Posted on September 28, 2023
Memasuki pertengahan September, Kota Singapura mula dibanjiri pelancong. Kenapa? Pastinya kerana bahang perlumbaan Grand Prix yang membuatkan ramai teruja untuk menyaksikan pasukan kegemaran mereka beraksi di depan mata sendiri.
Namun, jika anda tidak berkesempatan untuk menonton F1 seperti saya, jangan risau. Anda boleh ambil peluang ini untuk merasai sendiri pengalaman unik di beberapa lokasi tarikan lain yang pastinya bakal membuatkan percutian anda jadi lebih bermakna!
Jom saya kongsikan sedikit aktiviti dan acara menarik yang sempat saya dan influencer sosial media dari Malaysia cuba di Singapura!
1. Museum of Ice Cream
Hari & waktu operasi : Isnin & Rabu, 9 pagi – 10 malam
Khamis – Ahad, 9 pagi – 10 malam
Harga: Dari S$36 (hari bekerja)
Dari S$42 (hujung minggu)Percuma untuk kanak-kanak dibawah 2 tahun
Melangkah sahaja masuk ke sini, anda bakal terasa seperti berada di dalam muzik video ‘Ice cream’ nyanyian Blackpink. Hampir keseluruhan pelosok muzium dihiasi dengan warna merah jambu dan putih lengkap dengan pelbagai hiasan super cute serta lampu-lampu yang bakal membuatkan si dewasa terasa seperti berada di sebuah playground khusus buat mereka.
Di sini, pengunjung diberikan peluang untuk menikmati sepuasnya setiap ruang yang ada. Ambil lah gambar sepuasnya dan nikmati kesemua pilihan aiskrim yang tersedia sepuas hati! Yaa, sepuasnya! Kerana harga tiket adalah termasuk dengan pelbagai pilihan aiskrim berkonsepkan ‘all you can eat’.
Antara pilihan yang tersedia adalah aiskrim potong, soft serve dan aiskrim wafer. Jika perlu dipilih satu, kegemaran saya adalah aiskrim wafer berperisa nenas, ia tidak terlalu manis dan mempunyai tekstur yang rangup bila digigit bersama wafer, hampir sempurna!
Keseluruhan masa yang kami habiskan di sini adalah sekitar dua jam, kami berada paling lama di tarikan terakhir iaitu Sprinkle Pool. Buat yang belum tahu, Sprinkle Pool adalah salah satu tarikan paling popular untuk Museum of Ice Cream di seluruh dunia, jadi faham-fahamlah kenapa ramai yang berada lama di sini untuk bergambar sakan.
Klik di SINI untuk layari laman web rasmi Museum of Ice Cream, Singapore.
2. Avatar The Experience, Gardens by The Bay
Hari & waktu operasi: Setiap hari, 9 pagi – 9 malam
Harga: S$53 (Dewasa). S$40 (Kanak-kanak 3-12 tahun)
Angin dingin menyambut ketibaan kami di pintu masuk ditemani bunyi air yang mendamaikan. Sesuai dengan namanya Avatar: The Experience, anda pasti akan terpesona dengan keseluruhan pengalaman imersif yang ditawarkan di sini, saling tak tumpah seperti filem Avatar sendiri!
Dari pintu masuk, toleh sahaja ke kanan kami disajikan dengan pemandangan air terjun buatan manusia yang terlihat sangat realistik membuatkan sesiapa sahaja yang berada di situ berhenti melangkah bagi menikmati pemandangan indah itu buat seketika.
Terdapat pelbagai figura Avatar di serata ruang pameran. Antara yang paling menarik perhatian kami adalah animatronik Banshee bersaiz sebenar yang dilengkapi sistem bunyi! Sekali pandang terasa ia seperti benar-benar bernyawa!
Ada juga sebuah kawasan yang didedikasikan khas buat watak makhluk air yang popular menerusi filem Avatar: The Way of Water, Ilu. Arca artistik makhluk tersebut terletak di kawasan teater. Di sekitar Ilu, terdapat skrin besar yang mempamerkan cara ia hidup dan bergerak di dalam air.
Pengalaman di sini, saya gambarkan sebagai dreamy dan penuh magis. Daripada bioluminescent Pandora, melihat makhluk-makhluk mistik serta flora dan fauna dengan ciri interaktif menjadikan ia satu pengalaman yang penuh memukau dan sukar untuk dilupakan.
Klik di SINI untuk layari laman web rasmi Gardens by The Bay.
3. Bird Paradise, Mandai.
Hari & waktu operasi: Setiap hari, 9 pagi – 6 petang
Harga: S$48 (Dewasa)
S$33 (Kanak-kanak 3-12 tahun)
S$20 (Warga emas)
Kami bergerak agak awal untuk ke Bird Paradise, Mandai. Perjalanan dari Orchard Road, mengambil masa sekitar 30 minit dan kami tiba di kawasan parkir Mandai sekitar jam 9.00 pagi. Dari situ kami berjalan ke arah Zoo Singapura dan mengambil bas ulang-alik percuma untuk ke Bird paradise.
Menaiki eskalator dari pintu masuk utama, kedengaran kuat bunyi deruan air. Kami lagi sekali disambut dengan air terjun buatan manusia di sini. Pagi yang panas bertukar nyaman dan menyegarkan apabila berada di sekitar air terjun tersebut.
Kami dijadualkan untuk mengikuti private tour pada jam 10.30 pagi. Namun, jam ketika itu menunjukkan kami mempunyai sekitar satu jam lebih sebelum bertemu tour guide. Jadi kami dibawa terlebih dahulu ke Ocean Network Express Penguin Cove.
Ocean Network Express Penguin Cove menjadi rumah buat empat spesies penguin termasuk Gentoo, Humboldt, King dan Northern Rockhopper.
Sistem pencahayaan habitat ini direka seakan kitaran siang dan malam Pulau Falkland iaitu sebahagian daripada kepulauan Antartika bagi memastikan setiap penguin di sini dapat beradaptasi dengan baik dan kekal sihat.
Tepat jam 10.30 pagi kami memulakan private tour dengan mengelilingi keseluruhan Bird Paradise yang berkeluasan sehingga 70km. Sepanjang perjalanan kami diperkenalkan dengan pelbagai jenis spesies burung dan berpeluang untuk belajar dengan lebih mendalam mengenai haiwan berkenaan.
Kami juga berpeluang untuk bergambar serta memberi makan pada burung enggang bernama Sally. Sally kelihatan seperti seekor enggang yang manja namun sentiasa berhati-hati. Menurut penjaganya, Sally sering diserang enggang lain kerana cemburu. Oleh itu, Sally harus sentiasa berada dalam mood berjaga-jaga.
Selesai di situ, kami teruskan perjalanan untuk memberi makan kepada beberapa jenis burung lain sebelum bergegas ke pertunjukan Wings Of The World yang dijadualkan pada jam 12 tengah hari setiap hari. Semua burung yang terlibat dengan pertunjukkan ini sangat bijak! Bahkan ada yang boleh bercakap dan menyanyi. Comel!
Tiba waktu makan tengah hari, kami langsung ke Crimson Restaurant untuk menikmati three-course meal (S$58). Menariknya di sini, kami makan sambil menyaksikan pemandangan indah menerusi dinding kaca yang memandang terus ke arah air terjun Crimson dan burung-burung yang terbang bebas di sekitarnya. Spectacular!
4. HyperDrive, The Palawan@Sentosa.
Hari & waktu operasi: Isnin – jumaat, 12.30 tengah hari – 8.30 malam
Hujung minggu & cuti umum, 10 pagi – 9 malam
Harga: Dari S$45 (Senior Kart). Dari S$40 (Junior Kart). S$50 (Dual Kart)
Memandangkan semangat F1 masih terasa, mestilah kami pun ingin rasai keterujaan berlumba!
Paling menarik, kami dapat rasai sendiri pengalaman berlumba di trek elektrik Go-Kart HyperDrive yang merupakan elektrik indoor gamified Go-Kart pertama di Asia Tenggara!
Sebelum memulakan perlumbaan, kami harus mengikuti taklimat pendek keselamatan dan cara-cara pengendalian Go-Kart. Kami kemudiannya diberikan balaklava, helmet dan racing suit sebelum masuk ke trek.
Kami terasa seperti pelumba profesional saat melangkah duduk di atas Go-Kart masing-masing dengan suit lengkap yang kami gayakan. Semangat menjadi lebih berkobar-kobar untuk berlumba dan tidak sabar nak tunjukkan skill memotong kami!
Masa yang diberikan di atas trek adalah sekitar lapan minit, sementara jumlah pusingan adalah bergantung kepada tahap kelajuan setiap pemandu. Semakin laju anda memandu, maka lebih banyaklah jumlah pusingan anda.
Terasa lapar setelah penat berlumba? Jangan risau! Ada HyperDrive Cafe yang menawarkan pelbagai pilihan sajian antarabangsa untuk anda nikmati! Kami sendiri sempat mencuba beberapa hidangan seperti pizza, nachos, fried calamari dan cheddar nuggets. Semuanya enak dan mengenyangkan, barulah terasa bersemangat untuk sambung aktiviti seterusnya!
Klik di SINI untuk layari laman web rasmi HyperDrive.
5. SkyLine Luge, Singapore.
Alang-alang sudah sampai ke kawasan The Palawan@Sentosa untuk HyperDrive, apa kata cuba sekali bermain SkyLine Luge yang terletak diantara Imbiah Lookout dan Silosa Beach.
Pembelian tiket boleh dibuat secara terus di kaunter. Tetapi, jika anda tidak gemar menunggu dan tidak mahu beratur kami sarankan anda untuk membeli tiket lebih awal secara atas talian sebelum datang ke sini.
Bergantung kepada jenis tiket, anda bebas untuk bermain Luge ini sebanyak dua, tiga atau empat kali.
Sedikit tips dari saya, belilah tiket untuk Luge malam dan mulakan Skyride anda sekitar jam 7 petang. Pemandangan pada waktu ini sangat menakjubkan! Biarpun sedikit gayat namun itu tidak menjadi penghalang buat kami menikmati panorama sekeliling.
Sebaik sahaja sampai di kawasan Luge, pastikan anda sudah bersiap sedia dengan helmet masing-masing. Sedikit penerangan mengenai cara kawalan brek dan memecut akan diberikan sebelum anda dilepaskan menuruni trek sepanjang 1.2m menaiki kereta luncur jenis tiga roda.
Kereta luncur ini agak laju namun tidak susah untuk dikawal, hanya perlu tarik atau tolak hendal untuk bergerak. Selamat untuk saya katakan anda boleh berlumba turun namun haruslah kekal berhati-hati okay?
Sebelum pulang, jangan lupa untuk singgah ke kiosk gambar! Gambar-gambar ini boleh ditebus menggunakan jenis tiket yang sudah termasuk dengan sekeping gambar digital atau anda boleh membuat pembelian pada kaunter gambar.
Klik di SINI untuk layari laman web rasmi Skyline Luge, Singapore.
6. Arab Street, Bugis, Waterloo & Orchard Road
Tidak lengkaplah pengalaman kami di Singapura tanpa berjalan di kawasan tumpuan pelancong seperti Orchard Road, Bugis, Waterloo dan Arab Street. Kesemua tempat popular ini mempunyai daya tarikan tersendiri!
Jika ingin mencuba makanan arab dan melawat Masjid Sultan, silakan ke Arab Street. Di sini juga popular dengan lukisan mural pada dinding-dinding di bangunan sekitar dan terdapat pelbagai kafe menarik yang boleh anda singgah.
Ingin cari cenderahati untuk dibawa pulang? Bugis adalah tempatnya! Masuk sahaja ke sini kami terus jadi rambang mata dengan kepelbagaian barangan yang ditawarkan. Nak keychain? T-shirt atau buah-buahan? Semuanya ada!
Waterloo pula adalah jalan dua hala di pusat bandar Singapura, menghubungkan Ronchor Road ke Bras Basah. Di Kawasan ini terletaknya dua kuil popular di kalangan penganut agama Hindu dan Buddha iaitu kuil Sri Krishnan dan Kwan Im Thong Hood Cho.
Jalan di sekitar Waterloo pada siang hari boleh dikatakan agak sesak meskipun pada waktu bekerja, barisan pada kuil Kwan Im Thong Hood Chon juga agak panjang untuk masuk ke dalam. Kawasan sekitar pula sibuk dengan aktiviti jualan bunga dan barang-barang keperluan untuk ke kuil.
Last but not least, paling popular dikalangan pelancong pastilah Orchard Road! Dikenali sebagai Singapore’s retail heart, di sini terdapat segala-galanya yang anda perlukan! Daripada pusat membeli-belah, restoran enak dan macam-macam lagi.
Untungnya ketika kami berada di Orchard Road sedang berlangsung acara Grand Prix Season Singapore (GPSS) Bazaar yang dianjurkan sempena perlumbaan F1. Kami berpeluang menelusuri jalan yang penuh dengan gerai jualan termasuklah barangan cenderahati F1 sendiri.
Ada juga pertunjukkan imersif dan orang ramai ditawarkan peluang untuk memandu jentara virtual F1!
Keseluruhan pengalaman kami ke Singapura pada musim Grand Prix 2023 tanpa menonton F1 adalah sangat memorable dan sedikit pun tidak mengecewakan. Malah, kami tidak sabar untuk kembali lagi ke kota ini untuk edisi 2024 nanti!.
Apa pandangan anda?