Posted on September 9, 2020
Hadir September, bermakna…? Ya, kita sudah memijakkan kaki ke bulan paling penting untuk fesyen. Bulan yang ditanggap ‘Januari untuk fesyen’ ini – berdasarkan apa yang disebut-sebut dalam filem dokumentari The September Issue – menggemilangkan perubahan, transisi malah pembaharuan. Bulan ini turut membangkitkan antisipasi kita kerana bakal bermulanya minggu fesyen dan memperlihatkan (sekali lagi) daya kreatif serta inovasi jenama-jenama fesyen mempersembahkan metode pertunjukan masing-masing. Hmm, interesting.
Bagi merai kedatangan September, apa kata kita lihat apa yang tersedia dalam Berita Fesyen kali ini?
Bottega Veneta Debut Kempen Musim Luruh 2020!
Bottega Veneta takkan membiarkan lepas Tyrone Lebon. Bermula dari era Phoebe Philo di Celine sampailah ke era Daniel Lee mengetuai Bottega Veneta, Tyrone tetap ditugasi untuk menjadi insan yang bertanggungjawab dalam menghidupkan imej-imej kempen fesyen mereka. Apalagi hubungan rapat Daniel dan Tyrone yang tidak ada apa-apa yang bertentangan, saling memahami, tidak rumit dalam mengecap kemahuan atau kehendak masing-masing.
Seperti lazim, harsh lighting, imej telus atau straightforward, cukup sekadar latar satu dimensi dan efek ala-ala vignette pada imej menjadi aspek penggambaran kempen fesyen Bottega Veneta musim luruh 2020, yang diambil oleh Tyrone. Seting salji, dengan kepulan-kepulan salji sepertikan berpumpun serta imej pokok dingin mendasari kempen fesyen Bottega Veneta kali ini.
Kesemua aspek ini adalah sesuatu yang dekat pada hati Tyrone. Dalam erti kata lain, aspek yang sinonim dengan Tyrone. Kempen kali ini menampilkan wajah-wajah barisan model seperti Mona Tougaard, Abbey Lee – yes, Abbey’s back! – Quinn Mora, Sascha Uhlemann dan Tobias Dionisi, menggayakan key pieces yang terlihat di atas pentas Bottega Veneta musim luruh 2020.
Oh, Calvin Klein! Where Have You Been?!
When people say things are only going to get weirder, plus its 2020? Well, bagi kami, things are going to get interesting. CK Calvin Klein kembali?! Apakah kami terlepas sesuatu? Atau barangkali sudah terbiasa atau terlena mesra dengan #MYCALVINS, tidak terfikir tentang CK Calvin Klein.
Ya, ucapkan helo buat himpunan CK Calvin Klein musim luruh 2020! Memunculkan himpunan buat si lelaki dan perempuan, CK Calvin Klein merai kemodenan, keringkasan serta yang ada elemen seksi pada penggayaan. Pada masa sama tidak mengabaikan aspek gaya yang dikatakan tidak bertanggal tarikh. Untuk himpunan musim luruh 2020 lelakinya, CK Calvin Klein mengetengahkan gaya sartorial, namun menyisip estetika moden – estetika yang signifikan buat Calvin Klein. Ia mengoptimumkan gaya minimal dan aspek keringkasan pada helaian-helaian tailored. Dan daripada kelihatan ‘bersih kosong’, sebaliknya CK Calvin Klein menyaingi gaya-gaya tersebut dengan konsep kefungsian. Ia turut memfokuskan pada material, tekstur juga konstruksi rekaan untuk mencerminkan sifat keindividuan si pemakai.
Untuk himpunan perempuan pula, CK Calvin Klein memulihkan ingatan kita pada akar umbi Calvin Klein. Ia mengutamakan konsep tak makan dek zaman dalam himpunan musim luruh 2020-nya. Menterjemahkan sofistikasi feminin yang turut disertakan sekali aspek kefungsian dalam penggayaan (seperti rekaan untuk lelaki), ia memusatkan perhatian pada rekaan siluet dan struktur fabrik yang digunakan. Sungguhpun terasa gayanya sepertikan bersahaja atau acuh tak acuh, namun ia sebenarnya mempamerkan keberanian gaya seorang perempuan.
Giorgio Armani Umum Pertunjukan Fesyennya Bulan September Ini
Bulan September bermakna bulan minggu fesyen. Agakan semua orang fasal pertunjukan fesyen sekarang ini – kerana pandemik COVID- 19 yang menjadi punca – adalah sama ada ia menjurus kepada konsep digital, memunculkan cereka fesyen, mengehadkan undangan ke pertunjukan fizikal mahupun menjadi lebih kreatif dalam mempersembahkan himpunan masing-masing – contohnya Show In A Box daripada Loewe.
Berbeza pula dengan Giorgio Armani. Giorgio Armani semalam mengumumkan perancangannya untuk pertunjukan fesyen musim bunga panas 2021 yang bakal diadakan pada 24 September dan 26 September. 24 September adalah pertunjukan Emporio Armani, manakala 26 September adalah untuk pertunjukan Giorgio Armani.
Lantaran itu, ia terbahagi kepada dua konsep yang berbeza. Untuk pertunjukan Emporio Armani musim bunga panas 2021, ia akan berteraskan konsep ‘Building Dialogues’ di mana, himpunan lelaki dan perempuan akan dipamerkan secara digital (sebagai presentasi video istimewa) dalam laman web emporioarmani-buildingdialogues.com. Laman web mini atau mini site ini dicipta dan dikhususkan untuk projek khas musim bunga panas 2021 Emporio Armani. Ia akan dipertunjukkan dalam rangkaian sosial Armani serta platform Italian Chamber of Fashion. Dalam video tersebut, rekaan-rekaan Emporio Armani akan dipakai oleh model-model dan sekumpulan artis seperti penyanyi, pelakon juga penari. Dirakam di ibu pejabat Armani di Via Bergognone, Milan, cereka digital ‘Building Dialogues’ ini menerokai seting seni bina, bangunan serta ruang yang mampu mencorakkan sebuah dialog.
Untuk persembahan Giorgio Armani musim bunga panas 2021, ia sedikit berbeza daripada Emporio Armani. Bertemakan ‘Timeless Thoughts’, selain platform armani.com, rangkaian sosial serta platform Italian Chamber of Fashion, himpunan Giorgio Armani musim bunga panas 2021 untuk lelaki dan perempuan akan ditayangkan pada 26 September nanti sepenuhnya di televisyen buat pertama kalinya! Ia akan diselitkan dalam waktu perdana saluran La7 Italian TV. Memilih tema ‘timeless’, ia mencerminkan konsep rekaan yang menyingkap idea stail timeless, berdasarkan pemerhatian Giorgio Armani. Belum pasti lagi bagaimana rupa atau gaya persembahannya, nampak gayanya kena tunggu dekat-dekat hujung September untuk menyaksikan pertunjukan metode baru Armani nanti!
‘Sounds Of A Planet’ – Al Kisah Tod’s & Si Gadis Kedai Cucian Kering
Menyambung bicara fasal bagaimana jenama-jenama fesyen sekarang terjun ke dalam ‘sampan tunda’ digital, mempersembahkan himpunan secara digital dan seumpamanya, membuka fikiran serta mata kita tentang kekreatifan jenama-jenama fesyen dalam mengetengahkan produk masing-masing. Ada sahaja caranya!
Jenama Tod’s menghidangkan kita sebuah cereka pendek fesyen dalam mempersembahkan himpunan musim luruh dingin 2020-nya. Menampilkan duta jenama Tod’s, yakni Nana Eikura sebagai teraju utama dan Tomokazu Yamada pula selaku pengarah.
Berjudul ‘Sounds of a Planet’, cereka pendek fesyen ini menyandiwarakan kehidupan gadis yang bekerja di kedai cucian kering yang kelihatan usang atau tua dan dia memfantasikan satu pengalaman misteri umpama keluar daripada lamunannya. Jalan ceritanya menyaksikan pelanggan-pelanggan yang punya karakter unik, datang ke kedai cucian kering tersebut seraya menggayakan produk-produk rekaan pengarah kreatif Tod’s, Walter Chiapponi. Bunyi yang menjadi tema utama cereka ini hadirnya daripada bunyi-bunyi indah yang dicipta oleh manusia sendiri. Lantas, ia mencorakkan pertukaran pendapat, perbualan serta idea di antara dua individu.
‘Sounds of a Planet’ memusatkan perhatian kita pada seni kraf jenama Tod’s. Pengarah Tomokazu menggunakan tradisi serta mutu ketukangan Tod’s, mengaitkan ia dengan penceritaan hubungan manusia yang bisa terbentuk menerusi sepasang kasut. Berkonsepkan dark-comedy atau genre fantasi romantik, cereka pendek fesyen ini tidak hanya menambat pandangan kita pada himpunan kasut sahaja, ia malah membuat kita tertarik pada penceritaan, sinematografi, dialog juga olahannya yang mengumpamakan sebuah filem betul.
Apa pandangan anda?