Posted on September 27, 2023
Menurut khabar yang diterima, jenama ADER Error secara fizikal sudah ada di Malaysia? Dan Shanghai Tang kembali lagi, dengan kemunculan butik baharunya di Lalaport? Oh, Kuala Lumpur semakin mengujakan!
Dari Korea Datang, ADER Error Kini Di Malaysia
Awal-awal kemunculan jenama ADER Error – jenama fesyen asal Korea – di arena fesyen pada sembilan tahun yang lalu terus menambat perhatian. Terutama sekali di kalangan pencinta-pencinta fesyen pakaian siar dan juga peminat-peminat fesyen Korea. Rasa kepingin untuk memiliki satu dua item daripada jenama ADER Error ketika itu merangsang diri untuk membelinya menerusi atas talian sahaja. Paling-paling pesan pada teman-teman yang pergi bercuti ke Korea.
Guess what? Ia kini boleh didapati secara fizikal di butik b.space di Pavilion Kuala Lumpur!
Seiringan dengan kehadirannya di b.space, ADER Error menampilkan sekali himpunan terbaru musim luruh dingin 2023 – dengan kempen fesyen yang bertemakan ‘Oblique Hints’.
Sesudah kolaborasi Adererror bersama Converse Chuck 70, Adererror mencagun idea kempen yang menyisip ke ruang hati gerombolan Gen-Z. Ia singkap aktiviti Gen-Z yang berlunaskan perihal melakukan aktiviti luar dan menyentuh unsur pergerakan melalui pengambilan gambar swafoto. ADER Error musim luruh dingin 2023 mengolah idea model-model yang tidak henti-henti mengambil swafoto serta menangkap gambar orang lain. Ia mengekspresikan kekreatifan Gen-Z mengoptimumkan pengetahuan mereka dalam hal mengambil gambar di atas bumbung yang berlatarkan lanskap bandaraya. Demi teknik pencahayaan gambar yang maksima.
Di samping memusatkan perhatian pada signifikan yang sinonim dengan ADER Error – yakni rekaan-rekaannya menggunakan fabrik dan perincian yang bersifat terkedepan serta kebolehannya mengadaptasi metode dekonstruksi pada reka bentuk pakaian – terselit sekali penggunaan rona biru (trademark rona ADER Error) dalam kempen ‘Oblique Hints’ ini. Contohnya, pada rekaan-rekaan yang dipakai oleh hampir semua model. Seperti sut trek nilon, kot wool bercorak dam dan banyak lagi.
Shanghai Tang Bertapak Di Lalaport!
Muncul semula! Rasa rindu pada jenama Shanghai Tang membekas dalam jiwa. Akhirnya, terubat jua setelah mendapati bahawa butik baharunya kini dibuka di Lalaport Bukit Bintang City Centre.
Pembukaan rasmi butik baharu Shanghai Tang direalisasikan pada minggu lalu dengan kehadiran figura-figura ternama Malaysia. Azrel Ismail, Whulandary Herman, Athisha Khan, Debbie Goh dan Tong Bing Yu antara mereka yang hadir memeriahkan acara. Bergerak senada dengan pembukaan butik baharu ini, koleksi Shanghai Tang musim luruh dingin 2023 dipersembahkan sebagai pameran utama. Koleksi pakaian wanitanya yang bertemakan ‘Dance Ceremony’, manakala koleksi pakaian lelaki pula bertemakan ‘Reunion’, mencerminkan visi Shanghai Tang sebagai sebuah jenama yang bijak dalam menjambatani aspek kelembutan dengan kekuatan.
Butik baharu ini membawa kita ke buana unik Shanghai – mengutip inspirasi untuk memimik rupa bentuk lorong yang aneh tetapi menarik, yang selalu terlihat di Shanghai, sebagai elemen hiasan dalaman butik. Segala-galanya mengusik ingatan kita pada konsep yang disinonimkan dengan Shanghai serta aspek orientalisme dan budaya Timur. Fabrik-fabrik lembut tersusun rapi pada dinding butik, dengan perhiasan porselin dan perkakas lakuer… umpama menyambut kedatangan di ruang masuk butik! Sudah tentu, sepanjang ‘menelusuri’ seluruh butik, sebarisan pakaian diletakkan di belah kanan dan kiri yang berhaluan ke bahagian kaunter serta bilik acu.
Apa pandangan anda?