Posted on December 22, 2020
Bungkam dan bunyinya seperti mati segala. Hanya dihidupkan dengan gerak lapang longlai dan bahasa badan. Cereka Alexander McQueen musim bunga panas 2021 memahat seribu makna dan mesej. Apa yang dibingkaikan adalah kejernihan ngeri menembusi suasana, bandar raya hana yang kelihatan asing, tetapi nampak indah permai. Cuma dihuni oleh pemuda-pemudi dalam seperangguan pakaian daripada Alexander McQueen.
Cereka fesyen pendek bisu tanpa sepatah dua kata ini dihasilkan oleh pengarah Jonathan Glazer. Berjudul ‘First Light’, berdurasi lima minit, sejujurnya, tidak hanya merangsang visual, namun juga mengusik minda. ‘First Light’ sangat cantik pada pandangan, namun, ia menjaring sekali kegerunan. Serasa menonton ‘Le Mythe Dior’, ‘First Light’ juga melontarkan ketindihan rasa itu – cantik berbaur takut.
Ia subjektif, bersifat imaginatif dan intuitif. Terserah kepada kita untuk menghuraikan atau mentafsirkan ‘First Light’. Apa yang dipersembahkan bukannya berupa kaku, ia hanya mempertontonkan pergerakan tenang, perlahan dan manja. Terkadang, buat yang sukar untuk memahaminya, mungkin mencetuskan rasa tergantung. Sehingga agak payah dalam menjabarkan satu-satu makna yang dihidangkan.
Itulah yang barangkali cuba dititipkan oleh Glazer dan Sarah Burton. Menceraikan perasaan dan pemahaman sesudah menonton ‘First Light’.
Mulih ke kampungnya, Burton memilih London sebagai lokasi utama ‘First Light’. Keadaan pasang surut sungai Thames yang kelihatan seperti setelaga air tenang menjadi pembuka jalan cerita ‘First Light’. Pada masa sama, air yang mengalir di sungai itu juga nampak lesu dan udara di sekelilingnya seperti pengap. Sementelahan pula pengolahan rona filemnya seperti rona abu, menguatkan lagi atmosfera cantik berbaur takut yang dimaksudkan.
Kamera menyorot perlahan-lahan dari pemandangan luas sungai Thames ke arah dua sosok perempuan – model Jill Kortleve dan Amal Tobi – yang kelihatan merodong arus sungai Thames di bawah jambatan. Mereka berdua bersiap dalam gaun kembang Alexander McQueen, seraya beraksi mengangkat hujung skirt. Seakan-akan tidak mahu membasahi gaun tersebut. Disaingi lagi oleh runut bunyi atau efek bunyi ala intro siri Black Mirror, yang tidak berharmoni dengan gambaran. Ia menerbitkan rasa seperti menonton filem fiksyen distopia-psikologikal.
Kemudian terlihat tiga pemuda berlagak gangster merentangi jambatan. Entah mengapa lagak mereka itu mengingatkan kita pada babak Flat Block Marina dalam filem The Clockwork Orange. Mereka bertiga – yang menggayakan helaian-helaian lelaki Alexander McQueen – nampak seakan-akan berusaha untuk menjumpai sesuatu atau seseorang.
Ia kemudiannya berkalih ke babak bercumbu-cumbuan ghairah si pemuda dengan si pemudi di bawah jambatan, di tebing sungai. Sambil bercumbu-cumbuan, si pemudi sempat menyeluk tangan ke dalam poket jaket si pemuda lalu mencuri dompetnya. Seterusnya, kamera menyorot ke seorang perempuan tidak berkawan, duduk berlunjur kaki di tebing sungai. Perempuan itu memakai gaun kembang tulle berona lembut bersih, tetapi duduk menenggelamkan diri dalam selut. Dia melabuhkan bahagian belakang badannya, baring di atas selut kelabu, menebar, menggerakkan tangannya atas bawah serta kakinya ke kanan, ke kiri. Mencorakkan bidadari salju. Wajahnya melemparkan senyuman, barangkali mencerminkan kerinduannya pada kesentosaan dunia.
Kelihatan gerombolan pemuda-pemudi berceratukan di tebing sungai, di bawah jambatan. Bersantai, berseronok, menjamu selera. Mereka nampak seperti bermukim di bawah jambatan tersebut, seolah-olah hidup dalam dunia anti-utopia atau pasca apocalypse. Apa yang digambarkan oleh Glazer dalam babak itu membangkitkan persoalan yang menggoncangkan tanggapan kita, “Apakah begini rupanya bumi selepas pandemik? Bumi menjanda, hilang hubungannya dengan manusia? Populasi manusia pula berkurang dan yang tinggal cuba untuk mencetuskan rekonsiliasi, agar dunia kembali aman seperti sebelumnya?”
Di akhir-akhir cereka ‘First Light’, terlihat dua perempuan berdiri bertentangan di tebing, terpisah oleh sungai Thames. Mereka melambai-lambai, tanda melahirkan rasa teruja berjumpa. Begitu indah susunan jalan cerita ‘First Light’yang sejelas-jelasnya memerihalkan hubungan manusia di dunia dan dengan dunia. Berkaitan dengan segala apa yang berlaku sekarang dan suasana “What if?” Menukilkan kata Burton, “A world charged with emotion and human connection,” menerusi cereka ‘First Light’, dia mahu merawat minda kita tentang dunia ‘digerakkan’ oleh perbuatan manusia.
Apa pandangan anda?