Posted on November 9, 2020
Di dadanya ada jutaan harapan. Hadirnya Senator Kamala Harris, menafaskan semula demokrasi, berdiri di sebelah Presiden Amerika ke-46 yakni Joe Biden kelmarin menggelorakan semangat baharu. Harris dilantik sebagai Timbalan Presiden Amerika yang baharu dan dia adalah Timbalan Presiden Amerika wanita pertama selepas berabad lamanya jawatan tersebut dipegang oleh lelaki-lelaki sahaja!
Sejarah tercipta. Kamala Harris bukan sahaja Timbalan Presiden Amerika wanita pertama, beliau malah juga adalah Timbalan Presiden multi-bangsa – kacukan Afrika-Amerika dan India – yang pertama! Nama Harris kini sudah sebaris dengan nama-nama seperti Hubert Humphrey, Walter Mondale, Al Gore dan Thomas Riley Marshall. Harris membajakan cita-cita buat anak-anak perempuan kecil serta wanita-wanita lain, merecup ilham untuk mereka satu hari nanti bisa berjuang sepertinya. Dalam ucapan Harris kelmarin, “While I may be the first woman in this office, I will not be the last.” Benar-benar menggagahkan semangat keperkasaan wanita.
Dalam pada Harris muncul berucap di Delaware kelmarin, di tengah-tengah gempita sorakan orang bangga dan gembira setelah berjaya merenggut empayar Trump, beliau terlihat menggayakan sut serba putih gading, bertekstur sutera bersama blaus kemeja berkolar dasi di dalamnya. Harris yang kita kenal lazimnya suang menyarung sniker Converse apakala keluar berkempen. Namun, kelmarin beliau memilih sepasang kasut tumit tinggi untuk melengkapi penampilannya yang bersut putih itu. Harris begitu menyerlah di atas pentas, nampak bahawa beliau sepertikan bersedia untuk bertugas demi rakyat.
Ada makna yang tersirat di balik sut putih gading Harris. Sut tersebut direka oleh Wes Gordon untuk jenama Carolina Herrera dan ia bukan sekadar sut putih sutera dengan blaus kemeja berkolar dasi sahaja, seperti yang dilihat menerusi ‘mata kasar’ kita. Sebaik sahaja Harris menyisip kata-kata ini dalam ucapannya :
“All the women who worked to secure and protect the right to vote for over a century: One hundred years ago with the 19th Amendment, 55 years ago with the Voting Rights Act, and now, in 2020, with a new generation of women in our country who cast their ballots and continued the fight for their fundamental right to vote and be heard. Tonight, I reflect on their struggle, their determination and the strength of their vision…”
… jelas sekali apa yang dipakainya hari itu adalah satu penghormatan buat kesemua wanita yang pernah memperjuangkan hak kesamaan atau keadilan dahulu kala. Sut putih Harris menandakan sokongan serta dukungannya terhadap pejuang hak mengundi wanita atau women suffragists. Kerana ketika awal abad ke-20, gerombolan women suffragists memakai serba putih untuk tunjuk perasaan dan menuntut hak mereka untuk mengundi. Gagasan memakai serba putih ini kemudiannya dikutip oleh Hillary Clinton pada 2016 serta sekumpulan wanita kongres parti demokrat dua tahun yang lalu bagi meneruskan perjuangan women suffragists.
Untuk meninggalkan impak yang sama setelah dilantik sebagai Timbalan Presiden Amerika wanita pertama, sudah tentu Harris tidak meminggirkan idea memakai serba putih. Pada kesempatan itu, Harris juga memakai putih kerana ia adalah silent protest atau protes secara senyap terhadap Trump selama ini. Love!
PENAMPILAN KAMALA HARRIS MENGGAYAKAN BLAZER + SNIKER CONVERSE!
Ayuh, kita lihat pula penggayaan Timbalan Presiden Kamala Harris yang sentiasa mengenakan blazer bersama sniker Converse-nya. Baik keluar berkempen mahupun ketika melakukan aktiviti-aktiviti lain. Barangkali selepas ini, jualan Converse akan terus meningkat? Dan mungkinkah sniker Converse Harris yang tertulis digit ‘2020’ bakal menjadi rangkaian kapsul nanti?
Sniker Converse Harris yang tertera digit ‘2020’
Apa pandangan anda?