Posted on July 29, 2020
Suasana bak sesudah tergelincirnya bulan dan terbit mentari pagi. Lapangan tenis menjadi ‘taman mainan’ Chloe x Halle. Hari itu seperti hari kelepasan buat dua biduan muda itu, seakan-akan bebas daripada segala ketegangan. Di samping Chloe menjadi taulan kepada Halle dan begitu juga sebaliknya, beg Peekaboo Fendi pun tak ketinggalan menjadi teman yang melengkapkan hari mereka berdua. Membangkitkan rasa kebersamaan yang kuat!
Idea ini bergejolak dan menggergasi dalam benak fikiran Andrew Makadsi, selaku pengarah seni serta dipertemukan lagi dengan kecelikan si videographer, Derek Milton. Imej-imej dua beradik biduan itu ditangkap pula oleh si fotografer yakni Julian Dakdouk dan gaya masing-masing ditata oleh Zerina Akers – penata gaya peribadi Chloe x Halle dan juga Beyonce. Perpaduan ketiga-tiga daya kreatif ini adalah bersandarkan pilihan Chloe x Halle sendiri. Buat pertama kalinya, jenama Fendi memberi kuasa sepenuhnya kepada bintang kempen fesyennya untuk memilih pasukan kreatif sendiri dan merealisasikan penceritaan yang tercetus daripada beg Peekaboo.
Episod siri #MeAndMyPeekaboo yang dipersembahkan oleh jenama Fendi kali ini menampilkan duo biduan generasi-Z, Chloe x Halle, atas dasar penghargaan ke atas bakat serta aktivisme mereka. Pengarah kreatif Fendi, Silvia Venturini Fendi, mahu menilik kemesraan atau keakraban yang terbentuk daripada hubungan famili untuk siri #MeAndMyPeekaboo-nya. Apalagi yang melambangkan hubungan yang sukar dipisahkan, lantas Chloe x Halle yang terlintas dalam mindanya.
Setelah memilih pasukan kreatif sendiri, Chloe x Halle menjalani penggambarannya di Los Angeles. Seperti yang diterangkan di atas, di mana mentari pagi menyuasanai jalan ceritanya, sudah pasti kesenggangan Chloe x Halle dibawa ke meja makan yang terhidang sarapan pagi stailish. Mengapa sarapan pagi mereka stailish? Kerana sarapan pagi itu disempurnakan dengan beg-beg Peekaboo. Tak hanya mengusik, malah menjentik hati kita yang menonton, untuk jatuh cinta pada beg-beg Peekaboo tersebut.
Cereka #MeAndMyPeekaboo ini tidak tergencat di situ. Kita kemudiannya dihiburkan lagi oleh aksi dua beradik ini meluangkan masa senggang musim panas mereka dengan bermandi-manda dalam kolam renang, membasahkan sekali beg-beg Peekaboo. Ia bukan sahaja berjaya ‘menangkap’ ligat, malah juga ‘menangkap’ kecantikan semulajadi kedua-dua beradik ini. Oh, tak lupa juga runut bunyi (trek lagu) ‘Busy Boy’ yang dipetik daripada album mereka yakni Ungodly Hour, mengiringi perjalanan cereka #MeAndMyPeekaboo.
Siri yang diusulkan oleh Silvia dan Fendi yang berkaitan dengan pertalian famili sudah dijadikan ‘tradisi’ #MeAndMyPeekaboo. Sebelum Chloe x Halle, ia pernah menampilkan Kim Kardashian West, North West juga Kris Jenner serta pasangan adik beradik TK Wonder dan Ciprianna Quann.
Apa pandangan anda?