Salah satu trend yang semakin banyak dilihat pada kereta moden masa kini ialah pemanduan Eco mode. Ia selalunya diprogramkan mengikut turutan ini: Eco, Comfort/Normal, Sport. Ada kereta yang dilengkapi banyak lagi mod, ada pula yang hanya ada tiga mod minima ini.
Selalunya, mod-mod ini akan merubah berat stereng, suspensi (jika adaptif), dan juga tindak balas pendikit (throttle response). Oleh itu, mod Eco dianggap membantu menjimatkan minyak, bukan? Hakikatnya, ia mungkin hanya memberi efek plasebo yang membuatkan kamu rasa seperti jimat minyak, tapi sebenarnya tidak. Ini sebab-sebabnya.
Kamu patut kawal sepenuhnya
Ya, ada pembolehubah lain seperti kondisi pemanduan, cuaca, berat tambahan dalam kereta, dan sebagainya; tapi kamu sebagai pemandu ialah faktor penyumbang terbesar terhadap penggunaan minyak kereta.
Kamu boleh hidupkan mod Eco, tapi kalau kereta masih dipandu macam ‘orang gila’, nak salahkan mod Eco juga bila kereta ‘minum’ minyak? Kamu mungkin perlu perhatikan tabiat kawalan pendikit (throttle control).
Maksudnya, jika kaki kamu jenis tekan pedal sesuka hati, seberapa banyak Eco mode yang ada dalam kereta pun takkan dapat bantu kamu jimat minyak. Secara realisitiknya, tabiat paling praktikal yang patut diamalkan ialah kawalan pendikit yang bagus, tahu bila nak pecut, masuk aliran trafik, dan bila hendak lepaskan pedal sedikit sambil meluncur di jalan raya.
Eco mode tidak produktif
Nasihat kami kepada kebanyakan pemandu ialah kamu perlu sentiasa kekalkan kelajuan sama dengan aliran trafik lain secepat mungkin, dan lembutkan pacuan sedikit dari sini.
Ramai yang tak percaya akan hal ini, tapi menetapkan kelajuan sama dengan aliran trafik secepat mungkin akan membantu kamu dalam menjimatkan minyak vs. perlahan-lahan ikut kelajuan trafik, kerana…
Fungsi Eco mode secara amnya adalah untuk mengurangkan tindakbalas/ketajaman pendikit (throttle), dengan harapan yang enjin akan kurang ‘makan’ minyak.
Masalahnya, tindakbalas pendikit yang dikurangkan selalunya akan menyebabkan pemandu memasukkan ‘input’ lebih tinggi pada pendikit bagi mencapai kelajuan yang diperlukan.
Bukankah langkah ini semakin tidak produktif dan efisien? Terutama sekali apabila kamu berada dalam situasi yang memaksa untuk mencapai kelajuan sama dengan trafik secepat mungkin (contoh, keluar simpang untuk masuk ke jalan besar).
Kesudahannya, kamu menggunakan 70% pendikit dalam mod Eco vs. 40% dalam mod Normal.
Jika kamu terfikir, “Tak apa, perlahan-lahanlah capai kelajuan ideal,” – perlu diingatkan yang tabiat ini amat berbahaya. Kenapa?
Bayangkan sekarang kamu bermula dengan kelajuan 30 km/jam, manakala aliran trafik yang dimasuki berada pada 60 km/jam. Jika kamu gagal memadankan kelajuan dengan aliran trafik secepat mungkin, kamu sama ada sedang memaksa pemandu lain untuk memperlahankan kenderaan tiba-tiba untuk kamu, ataupun kamu berisiko dilanggar oleh kereta berkenaan.
Tidak selesa
Jika kamu pernah mencuba mod Eco di dalam pelbagai kenderaan moden, kamu juga akan sedar yang ia satu jalan penyelesaian kurang praktikal.
Kenapa? Ia bukan saja ‘menumpulkan’ pendikit kamu supaya jimat minyak, ia juga mengurangkan kuasa sistem penghawa dingin kereta kamu sebanyak yang boleh bagi mengurangkan beban pada enjin.
Nampak tak masalahnya di sini? Penghawa dingin dikurangkan dalam cuaca panas terik di Malaysia. Seeloknya kawal saja pecutan dan pendikit kamu daripada terpaksa menahan panas dalam kereta.
Jika kamu tak kisah berpeluh dan ‘masak’ dalam kereta, silakan, semata-mata untuk jimat minyak.
Eco mode/ tidak?
Mod Eco di dalam kereta dipasang memang dengan niat untuk jimat minyak, tapi pelaksanaannya tidak praktikal. Walau bagaimanapun, usah risau, ia boleh dinyahaktifkan hanya dengan menekan satu butang.
Apa-apa pun, pilihan di tangan kamu. Gunalah mod Eco kalau kamu betul-betul percaya yang ia menjimatkan minyak kereta. Tapi, seperti yang kami nyatakan di atas, nampak gayanya tak berbaloi guna mod Eco semata-mata untuk selamatkan setitik dua minyak. Lagi bagus jika kamu belajar kawal kaki kanan kamu semasa memandu.
Artikel ini ditulis oleh Mersita untuk WapCar
Apa pandangan anda?