Posted on June 30, 2026

Ada sesuatu yang tidak terlihat pada akar, namun daripadanyalah segala yang tumbuh menemukan bentuknya. Dalam Akar & Bunga, STAIL.MY meneroka hubungan halus antara asal-usul dan perkembangan diri dua figura muda yang mewakili dua dunia berbeza, tetapi saling melengkapi.
Aniq Durar umpama lambang akar yang berakar pada warisan Melanau, memori dan kehidupan budaya Sarawak yang membentuk dirinya sejak kecil. Ainna Sara pula membawa sisi bunga yang lembut. Ekspresif dan sarat dengan dunia seni yang berlapis melalui bunga, lukisan, interior design dan penceritaan visual. Bersama-sama, mereka mencipta satu dialog antara kekuatan dan kelembutan, tradisi, interpretasi, serta identiti yang sentiasa berkembang.

Kiri: Seri (2024), 120 × 90 cm
Kanan: Gemalai Alam (2024), 100 × 75 cm
Sepanjang penggambaran ini, elemen visual bukan sekadar hadir sebagai latar, tetapi sebagai sebahagian daripada naratif. Karya batik oleh Syafiqah Sanusi turut diselitkan dalam beberapa imej, menambah lapisan makna pada penceritaan ini. Ia tidak berdiri sebagai hiasan semata-mata, tetapi sebagai peringatan bahawa warisan budaya Malaysia terus hidup melalui tafsiran semula oleh generasi kreatif masa kini.

PERJALANAN ANTARA AKAR DAN BUNGA
Apabila tema Akar & Bunga diperkenalkan, Aniq melihatnya sebagai sebuah refleksi tentang identiti dan perkembangan diri. Seperti akar yang tersembunyi di dalam tanah tetapi menjadi sumber kepada segala yang tumbuh, warisan dan pengalaman hidup sering kali membentuk siapa diri kita tanpa disedari. “Akar mewakili asas kita; nilai, tindakan dan warisan yang membentuk diri. Bunga pula adalah hasil daripada akar itu. Siapa kita hari ini, bagaimana kita membawa diri dan siapa kita boleh jadi pada masa depan.”
Bagi Ainna, tema ini bukan sekadar tentang dua simbol yang berbeza, tetapi tentang keseimbangan antara kekuatan dan kelembutan yang saling melengkapi. “Saya secara semula jadi mengaitkan diri saya dengan Bunga kerana ia mewakili kelembutan. Pada masa yang sama, Akar melambangkan kekuatan, asas dan warisan. Kedua-duanya saling bergantung untuk melengkapkan satu cerita.”

BUDAYA YANG MEMBENTUK DIRI
Budaya sering membentuk seseorang dengan cara yang berbeza. Ada yang menemukannya melalui persekitaran, ada juga yang mewarisinya melalui memori dan keluarga. Dibesarkan di Kuching dalam masyarakat yang kaya dengan kepelbagaian budaya, Aniq mengenali identiti melalui interaksi harian bersama komuniti Melanau, Iban, Kelabit, Melayu Sarawak, Lun Bawang, Cina dan Punjabi. Pengalaman tersebut membentuk pandangannya bahawa perbezaan bukanlah sesuatu yang memisahkan, sebaliknya menghubungkan.
Kami semua berbeza, tetapi pada masa yang sama
Aniq Durar
sangat serupa. Hutan yang sama, tetapi akar yang
berbeza, bunga yang berbeza.
Buat Ainna, hubungan dengan budaya pula hadir dengan lebih dekat dan peribadi. Ia hidup melalui wanita dalam keluarganya, melalui helaian kain yang diwariskan dari satu generasi ke generasi berikutnya, serta memori yang tersimpan bersama setiap corak dan tekstur.
Banyak pakaian tradisional yang saya pakai hari ini sebenarnya milik ibu, nenek dan makcik saya. Bila saya memakainya sekarang, ia bukan sekadar pakaian, ia membawa memori keluarga dan warisan bersama.
Ainna Sara
Minatnya terhadap batik berkembang secara semula jadi apabila beliau mula menyelami koleksi lama yang disimpan oleh ibunya. Dari situ, rasa ingin tahu bertukar menjadi penghargaan yang lebih mendalam terhadap nilai seni, sejarah dan warisan yang terkandung dalam setiap helaian kain.

WARISAN YANG TERUS HIDUP
Warisan hari ini tidak lagi terhad kepada apa yang dipelihara dalam muzium atau dihidupkan hanya pada acara tertentu. Dalam kalangan generasi muda, ia semakin dilihat sebagai sesuatu yang boleh berkembang seiring perubahan zaman tanpa kehilangan nilai asalnya. Melihat kepada pengalaman dan latar budayanya sendiri, Aniq percaya bahawa budaya sentiasa berada dalam keadaan hidup dan bergerak. Apa yang dianggap tradisi pada hari ini juga pernah menjadi sesuatu yang baharu pada suatu ketika dahulu. “Tradisi pada satu ketika dahulu juga pernah menjadi sesuatu yang baharu. Budaya hari ini adalah sesuatu yang masih hidup.”

Pandangan tersebut selari dengan cara Ainna menghargai warisan dalam kehidupan hariannya. Hubungan dengan budaya, menurutnya, tidak semestinya terikat kepada cara lama, tetapi boleh diterjemahkan semula mengikut pengalaman dan gaya hidup semasa tanpa menghilangkan makna asalnya. “Menghubungkan diri dengan warisan tidak semestinya bermaksud mengikut cara lama. Ia tentang bagaimana kita menyesuaikannya dengan kehidupan hari ini tanpa kehilangan maknanya.” Melalui fesyen, seni, muzik dan pelbagai bentuk ekspresi kreatif, generasi baharu semakin berani mencipta ruang untuk budaya terus relevan. Tradisi tidak ditinggalkan, sebaliknya diberikan nafas baharu agar ia dapat terus hidup dan berkembang bersama zaman.
IDENTITI DALAM BENTUK DAN TEKSTUR
Jika identiti boleh diterjemahkan melalui satu objek, Aniq memilih sagu, makanan asas masyarakat Melanau yang melalui proses panjang transformasi dari alam hingga menjadi sesuatu yang baharu. Ia mencerminkan sifat dirinya yang sentiasa berubah dan berkembang. Ainna pula memilih batik — simbol yang penuh warna, corak dan makna. “Batik mewakili diri saya kerana ia menggabungkan warisan dan ekspresi peribadi. Ia juga menghubungkan saya dengan keluarga saya.”

MOMEN YANG MENINGGALKAN KESAN
Salah satu momen paling bermakna buat Aniq sepanjang penggambaran ini adalah apabila beliau dapat mengenakan pakaian tradisional Melanau dalam salah satu babak. Walaupun pakaian tersebut bukan sesuatu yang moden, ia membawa nilai yang dekat dengan identiti dan asal-usul dirinya.
Sangat penting untuk saya memakai pakaian itu.
Aniq Durar
Walaupun ia bukan sesuatu yang moden, ia adalah akar
atau ‘Akar’ kepada siapa diri saya.
Bagi Ainna pula, momen yang paling meninggalkan kesan bukanlah satu imej tertentu, tetapi pengalaman bekerja bersama pasukan kreatif yang membuatkannya berasa diterima dan dihargai.
Saya rasa sedikit gementar pada awalnya, tetapi semua
Ainna Sara
orang sangat baik dan membuatkan saya rasa selesa.
BAHASA HIDUP BUDAYA
Budaya sering hadir melalui perkara yang paling dekat dengan kehidupan seharian. Bagi Aniq, ia hidup melalui makanan, bahasa, aksesori dan komuniti iaitu elemen kecil yang terus menghubungkan seseorang dengan asal-usulnya. “Ia tidak perlu terlalu menonjol. Ia hidup dalam perkara kecil yang kita bawa setiap hari.”
Pandangan yang sama turut diterjemahkan melalui dunia kreatif Ainna, di mana budaya hadir sebagai satu bentuk ekspresi visual yang boleh dirasai melalui warna, ruang dan tekstur. Seni menjadi medium yang membolehkan elemen budaya terus diberi makna dalam konteks yang lebih moden. Dalam beberapa imej, karya batik oleh Syafiqah Sanusi menjadi sebahagian daripada naratif visual ini, mengukuhkan lagi idea bahawa budaya bukan sekadar sesuatu yang diwarisi, tetapi sentiasa diberi nafas baharu melalui interpretasi seni.

AKAR BERTEMU BUNGA
Akar & Bunga bukan tentang dua dunia yang bertentangan, tetapi tentang bagaimana dua elemen yang berbeza mampu bertemu, melengkapi dan mencipta sesuatu yang lebih bermakna. Aniq membawa akar yang melambangkan keteguhan, memori dan warisan. Ia hadir melalui hubungan beliau dengan budaya Melanau, pengalaman hidup dan nilai yang membentuk siapa dirinya hari ini. Ainna pula membawa bunga yang melambangkan ekspresi, seni dan imaginasi, sebuah gambaran tentang bagaimana kreativiti mampu memberi warna kepada sesuatu yang diwarisi.
Namun, akar tidak akan dikenali tanpa bunga yang tumbuh daripadanya, dan bunga pula tidak akan berkembang tanpa asas yang menguatkannya. Kedua-duanya saling bergantung, sama seperti budaya yang sentiasa bergerak antara masa lalu dan masa kini. Dalam pertemuan kedua-dua dunia ini, Akar & Bunga menjadi gambaran bahawa identiti bukan sesuatu yang statik. Ia dibentuk oleh cerita yang diwarisi, pengalaman yang dilalui dan cara setiap individu memilih untuk mengekspresikannya. Kerana di ruang antara akar dan bunga itulah budaya terus hidup, berkembang dan mekar dalam bentuk yang sentiasa baharu.

Editorial: STAIL.MY
Fotografi: @bychuanlooi @yipieyaya_studio
Konsep, Arahan Seni & Digital: @kolme.mgmt
Penasihat Editorial & Produksi: @izworkz
Penyelaras: @ohmygat
Solekan: @shiyojoo
Penataan Gaya Aniq: @bysaerah @hellosyllar dibantu @shikinnorazam @stylesbyshikin
Penataan Gaya Ainna: @ainnasaraa
Kasut & Beg: @louisvuitton
Videografi: @mirzaraif
Kesan Khas Animasi Grafik: @yes_loha
Kesan Khas Bunyi & SFX: @itsjckson
Lukisan Akrilik Batik: @syafiqah.sanusi



















.gif)

Apa pandangan anda?