Posted on July 8, 2021
Pada penghujung pertunjukan Couture Matador Schiaparelli di salon Schiaparelli di Place Vendome, pengarah kreatif asal Texas, Daniel Roseberry memenuhkan seluruh ruang pertunjukan dengan percikan warna dan perincian. Selepas menghabiskan 11 tahun di Thom Browne, Roseberry menyertai Schiaparelli sebagai pengarah kreatif sejak dua Julai lalu.
Lockdown nampaknya memberi banyak faedah kepada Roseberry. Semangatnya untuk mencipta koleksi couture yang bakal menjadi buah mulut dilihat begitu berkobar-kobar dan jelas dalam pertunjukan couture digitalnya kali ini. Namun walaupun dalam lockdown, nama Schiaparelli nampaknya tidak hilang langsung. Apalagi selepas nama-nama besar seperti Beyonce, Lady Gaga dan Kim Kardashian memilih untuk menyarung rekaan couture jenama ini.
Ya, siapa boleh melupakan dress dengan korset six pack hijau yang disarung Kim K untuk majlis sambutan Krismasnya? Begitu juga dengan gaun yang dipakai oleh Lady Gaga untuk menyanyi di majlis inaugurasi Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden. Secara tak langsung kesemua publisiti yang dicipta ini membuat orang tertunggu-tunggu akan koleksi ini. Dan penantian itu langsung tidak menghampakan.
Couture Matador Schiaparelli
Idea ini bermula pabila Roseberry menjumpai swatches Schiaparelli dari era 30-an dalam laci penyulam Lesage yang memberi inspirasi kepada jaket matador dalam koleksi ini. Jaket ini boleh dianggap sebagai helaian kunci dalam koleksi ini. Lengan melengkung melambangkan telingan 3D, hidung dan bibir atau disulam dengan mata seramik. Jaket ini disambung-sambung daripada vintaj Levi’s memaparkan penutup tetek berbeza – satu metalik dan sebelah lagi kon abstrak berputar.
Walaupun koleksi ini dipanggil Matador Couture, tidaklah semua rekaan mengambil sepenuhnya tema sukan Spanish ini. Ada juga jaket yang memaparkan bunga ros sebagai penghormatan kepada kot hasil kolaborasi Schiaparelli dan pemuisi serta artis Jean Cocteau. Ada juga dress koktel hitam pendek yang diberi rekaan garisan leher yang menyerupai tanduk lembu.
Roseberry berkata ini adalah masanya untuk membawa kembali keseronokan dunia fesyen, selepas merangkak keluar dari waktu yang gelap. “Saya rasa bersemangat dengan apa yang kami lakukan di Schiaparelli. I think the people who get it, get it really, really thoroughly,” katanya.
“Kami tak ada bajet berbilion-bilion ringgit, dan kami sangat bertuah dengan dunia digital kerana ia telah menyama ratakan semua jenama sepanjang minggu couture. Jadi jenama yang benar-benar kuat akan ditampilkan ke depan. Tapi saya tak sabar untuk kembali dengan pertunjukan fesyen dan saya amat bersyukur dengan tempoh setahun setengah ini dalam lockdown kerana benar-benar mampu membina bahasa saya sendiri dalam dunia saya.”
Lihat seluruh koleksi couture Schiaparelli di sini.
Apa pandangan anda?