Posted on December 15, 2020
Terima kasih kepada Nirvana, orang familiar atau tahu apa itu grunge fashion. Terima kasih sekali lagi kepada Nirvana, penangan grunge fashion meninggalkan impak sampai sekarang dan menggelorakan semangat orang untuk terus mencari ‘grunge fashion’ – topik ‘fashion styles’ – di Google pada tahun ini!
Ada apa dengan grunge fashion yang menjadikannya antara carian tertinggi di Google (setakat semalam, 15 Disember 2020)?
Konsep grunge fashion yang pernah dijadikan tema dalam Vogue Disember 1992 (kiri), hasil kerja Grace Coddington & siri 90an ‘My So-Called Life’ (1992) yang memaparkan era kegemilangan grunge fashion
Akhir tahun lepas, pernah kami membuat itlakan terhadap laporan trend Pinterest tahun 2019 dan mendapati bahawa fesyen 90an antara carian tertinggi di kalangan Gen-Z. Andaian kami pada masa itu adalah Gen-Z zaman sekarang yang sudah celik teknologi, dengan ragam rencaman dan sifat keingintahuan bagai kuat ‘menggayut’ dalam kepala masing-masing, membuatkan mereka cari apa itu fesyen 90an. Timbul minat mereka untuk menaip fesyen 90an di Pinterest sehingga menjadikan carian tersebut tersenarai dalam top Pinterest 100.
Malah, andaian yang dibuat oleh Pinterest (berdasarkan carian), Gen-Z sedar tentang gender-neutral dan sudah mula mencari-cari opsyen – fesyen non-binary atau gaya-gaya yang tidak berlandaskan kejantinaan – di Pinterest.
OK, berbalik kepada topik fesyen 90an. Grunge fashion – stail yang popular pada pertengahan era 90an – pula tersenarai dalam carian tertinggi di Google semalam. Mengapa? Apa yang menjentik kehendak di hati untuk mencari, yang berjalaran ke jari-jari menaip ‘grunge fashion’ di Google? And what is up with the craze for 90s fashion by people nowadays? Apakah ‘algoritma’ itu sudah menggodai manusia, mengisi salah satu pojok dalam diri sampai mempengaruhi minatnya terhadap fesyen 90an?
Persoalan yang kita tidak akan tahu apakah jawapannya.
Burberry musim luruh dingin 2020 (atas) yang menampilkan clashing checks. Ada yang merumuskan bahawa grunge fashion bakal menjadi trend tahun 2021
Namun, andaian kami kali ini adalah berkaitan dengan kelaziman baharu manusia sekarang yang sudah membudayakan ‘duduk di rumah’ atau ‘berkurung menghabiskan masa di rumah’. Kesan daripada pandemik COVID-19. Terlalu banyak masa lapang di rumah, bertemankan gajet, lantas dipenuhi oleh kehendak atau keinginan untuk melayari internet dan media sosial sahaja. Kehendak atau keinginan yang bertunas kepada kreativiti masing-masing untuk menerokai fesyen atau jenis stail yang boleh dicuba.
Kemunculan akaun-akaun TikTok yang mengajar tips penggayaan atau cara berfesyen juga mengenakan pengaruh kuat terhadap tingkah laku orang. Akaun-akaun TikTok yang menunjukkan cara-cara tukar baju, bergaya sewaktu #WFH dan seumpamanya membenihkan ilham. Seperti efek Domino, yang lain-lain pun mengikut. Berkemungkinan kardigan Harry Styles yang pernah tular di TikTok sewaktu sepanjang dunia berkurung kerana COVID-19 juga menjadikan minat orang berkecambah ke ‘grunge fashion’ – kerana gaya kardigan krusye Styles itu diumpamakan sebagai fesyen 90an atau ada kaitannya dengan grunge fashion.
Chopova Lowena (atas) yang gigih dalam menampilkan pernyataan kendiri dari aspek rekaan-rekaannya
Barangkali juga grunge fashion dilihat sebagai stail yang mudah. Kerana grunge fashion dilabel sebagai ‘nonfashion’, yang menegapkan falsafah anti-kebendaan dan berpegang pada konsep semuanya harus bajet rendah. Tanggapan umum tentang grunge fashion adalah baju flanel, seluar lusuh atau sebarisan ceraian yang sudah tersedia dalam gerobok sendiri yang tidak payah untuk dipadankan. Oh, lalu terseringai wajah masing-masing dan berjobak niat di hati untuk menunjukkan sisi kreatif ; hashtag ‘90s fashion’ atau hashtag ‘grunge fashion’.
Pertanyaan carian grunge fashion di Google banyak dikaitkan dengan hal seperti : where to buy grunge clothes, grunge look male, grunge outfits male dan grunge clothing uk. Minat pada carian grunge fashion di Google yang mengikut negara pula memperlihatkan Amerika dan United Kingdom mencatat jumlah carian ‘grunge fashion’ tertinggi, diikuti oleh Australia, Ireland dan New Zealand. Apa yang menariknya, Malaysia di kedudukan ke-12 – bermakna minat pada grunge fashion di kalangan masyarakat kita juga, kata orang… boleh tahan jugalah.
Bila sudah mengasosiasikan ia dengan demografi carian Google berdasarkan mengikut negara, pelbagai faktor yang diambil kira. Di samping pengaruh media sosial seperti TikTok dan kekreatifan orang mahu mencuba grunge fashion, boleh jadi juga yang carian grunge fashion berkaitan dengan sustainable fashion atau kelestarian. Kerana era pasca-grunge bukan sahaja menyaksikan sumbangan grunge pada pertumbuhan muzik serta fesyen, malah juga keberadaan grunge sudah lama mewadahi kelestarian fesyen yang ‘membuka ruang’ kepada pakaian kitar semula. Era pasca-grunge membajakan pemikiran cerdas orang masa itu untuk menjadikan recycled fashion sebagai pilihan yang fashionable. Mendekatkan orang pada aspek DIY sehingga menjadi kelaziman dalam berfesyen, pernyataan kendiri menerusi penggayaan serta kebebasan untuk pakai apa sahaja dan pakaian-pakaian seasonless yang sudah ada dalam gerobok masing-masing.
Himpunan ‘The Dancing Boy’ oleh Hedi Slimane untuk Celine musim bunga panas 2021 (atas) adalah pengaruh daripada TikTok & ada sedikit ilham gaya grunge – dari segi padanan & layerings
Apa pandangan anda?