
Cuba ingat bila kali terakhir kamu melakukan sesuatu tanpa rasa perlu untuk memeriksa telefon. Bukan kerana telefon kehabisan bateri, tetapi kerana kamu memang tidak terfikir untuk mencapainya.
Baca buku tanpa berhenti setiap beberapa muka surat untuk check notification. Menulis dengan tangan, bukan menaip di Notes. Memasak makan malam tanpa perlu rakam untuk Instagram. Keluar berlari sekadar untuk berlari—bukan kerana mahu mengejar pace atau memastikan aktiviti itu masuk ke Strava.
Bila difikirkan semula, aktiviti-aktiviti ini bukanlah sesuatu yang asing. Kita pernah melakukannya. Cuma sekarang, ia terasa seperti sesuatu yang perlu kita usahakan untuk buat.

Kita sebenarnya tak perlukan lebih banyak content
Setiap hari, kita bangun dengan notifikasi – WhatsApp. Email. Instagram. TikTok. Berita. Group chat. Video pendek. Satu scroll membawa kepada scroll yang lain, sehingga masa yang sepatutnya menjadi masa rehat akhirnya dipenuhi dengan melihat kehidupan orang lain.
Lucunya, selepas seharian berada online, kita masih mencari sesuatu untuk mengisi masa lapang. Jadi kita scroll lagi. Mungkin sebab itu ramai generasi sekarang mula rasa tertarik dengan perkara-perkara yang tidak memerlukan Wi-Fi, password atau bateri 100 peratus.
Buku fizikal. Journaling. Baking. Crochet. Memasak. Berkebun. Puzzle. Running club. Bahkan sekadar duduk di kedai kopi sambil membaca beberapa halaman buku. Benda-benda yang suatu ketika dahulu dianggap biasa kini terasa seperti kemewahan kecil.

Ada sesuatu tentang melakukan sesuatu dengan tangan
Ambil contoh journaling. Kita boleh menulis beratus-ratus patah perkataan dalam telefon dalam masa beberapa minit. Tetapi menulis dengan pen di atas kertas memaksa kita memperlahankan sedikit rentak. Tulisan tak boleh di-undo, ayat tak boleh dipadam dengan satu backspace. Dan mungkin itu yang menarik.
Dalam dunia yang membolehkan kita edit hampir semuanya—gambar, caption, profil, bahkan bagaimana kita mahu dilihat orang lain—aktiviti analog memberi ruang untuk sesuatu yang lebih messy dan jujur.
Begitu juga dengan memasak. Resipi mungkin datang daripada TikTok, tetapi pengalaman menguli doh, memotong bawang dan menunggu kek naik dalam oven tetap berlaku di dunia sebenar. Ada bunyi, bau, tekstur dan kalau gagal, memang gagal. Tiada filter yang boleh menyelamatkan kek bantat.

Kita tak perlu buang telefon untuk jadi lebih offline
Ini bukan cerita tentang membuang telefon, delete semua aplikasi dan berpindah ke kabin dalam hutan. Kita masih perlukan teknologi. Kita bekerja dengannya, berkomunikasi melaluinya dan, ya, kadang-kadang kita juga terlalu seronok dengannya.
Tetapi mungkin kita perlu mula membezakan antara menggunakan teknologi dan sentiasa tersedia untuk teknologi. Ada bezanya, kita boleh menggunakan telefon untuk mencari resipi, kemudian meletakkannya ketika memasak.
Kita boleh mencari running route secara online, kemudian menikmati larian tanpa memeriksa telefon setiap lima minit. Kita boleh membeli buku secara online, tetapi memilih untuk membacanya dalam bentuk fizikal.
Offline bukan bermaksud anti-teknologi. Ia cuma bermaksud kita tidak membenarkan skrin mengisi setiap ruang kosong dalam hidup kita.

Jadi, mungkin sudah tiba masa untuk buat sesuatu yang tidak boleh di-scroll
Ambil buku yang sudah lama tersimpan di rak, keluarkan journal yang masih kosong, cuba resipi yang kamu bookmark berbulan-bulan lalu. Pergi berjalan, sertai running club, susun puzzle atau duduk sahaja di balkoni dengan secawan kopi dan biarkan telefon berada di bilik lain.
BACA: Burnout Moden: Penat Yang Tidak Kelihatan Dalam Dunia Kerja Hari Ini



















.gif)

Apa pandangan anda?