Posted on February 15, 2021
Dalam episod minggu lepas, kritikan keras ditujukan kepada Utica Queen. Namun, dia terselamat kerana gaun kahwinnya yang berjeluas dengan darah.
Daya kreatif Utica berhasil. Memberinya peluang untuk beradu lagi!
Sungguhpun tidak konsisten dalam pertandingan, Utica Queen mencuri perhatian. Mengumpan kita dengan gaya-gaya atau fesyen-fesyennya yang unik, eksentrik, kelakar dan radikal. Kadang-kadang Utica juga telus dan menyisip falsafah tersendiri dalam menerbitkan idea-idea rekaannya. Datang dari Utica, Minnesota, Utica menyertai Drag Race musim ke-13 berharap untuk membawa imej ‘transvestit dari bandar kecil’, mengentengahkan konsep keduaan dan keanehan, sebagai identiti untuk mengisi wataknya. Kenyataannya sewaktu menggambarkan siapa Utica, “Utica is very kooky. Quite the kook.”
Betul. Itulah Utica. Kooky, namun tidak terpisah daripada ‘cintanya’ terhadap fesyen. Dalam musim Drag Race terbaru ini, (secara peribadinya) kami menyanjung kreativiti Utica. Bab fesyen, serahkan saja kepada Utica! Dia kerap kali juga mempamerkan dan mempersembahkan gaya-gaya atau fesyen-fesyen yang mencungkil rasa kagum kami. Ada-ada sahaja aturan ideanya – rekaan-rekaan yang cantik – yang berhubung dengan sifat tidak konformis serta kualiti high fashion. “I’ve always been inspired by old-style variety shows, and women of comedy like Lucille Ball and Carol Burnett. These pioneering women created little vignettes of humor and joy, and were quintessentially themselves,” Utica menjelaskan kepada Vogue, yang membina citra Utica Queen berdasarkan karakter Ball dan Burnett.
Menganggap dirinya umpama seorang tukang cerita, Utica bijak membancuhkan idea-idea rekaan fesyennya dengan seni. Setiap kali cabaran runway (setakat ini), persembahan idea-idea Utica begitu impresif. Yang paling tidak dapat dilupakan adalah rekaan sleeping bag-couture atau gaun beg tidurnya, yang menggunakan beg sebagai material utama dan berjaya disiapkan dalam masa tujuh jam. Gaun beg tidur tersebut sebiji macam rekaan Moncler Genius – secara spesifiknya kolaborasi Moncler dengan Pierpaolo Piccioli – dan Utica memang membangunkan idea tersebut berdasarkan inspirasi Moncler.
Namun, gaun beg tidur Utica itu mencetus ketidakpuasan hati di kalangan peminat-peminat Drag Race dua minggu lalu di Twitter. Kerana gaun tersebut kalah dalam cabaran runway dan kemenangan berpihak kepada Gottmik. Banyak peminat merasakan rekaan Gottmik seperti “entah apa-apa” dan gaun beg tidur Utica jauh lebih kreatif.
Gaya little black dress Utica juga tidak dapat dilupakan. Bukan sebarang little black dress! Utica menginterpretasikan little black dress itu dalam bentuk subang telinga, dengan menambah cangkuk di atas topinya. Inspirasi itu terbit setelah dia menjumpai subang telinga yang mereplikakan bentuk Audrey Hepburn dalam dress hitam. Bermakna Utica menjadi watak ‘subang telinga’. Dialah ‘subang telinga’ itu! Jelas Utica, idea konseptual mendasari rekaannya dan membenarkan dia menjadi sesuatu yang orang pakai. She became the accessory, rather than the dress. Get it?
Selain itu, gaun kembang dengan bahu rod langsir yang diinspirasikan oleh The Carol Burnett Show, dress penghormatan buat ibunya dan kostum bayi memakai lampin adalah antara gaya-gaya atau fesyen-fesyen lain Utica yang membekas dalam ingatan.
Apa pandangan anda?