Posted on December 24, 2021
Ohhhh… saat saya melihat wajah Rain atau nama panggilannya (semua kawan-kawannya dalam siri ini memanggil nama ini), Ji-Hoon di promosi rancangan ini di Netflix, saya tahu saya WAJIB tengok siri ini. Hungry and Hairy (The Hungry and The Hairy) meneroka bumi Korea bersama Rain dan Ro Hong-Chul di atas superbike mereka. Dari Jeju ke Busan dan ke Go Chang, pada awalnya saya teka ini akan menjadi ramcangan travelog normal bersama selebriti yang biasa kita tonton.
Tapi tentunya berdasarkan pengalaman saya dengan mana-mana rancangan TV Korea, sangkaan saya pasti meleset. Ini kerana Hairy and Hungry bukan sahaja setakat menunjukkan muka bumi Korea yang indah dan tenang dalam masa sama (sama seperti mana-mana siri Korea sekalipun) mengajar penonton tentang hidangan Korea yang menyelerakan, rancangan ini turut mempamerkan sisi kemanusiaan dan hubungan antara Rain dan Hong-Chul.
Hungry And Hairy: Kembali Kepada Nature
Kerana itu saya mengatakan bahawa siri ini kembali kepada nature. Ia mempamerkan alam semulajadi Korea yang sungguh menakjubkan. Ia juga menunjukkan fitrah semulajadi manusia yang suka berhubung dengan manusia lain. Berkasih sayang dan meraikan kehidupan. Ini ciri-ciri yang boleh saya lihat dalam siri ini.
Hungry ialah nama panggilan Rain dalam siri ini kerana fitrah semulajadinya yang sentiasa lapar dan suka menikmati makanan sedap. Hairy pula ialah panggilan kepada Hong-Chul yang pada awal rancangan tampil berjambang penuh dan panjang. Dia kemudian memotong sedikit jambangnya dengan alasan perlu tampil untuk siri ini di Netflix tetapi masih berjambang nipis.
Hong-Chul amat kelakar orangnya dan senang ketawa. Jadi penampilannya dalam siri ibarat sinar mentari yang menerangi dan menceriakan suasana. Perwatakannya amat ringan tetapi dalam masa sama dia banyak meneliti dan merasai tenaga dan usaha Rain waktu mereka menghabiskan masa bersama.
Rain pula amat kacak (hahahaha tentulah ini perkara pertama yang mesti saya sebut tentang Rain), memiliki tubuh tegap dan sasa serta suka workout di waktu pagi atau bila-bila sahaja dia memiliki kelapangan. Dia juga memiliki aura selebriti dan insan terkenal kerana memang itu yang dilaluinya hampir separuh usia dewasanya. Saya menonton rancangan Youtube nya Season B Season tetapi dalam rancangan itu dia memang membawa diri sebagai selebriti dengan tetamu-tetamu undangan yang kebanyakannya adalah peminatnya.
Jadi saya tidak pernah nampak sisi Rain yang ditonjolkan dalam Hungry and Hairy. Oleh kerana Hong-Chul lebih tua berbanding dia, kita boleh lihat betapa Rain ialah seorang yang sangat menghormati orang lebih tua daripadanya. Dia juga terlihat sebagai sensitif, peka dengan keadaan sekeliling dan memahami keperluan insan di sekelilingnya. Rain pandai memasak, tahu makanan yang sedap dan arif tentang bahan-bahan yang diperlukan untuk memenuhi palet rasa dalam makanan. Tentu melihat Rain dalam siri ini saya jadi lebih jatuh cinta dengannya kalau boleh mahu mengahwininya. I think he’s a great person!
Hope & Honesty
Saya rasa dua elemen ini yang tidak ada dalam rancangan-rancangan terbitan Malaysia. Kalau benar pun hope dan honesty yang ditonjolkan dalam Hungry and Hairy ini sesuatu yang dibuat-buat atau dirancang, saya ucapkan tahniah kepada produksi ini kerana mereka berjaya membuatkannya nampak real. Pun begitu, seperti yang banyak ditulis sebelum ini, harapan dan kejujuran adalah sesuatu yang sukar dipalsukan. Saya pasti aksi dan tindakan Rain serta Hong-Chul dalam siri ini adalah semulajadi terhadap konsep dan aktiviti yang dirancang.
Mereka tidak nampak kekok dan buat-buat langsung. Sama juga jika kamu menonton drama siri Korea. Saya pasti mereka semua berlakon tetapi kita tahu lakonan itu jujur menjadi karakter yang dicipta untuk mereka. Inilah sesuatu yang saya tidak nampak dalam rancangan-rancangan TV Malaysia. Kepalsuan dan objektif menjana wang dan keuntungan itu tidak disembunyikan langsung. Seperti semua pemain industri hiburan di Malaysia akur dan melakonkan watak kepalsuan industri di sini.
Jadi berbalik kepada Hungry and Hairy, harapan itu hadir daripada melihat hubungan dan interaksi di antara Rain dan Hong-Chul. Persahabatan yang mereka benihkan dan semai adalah sesuatu yang indah untuk ditonton dalam sebuah rancangan TV. Inilah yang memberi harapan bahawa kepada saya bahawa dunia ini tidaklah seburuk yang saya baca dan lihat setiap hari melalui media sosial. Kejujuran mereka juga sebagai manusia terlihat dalam siri ini. Mereka tidak cuba untuk menjadi orang lain dan masing-masing menerima karakter dan personaliti masing-masing seadanya serta menikmati pengalaman yang mereka lalui sepenuhnya.
Tolonglah Tonton Hungry and Hairy…
Dalam realiti yang perlu kita hadapi hari ini, saya rasakan siri The Hungry and The Hairy ini sesuatu yang amat kita perlukan. Ia berkhidmat sebagai escapism terbaik untuk dunia kita yang sedang huru-hara kini. Ia mengingatkan kita kembali kepada keindahan alam ciptaan Tuhan, kejujuran manusia dalam berhubungan dan konsep berkasih sayang dan mengambil berat sesama insan.
Bonusnya ialah ia dipersembahkan oleh Rain yang kacak dan memiliki aura disertai pula oleh pelawak Hong-Chul yang suka meraikan kehidupan. Ini membuatkan siri ini lebih menarik untuk ditonton dan diharapkan boleh menjadi antidot kepada realiti yang perlu kita hadapi.
Apa pandangan anda?