Tempoh hari, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mempelawa kami untuk menguji pandu Mitsubishi Triton Athlete, varian tertinggi dalam barisan keluarga Triton menggantikan Adventure X.
Pada harga RM 141,500, bezanya hanya kosmetik sahaja, tetapi yang menarik kali ini adalah kami diberi peluang menguji betapa lasaknya Triton Athlete ini di gelanggang off-road.
Oleh itu, apakah tiga perkara yang ‘best’ dan ‘tak best’ pasal Triton Athlete? Jom kita kupas lebih lanjut!
Kebaikan Mitsubishi Triton Athlete
1. Rupa lagi garang tanpa kemasan krom
Penggunaan warna hitam kilat pada muka depan “Dynamic Shield” jelas membuatkan Triton Athlete ini nampak lagi tangkas dan macho.
Warna hitam kilat ini juga dikenakan pada cermin sisi, pemegang pintu, scuff plate depan dengan reka bentuk lip baru, bampar belakang, pembuka tailgate, rim 18-inci berwarna, ‘inner lens’ lampu depan dan tangga sisi.
Penambahan khas bagi model Athlete adalah pemesong angin tingkap (aero type window deflectors) dan stiker grafik sisi ‘Athlete’ yang agresif. Kalau Darth Vader dari Star Wars pakai pun nampak ngam habis.
2. Selesa untuk dipandu dan kabinnya senyap
Setelah diberi peluang untuk mencuba tempat duduk belakang beberapa trak pikap terkenal seperti Ranger, D-Max, dan Hilux, kami dapat rumuskan bahawa Triton mempunyai tempat duduk yang paling empuk serta sudut sandar yang amatlah selesa seperti sebuah sedan.
Ini kerana Triton adalah satu-satunya trak pikap dengan rekaan sudut condong di antara bahagian kabin belakang dengan tengah yang telahpun menjadi sebahagian daripada identiti Triton.
Bukan itu saja, talaan suspensi bagi Triton ini juga cukup baik bagi sebuah pikap trak dengan ladder-frame. Ia menyerap segala lekuk dan lubang di jalan raya dengan begitu empuk.
Deruman enjin diesel juga tidak begitu kedengaran di dalam interior, dan tidak keterlaluan jika saya nyatakan Triton adalah trak pikap paling senyap dalam kelasnya.
3. Amat mantap dan konfiden di off-road
Saya amat terkejut dengan ‘feel’ pemanduan Triton di off-road kerana ia amat selesa dan membuatkan kamu berasa tenang, macam pandu di jalan raya.
Sebagai satu-satunya trak dengan empat mod pemanduan (trak lain tiga mod sahaja) dengan pilihan kerikil, pasir, keruh, dan batu – kamu rasa yakin untuk meneroka dengan Triton ke mana saja.
Lebih mengejutkan lagi, tayar Dunlop Grandtrek A/T (All-Terrain) 265/60/18 yang standard pada Triton dengan mudah mengendalikan segala jenis permukaan jalan di off-road Janda Baik ini tanpa tersangkut atau hilang cengkaman.
Keburukan Mitsubishi Triton Athlete
1. Pintu belakang trak pikap masih lagi tiada strut damper
Dengan penambahan harga RM 3,600, kami tidak faham kenapa Mitsubishi tidak menambah strut damper pada pintu belakang Triton Athlete. Dah lah ia berat untuk dibuka mahupun ditutup. Trak pikap lain di pasaran Malaysia pun ada benda alah ni.
2. Sportsbar di belakang menyukarkan akses
Sportsbar di belakang ini sebenarnya melengkapkan imej garang dan macho Triton Athlete ini, cuma ia mengganggu akses jika kamu ingin mengambil barang dari bahagian sisi.
Dahlah Triton ini tinggi, jadi cara paling mudah ialah kamu perlu panjat ke atas tayar, atau kena buka juga pintu belakang.
3. Enjin respon sedikit malas
Mitsubishi Triton dikuasai oleh enjin 2.4L turbodiesel (181 PS/430 Nm tork) yang dipadankan dengan transmisi automatik 6 kelajuan. Terdapat sikit ‘turbo lag’ pada kelajuan rendah, jadi kamu perlu tekan pedal pendikit lebih.
Walaupun lebih berkuasa daripada Isuzu D-Max 1.9L (150 PS/350 Nm tork), ia sebenarnya masih “kureng” jika dibandingkan dengan Toyota Hilux 2.8L (204 PS/500 Nm tork) dan Ford Ranger Raptor 2.0L bi-turbo (213 PS/500 Nm tork).
Baca juga: Enjin Kereta Terbaik di Malaysia
Konklusi
Secara keseluruhan, Mitsubishi Triton Athlete adalah sebuah trak pikap yang ‘all-rounder’ dalam pelbagai aspek. Ia mempunyai teknologi 4X4 yang canggih, trenkuasa yang baik, talaan suspensi yang mantap, dalaman yang kemas dan selesa, serta rupa yang macho.
Pemanduannya juga rasa seperti sebuah crossover. Dari segi nilai, warranti selama 5 tahun/200,000 km juga agak menarik.
Dari segi keburukan yang ada pada Triton ini, semua itu boleh diselesaikan dengan penukaran/penambahan aksesori ‘aftermarket’. Sama ada ia mengganggu waranti ataupun tidak kami tidak pasti, namun tiada kereta yang sempurna di dunia ini.
Artikel ini ditulis oleh Zamil Syaheer untuk WapCar.
Apa pandangan anda?