Posted on October 19, 2020
“Laku keras”, kata orang sekarang. Kesan daripada siri Emily In Paris, permintaan bucket hat, skirt kulit ular, beg Aldo dan beg Snapshot Marc Jacobs terus meninggi di atas talian. Dalam pada siri Netflix ini yang mula dipertontonkan pada awal Oktober lalu, mengasyikkan penonton dengan latar belakang kota cinta Paris serta stail si Emily Cooper, terkadang menggemaskan kerana jalan ceritanya yang terlampau ringan dan meraban, one thing is for sure, ia membantu menaikkan jualan produk beberapa jenama fesyen ternama. Apalagi keadaan sekarang yang sepertikan ‘semrawut’ dengan masalah pandemik.
Sungguhpun Emily In Paris diibaratkan sebagai guilty pleasure, manakala penggayaan watak Emily (lakonan Lily Collins) membangkitkan perselisihan – ada yang suka, ada yang tidak suka langsung – percaya atau tidak, setiap apa yang dipakai oleh Emily dikepung oleh pemerhati-pemerhati fesyen!
Atas sebab kecelikan akal penata gaya Patricia Field, – penata gaya atau pereka kostum untuk siri Emily In Paris – yang reti menggabungkan ceraian mahupun aksesori, daripada jenama high end ke jenama high street ; mencemerlangkan idea high-low, mempertemukan Chanel dengan Asos, Zara dipadankan bersama Louboutin atau Dior dimadukan dengan & Other Stories ; gaya-gaya Emily menjadi bual orang ramai. Lalu, seronok bukan kepalang si pengikut-pengikut Lily Collins serta siri Emily In Paris, berlanjut-lanjut menjadi obsesi sehingga memunculkan akaun Instagram yang didedikasikan kepada posting setiap satu pakaian, helaian dan aksesori yang dipakai oleh Emily. Mata-mata mereka pula cekap, tangkas mengenal jenama-jenama pada setiap penggayaan Emily.
Daripada situlah, bila ada yang mula berkenan, kemudian mengetahui apa yang dipakai atau digayakan oleh si Emily, terus ia tidak teragak-agak untuk membeli item atau produk yang ‘sebiji-biji’ digayakan oleh Emily tersebut.
Topi bucket daripada jenama Kangol ini (gambar atas) ‘laku’ di Lyst
Contohnya, dalam episod tujuh yang berjudul “French Ending”, Patricia menata gaya Emily dengan topi bucket berona merah jambu daripada jenama Kangol. Sehinggakan Emily diberi julukan ‘Bucket Hat’ oleh watak bernama Brooklyn Clark – yakni watak undangan dalam episod tersebut. Bermula daripada episod itulah, carian topi bucket berona merah jambu daripada jenama Kangol ini naik menjulang. Menurut Lyst, peratusan orang mencari topi yang berharga 68 dolar ini dalam laman web Lyst meningkat ke 342 peratus.
Siapa sangka beg tangan yang dijinjit oleh Emily (gambar kiri) adalah daripada Aldo dan ia habis terjual selepas premiere siri tersebut! Begitu juga dengan skirt bercorak kulit ular daripada Ronny Kobo (gambar kanan) yang naik menjulang terus jualannya.
Selain topi bucket Kangol, penampilan Emily di awal-awal episod (episod premiere) pun turut meningkatkan carian Lyst. Sehingga 14 Oktober lepas, beg tangan Aldo yang dijinjit oleh Emily dalam episod pertama sewaktu dia mula-mula sampai di pejabat Savoir – ya, kami pun tidak tahu ia adalah beg tangan Aldo! – terus dicari-cari oleh orang ramai dalam Lyst. Cariannya pula naik menjulang ke 64 peratus, selepas pertunjukan perdana Emily In Paris and guess what? Beg Aldo yang bernilai 65 dolar ini sudah habis terjual! Sama juga dengan skirt bercorak kulit ular yang dipakai oleh Emily dalam episod pertama ini. Skirt mini berharga 238 dolar tersebut adalah daripada jenama Ronny Kobo dan terima kasih kepada Emily In Paris, jenama Ronny Kobo disebut-sebut orang. Cariannya menerusi Lyst meningkat ke 22 peratus dan… ia juga habis terjual selepas pertunjukan perdana Emily In Paris.
Beg cross-body Jelly Snapshop Marc Jacobs (gambar atas) yang dipakai oleh Emily dalam episod 7 meningkatkan carian ‘Marc Jacobs’ di Lyst
Beg cross-body Jelly Snapshot Marc Jacobs pun terkena ‘tempias’. Emily yang terlihat memaut beg Jelly Snapshot Marc Jacobs pada bahunya mencuri perhatian penonton, sampaikan permintaan serta cariannya di Lyst menggunung ke 92 peratus. Dahsyat juga Emily In Paris. Walhal siri ini ditenggelami oleh plot yang tak masuk akal dan dikutuk ramai. Tetapi, barangkali, dari aspek penataan gaya, ia menang. Agaknya. Seperti apa yang dinyatakan oleh kami awal tadi, biarpun jalan cerita siri ini meraban, Patricia memenangkan hal itu – yakni penataan gayanya. Bak kata penata gaya juga pengarang Vogue Germany, Christiane Arp, “The biggest thrill for me as an editor? To be able to create, on the back of my own ideas, a hype.” Itulah dia, a hype. Hype dari aspek penggayaan watak Emily.
Jadi, jika mahu menonton Emily In Paris, teruskan saja. Ingat apa yang dibincangkan dalam sesi IG Live STAIL.MY pada hari Rabu lepas? “Tonton ia dengan minda terbuka” dan “Sebagai ‘pengisi’ sepanjang masa PKPB ini.” Lol!
Apa pandangan anda?