Posted on January 12, 2021
Tidak sampai setahun padi berkhidmat sebagai naib presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris sudah disunting menjadi penghias kulit majalah Vogue untuk isu Februari 2021! Melania Trump? Empat tahun berdiri di sisi suaminya yang ‘berona jingga’ itu dan bergelar First Lady, namun tidak sekali pun menjadi penghias Vogue – kecuali sekali sahaja, sebelum dia mengahwini Trump.
Melania sakit hati? Sudah tentu. Berasa tidak senang dengan Kamala Harris menjadi penghias kulit majalah Vogue? Pastilah!
Kulit majalah Vogue isu Februari versi cetak yang ditangkap oleh Tyler Mitchell
Membangkitkan rasa kagum dengan pemilihan Harris sebagai penghias kulit majalah kali ini. Sungguhpun Elle sudah meletakkan Harris pada November lalu, namun usaha Vogue menyunting Harris sewaktu dia kini bertugas sebagai orang kedua terpenting di Amerika adalah cukup menakjubkan. Bukan mudah untuk memanggil malah menjemput figura besar sesebuah negara untuk menjadi tumpuan utama atau subjek untuk isu tertentu sesuatu majalah – bercakap berdasarkan pengalaman.
Untuk kulit majalah Vogue isu Februari 2021 versi cetak, Harris dilihat menggayakan blazer yang direka oleh Donald Deal, berseluar ketat, bersama sniker Converse serta rantai mutiara yang sudah sinonim dengan identitinya. Harris ‘diletakkan’ di hadapan latar belakang kain berona merah jambu yang dibentangkan dengan bahagian hujungnya dibiarkan ronyok, tidak kemas di atas lantai. Beberan kain tersebut dibalas lagi dengan dinding berona hijau jeruk, sebagai tanda memperjuangkan idea penghormatan buat Alpha Kappa Alpha – sororiti Afrika-Amerika yang disertai oleh Harris sewaktu dia belajar di Howard University.
Gambar Harris yang ditangkap oleh Tyler Mitchell ini dikatakan sengaja nampak kasual. Tidak formal. Jelas Vogue, ia bertujuan untuk karakter Harris yang mesra dan mudah didekati. Mahu menampakkan sikap Harris yang merakyat, seolah-olah refleksi kepada jiwanya terhadap orang kebanyakan yang sangat telus.
Kulit majalah Vogue isu Februari versi digital yang ditangkap oleh Tyler Mitchell, yang dikatakan patut menjadi print version
Ya, benar. Sisipan idea atau penceritaan di sebalik kulit majalah kali ini unik. Namun, tidak kurang juga ada yang mengecam dan mengutuk Vogue kerana dianggap memburukkan imej Harris. “Failed.” “Vogue did Harris wrong.” Kata-kata yang terpacul keluar daripada mulut-mulut warganet. Faham juga dengan kekecewaan orang terhadap kulit majalah Vogue kali ini. Apalagi figura yang dipilih bukan sahaja seorang naib presiden, dia malah representasi people of colour.
Kata Robin Givhan, pengkritik Washington Post, “The cover did not give Kamala D. Harris due respect. It was overly familiar. It was a cover image that, in effect, called Harris by her first name without invitation.” Mungkin ada betulnya juga. Kerana Harris nampak sangat-sangat kasual untuk imej ‘pertama’ selepas menjawat jawatan naib presiden Amerika. Ada yang kata, seeloknya Harris perlu nampak sedikit formal atau sekurang-kurangnya kelihatan dia seperti wanita berkuasa. Pada pandangan ‘sinis’ kami pula, Harris nampak seperti baru selesai concall, diberi peringatan oleh pembantunya yang mereka ada penggambaran Vogue dan terus menuju ke penggambaran tersebut dalam keadaan tergesa-gesa.
Ada juga yang bilang Vogue seperti berlaku tidak adil terhadap Harris. Pemilihan sorotan cahaya dikatakan teruk, tidak menyerlahkan Harris dan mendakwa Vogue tidak mengerti dalam hal menangkap gambar figura-figura berkulit gelap serta people of colour.
“Love her – this cover is underwhelming,” tulis salah seorang dalam Instagram. “We love our Vice President elect. But this cover is a disgrace. She deserved much better. Vogue needs a major shake up,” komen salah seorang pengikut dalam Instagram.
Namun tidak kurang juga yang memuji kulit majalah Vogue isu Februari 2021 versi digital yang memperlihatkan Harris bergaya sut Michael Kors Collection. Cukup sekadar bersilang tangannya, dengan isyarat tubuh yang ringkas dan nampak clean. Ada yang kata, kulit majalah versi digital ini menggambarkan Harris sebetulnya. “Now THIS is a cover,” tulis salah seorang dalam post gambar kulit majalah digital Vogue.
Walau apapun, Trump pasti sakit hati. Umpama pahit yang terpaksa ditelan, Trump seperti tersinggung kerana tidak pernah dipilih oleh untuk menghiasi kulit majalah Vogue sepanjang empat tahun bergelar First Lady – Michelle Obama tiga kali menjadi penghias majalah Vogue manakala Harris baru sekali ini. Trump malah meluahkan ia dalam dalam buku ‘Melania And Me’ dan memetik katanya, “I don’t give a (expletive) about Vogue or any other magazine. They would never put me on the cover.” Trump turut menyuarakan ‘being denied’ oleh Vogue ini menerusi perbualannya bersama penasihatnya, Stephanie Winston Wolkoff yang kedengaran seperti berdendam dan kecewa dengan Vogue.
Kalau betul Trump ‘don’t give a (expletive) about Vogue’, mengapa perlu dia membangkitkan isu tersebut? Trump sepatutnya tidak perlu mengomen atau kalau ya pun, buat-buatlah seperti tidak ambil peduli pun. Jika Trump asyik menyuarakan tentang dirinya tidak dipilih untuk meghiasi kulit majalah Vogue, ditambah lagi oleh Tweet suaminya yang juga berkaitan dengan isu Trump tidak pernah menghiasi kulit majalah Vogue, bermakna…? Trump memang berharap benarlah.
Apa pandangan anda?