perak, libang libu!” katanya sambil ketawa. Di sebalik persona pentasnya yang besar dan berwarna, Sherry mengakui dirinya dalam kehidupan sebenar adalah sederhana. “Saya sebenarnya seorang yang sangat simple dan suka berpakaian selesa” katanya. Perbualan kemudian bergerak kepada bagaimana humor menjadi sebahagian daripada gaya peribadi. Bagi Sherry, humor adalah sesuatu yang natural dan menjadikan dirinya lebih mudah didekati. “Humor itu signature charm saya,” katanya. “Ia buat orang rasa lebih dekat.”
Berbeza dengan Sherry yang memilih chaos, Jemput Dengar pula lebih dekat dengan sisi “cool”. “Style is how we translate feeling into form,” jelasnya. Baginya, gaya bukan sekadar visual, tetapi bagaimana emosi diterjemahkan melalui muzik, visual dan cara dia bercerita. Ia hadir dalam bunyi dan dalam cara dia membina naratif di setiap persembahan. Jika personaliti Jemput Dengar diterjemahkan dalam bentuk visual, dia menggambarkan dirinya sebagai “reserved, but a statement piece”, tenang tetapi tetap meninggalkan kesan yang kuat.

“Muzik bagi saya adalah ruang untuk mengawal emosi dan pengalaman pendengar,” katanya. “Saya suka menguruskan bagaimana sesuatu set itu dirasai, bukan sekadar didengar.” Di sebalik identiti kepala disko yang menjadi signature, ada idea yang lebih besar daripada sekadar visual. “The Disco Ball was created to add a different experience” bukan hanya untuk mendengar music, tetapi untuk dilihat dan dirasai juga,” jelasnya. “Music mungkin kekal dalam ingatan, tetapi visual mencipta memori.”
Dalam proses kreatifnya, ruang senyap memainkan peranan penting. Ia menjadi ruang untuk menilai semula karya, menyusun semula idea dan menyegarkan perspektif sebelum kembali ke pentas. Bagi Jemput Dengar, humor dan misteri bukan dua perkara yang bertentangan, tetapi perlu wujud bersama. “Humour keeps it human, mystery keeps it memorable.” Di penghujung sesi, kedua-duanya berkongsi apa yang mereka mahu orang rasa apabila melihat cover ini. Sherry berharap ia menjadi sumber inspirasi dan motivasi untuk semua. Jemput Dengar pula mahukan satu perkara sahaja, connection. “Where they feel they are in a funky and groovy world with me.”

Kadangkala, chemistry paling kuat bukan hadir daripada persamaan, tetapi daripada pertembungan dua tenaga yang langsung tidak boleh dijangka. Di antara chaos dan cool, mereka membuktikan bahawa gaya paling ikonik selalunya lahir daripada keberanian untuk menjadi diri sendiri.
Editorial | STAIL.MY
Solekan|Rambut | @elmandazuhairy
Photographer | Bobong @anbstudio_lateef
Pakaian Sherry | Ms Read
Pakaian Jemput Dengar | SVG
BACA: Tujuh Suara, Satu Identiti: ALPHA dan Wajah Baharu Pop Malaysia



















.gif)

Apa pandangan anda?