Posted on July 22, 2020
Awal minggu ini, CFDA atau The Council of Fashion Designers of America telah menggazet pencalonan untuk Fashion Awards 2020. Anugerah yang digelar sebagai “Oscars of Fashion” ini menjagokan nama-nama yang dikatakan sudah biasa atau sudah pernah dicalonkan (malah ada yang sudah pernah menang) terdahulu – di samping kategori American Emerging Designer of The Year yang membariskan nama-nama pereka fesyen baharu – dan perkara tersebut telah membangkitkan persoalan di kalangan media.
Mengapa? Mengapa nama-nama yang sudah pernah tercalon dan menang, sekali lagi dicalonkan tahun ini? Ia umpama satu ‘kitaran semula’ fesyen. Ia ‘berputar’ ke nama yang sama dan wajah yang sama sahaja. Tiada perubahan, sedangkan sudah masuk tahun 2020. Contohnya Marc Jacobs, Thom Browne dan The Row yang sudah pernah menggondol anugerah-anugerah terbesar, dua tiga kali dah. Namun untuk 2020 kali ini, mereka tercalon lagi.
Apatah lagi dengan gerakan perjuangan yang cuba meranapkan diskriminasi ras juga rasisme sistemik serta keberanian Black creatives yang mendedahkan tokenism dalam industri fesyen, ia mendorong sesetengah media mempersoalkan Fashion Awards 2020 yang dikendalikan oleh CFDA ini dianggap seperti masih tidak belajar daripada kesilapan. Kerana pencalonan untuk kategori-kategori utama seperti American Womenswear Designer of The Year, American Menswear Designer of The Year serta American Accessories Designer of The Year hanya ‘cukup syarat’ mencalonkan dua pereka fesyen people of colour. Sekadar mahu ‘melepaskan’ diri daripada tanggungjawab dan boleh menyebut “I’ve done my part”.
Vanessa Friedman daripada The New York Times, antara yang lantang meluahkan kritikan tersebut dan ia sudah tentunya disetujui oleh fashion watchdogs seperti Diet Prada. Vanessa siap menyusun nama-nama pencalonan tahun 2020 dan mendedahkan secara terperinci apakah anugerah yang pernah diraih atau dimenangi oleh nama-nama tersebut sebelum-sebelum ini.
Vanessa mencadangkan kepada Tom Ford – Tom Ford selaku pengerusi CFDA – yang mengungkapkan kata “In this time of unprecedented challenge and change for our industry…” dalam menerangkan senario Fashion Awards 2020, untuk mengubah terus sistem penganugerahan kali ini.
Kerana alang-alang sudah berubah disebabkan desakan pandemik COVID- 19 dan bakal mengadakan acara ini secara digital, mengapa tidak menukar terus kategori anugerah kepada sesuatu yang baharu atau rombak pencalonan? Agar ia bukan sahaja lebih condong kepada diversifikasi, malah mengait sekali faktor kemanusiaan. Contoh yang dicadangkan oleh Vanessa dalam artikelnya adalah Front-Line Employees Award yang menghargai pekerja dalam industri fesyen yang bekerja sepanjang pandemik, mengepek kotak untuk melangsungkan perjalanan bisnes e-dagang.
Menyentuh hal diversifikasi, mujur ada anugerah American Emerging Designer of The Year yang (satu-satunya) menampilkan kepelbagaian dalam pencalonannya. Nama-nama pencalonan American Emerging Designer of The Year adalah Peter Do, Christopher John Rogers, Reese Cooper, Kenneth Nicholson dan Sarah Staudinger dan Georger Augusto untuk jenama Staud.
Pencalonan atau penganugerahan Fashion Awards untuk 2020 sebetulnya begini. Memperbanyakkan nama-nama baharu, mempelbagaikan ia, tidak mengulang wajah yang sama lagi dan berani untuk berubah. Agar intelek fesyen tidak terbeku dan tersekat di situ sahaja.
Dan, lantaran pandemik COVID-19, Fashion Awards yang sepatutnya berlangsung bulan Jun lepas ditunda ke bulan September – spesifiknya pada 14 September nanti. Nama-nama pemenang akan diumukan menerusi CFDA.com dan saluran media sosialnya.
Apa pandangan anda?