SEARCH

Zac Posen Tutup, Petanda Tidak Elok Buat Bisnes Fesyen?

Zac Posen Tutup, Petanda Tidak Elok Buat Bisnes Fesyen?

Menghormati dan meluhurkan kewanitaan yang sudah memamah jiwanya, sepertikan mendarah daging. Sebut saja Zac Posen, dia bagai melukat dengan citra glamor karpet merah, elegan dan menahan darjat wanita dalam ragam rekaan-rekaannya. Zac punya mata hati yang memahami ‘anatomi’ perempuan, sampaikan namanya membumbung tinggi, diakui sebagai salah seorang strong fashion player.

Dress yang direka khas untuk Glenn Close di Academy Awards, Claire Danes di Met Gala dan termasuklah rekaan-rekaannya galak kali dipilh menghiasi editorial-editorial fesyen – semuanya beroleh kejayan, mencipta detik-detik ikonik di acara-acara tertentu.

Namun apakan daya, Zac Posen menutup jenama senamanya. Tiada lagi Zac Posen ‘House Of Z’. Patah jua ‘galang’ yang menghubungkan Zac Posen dengan industri fesyen. Setelah dua dasawarsa, pihak pengurusan mewartakan penutupan jenama Zac Posen, atas alasan “untuk strategi dan pengurusan kewangan yang lebih komprehensif”. Secara perlahan-lahan, mendekati hujung tahun ini kelak, jenama Zac Posen akan melupuskan satu-persatu asetnya.

Nasib jenama diffusion milik Zac yakni ZAC Zac Posen masih lagi ada, manakala posisinya sebagai pengarah kreatif jenama Brooks Brothers dikekalkan. Sekurang-kurangnya keberadaan Zac relevan lagi.

zac posen ceased brands 2019

Tak terduga sama sekali, jenama fesyen yang pernah menjadi sorotan utama dahulu kerana diasaskan oleh pereka fesyen yang berusia 21 tahun pada ketika itu, menoktahi perjalanannya. Enam puluh staf yang bekerja bersama Zac diarahkan berhenti, termasuklah gerombolan atelier-nya. Ia terus mendapat perhatian teman-teman seperjuangannya yang lain seperti Christian Siriano yang memuat naik post kelmarin, sebagai tanda sokongan emosi buat Zac dan pada masa sama menjelaskan serba sedikit fasal kesulitan dunia fesyen.

Di manakah silapnya? Adakah kerana terlalu condong ke arah menjaga eksklusif, lalu merencatkan bisnes?

Ini pandangan peribadi kami. Barangkali Zac tidak memperbaharui modul perniagaannya? Terlena-lena dengan exclusivity, tidak membawa sebarang pembaharuan atau pemodenan dan tidak ‘agresif’ – untuk menyaingi jenama-jenama fesyen lain yang sudah berkiblatkan kebaharuan dan kemudaan. Sedangkan Zac ada bekerjasama dengan syarikat-syarikat lain seperti Delta Airlines dan muncul sebagai juri untuk program Project Runway, maka tidak ada sebab jenamanya dianggap tidak relevan. Maybe that doesn’t make the cut. Orang terutama sekali konsumer dan pasaran mahukan sesuatu yang lebih : contohnya Louis Vuitton X Supreme atau seperti jenama couture Giambattista Valli X H&M. Tetapi Zac Posen…?

Malah, dalam pada jenama-jenama fesyen lain aktif dari aspek media sosial seperti Instagram dan melaksanakan projek-projek mikro khusus untuk media sosial – contohnya Gucci dengan projek sniker #GucciAce – Zac Posen pula tidak cergas dalam bab media sosialnya. Nak tak nak, harus akur dengan permintaan atau kehendak pasaran semasa. Bekerja dengan influencer fesyen, mahupun ‘merendahkan diri’ sedikit agar sejajar dengan trend sekarang dan meraih earned media (earned media sangat penting dalam hal bisnes fesyen, ia membantu meningkatkan jualan). Melihat Instagram milik jenama Zac Posen, ia seakan-akan terkebelakang. Lemah jika dibandingkan dengan jenama-jenama fesyen lain.

Kerana tingkah laku konsumer berubah-ubah. Revolusi sekarang mengkehendaki jenama high end untuk menjadi lebih interaktif. Berkomunikasi dalam bahasa konsumer zaman sekarang yang mendambakan sesuatu yang accessible. Lebih-lebih lagi dengan wujudnya kemudahan teknologi tinggi, penglibatan konsumer lebih bersifat direct dan mengubah interaksi. Perlunya kesaksamaan juga mengutamakan konsumer. Mungkin (mungkin, ya) Zac Posen tidak mengutip aspek-aspek sebegini, hilang kesetiaan pelanggan-pelanggannya dan akhirnya, tiada arah tuju. Sayang.

Pelik juga kerana sewaktu Zac mereka gaun kembang Claire Danes untuk acara Met Gala 2016 – gaun yang berkilau, bercahaya dalam suasana gelap – dia dilabel sebagai pembawa kemajuan dalam mereka couture. Artikel tulisan Charles Purdy menamakan Zac sebagai “The Future of Fashion Design” kerana kehebatannya dalam mengahwinkan teknologi dengan couture. Zac menjelaskan bahawa dia tidak menyingkir kepentingan kemajuan teknologi sepanjang proses pembikinan gaun tersebut. Akan tetapi, mana perginya pemikiran teknologi itu dalam memelihara nama jenamanya?

SEBAGAI TANDA SELAMAT TINGGAL, KITA LIHAT BEBERAPA REKAAN IKONIK ZAC POSEN YANG MENJADI PILIHAN STAIL

Jourdan Dunn di Met Gala

Claire Danes & dress ‘glow in the dark’ di Met Gala

Kemunculan pertama Zac Posen, mereka dress koktel untuk Natalie Portman di tayangan perdana Star Wars sekitar 2002.

Dress merah jambu ‘shocking’ yang direka untuk Sarah Jessica Parker

Gaun kembang Rihanna sewaktu acara Diamond Ball

 

JENAMA-JENAMA FESYEN LAIN YANG TUTUP / GULUNG TIKAR TAHUN INI

FOREVER 21

 September yang lepas adalah detik buruk bagi jenama Forever 21. Forever 21 telah difailkan ‘Chapter 11 Bankruptcy’, tidak menguntungkan pabila didakwa ia kehilangan konsumer-konsumer lingkungan usia muda. Bukan sahaja bersaing dengan jenama high street lain, malah ia tidak mampu melawan pasaran atas talian yang semakin menjadi-jadi. Cawangan-cawangan sekitar Asia dan Eropah menjadi sasaran utama penutupan butik Forever 21.

SONIA RYKIEL

 Perginya mendiang Sonia Rykiel tiga tahun lepas adalah satu kehilangan besar buat industri fesyen. Sayang sekali, jenama senama yang diasaskan oleh Sonia juga telah dibubarkan dan ditutup pada Julai baru-baru ini, melepaskan 135 orang pekerjanya. Sonia Rykiel yang sangat dikenali dengan imej yang berani menyanggah paradigma Parisian dan distingtif ini juga difailkan sebagai bankrap. Mendekati hujung tahun ini, semua aset termasuklah sampel serta item-item arkib milik jenama Sonia Rykiel akan mula dijual.

BARNEYS

 Bayangkan, stor terunggul yang kita sudah biasa lihat di kaca televisyen dulu-dulu, yang sinonim dengan imej New York ini pun diumumkan bankrap dan pada bulan ini, akan mula ditutup – 15 daripada 22 stor Barneys akan ditutup. Macam-macam cerita yang kurang enak dikaitkan dengan Barneys. Antaranya tidak menjual item untuk perempuan plus sized dan bersikap perkauman terhadap pelanggan berkulit hitam. Barneys juga dikatakan tidak berubah dan terkebelakang dari segi mengikut kemahuan pasaran atau trend sekarang.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE