Posted on April 29, 2020
Beberapa kempen Raya 2020 sudah mula dipertontonkan! Jenama-jenama lokal ini berjaya merealisasikan kempen-kempen Hari Raya sebelum bermulanya perintah kawalan pergerakan dan terus ‘mengepung’ mata-mata kami dengan hidangan pemerian yang nyata unik serta di luar jangkaan!
Ada tiga jenama lokal yang menjadi pilihan STAIL – atau yang #STAILavvv kali ini – kerana kempen Raya yang bukan sahaja ada kelainan, malah menafaskan pembaharuan dan moden. Ini barulah Hari Raya tahun 2020.
Pernah sebelum ini kami memilih tiga kempen Hari Raya yang menjadi kegemaran, yang kena dengan selera kami. Kempen-kempen Hari Raya yang tidak bersendikan gaya cerita tipikal – tipikal di mana model-model perempuan dalam helaian kurung atau kebaya, berkasi lembut sambil langkahnya longlai dan menghayun-hayun tangan. Latar belakang pula berona lembut mahupun pudar, dihiasi lagi bunga-bungaan. Oh, tidak. Kempen-kempen Hari Raya ini ada kelainan, menyanggah kebiasaan dan yang penting, merencanakan satu jalan cerita. Untuk 2020, ada tiga kempen Hari Raya yang berani memaparkan keluarbiasaan. Antaranya adalah sandiwara yang memimik gerakan memasyhurkan alam semesta, suasana Raya yang bagai dalam cepu kepala artistik Wes Anderson dan senario balik kampung yang membuatkan kita menanggung rindu pada orang tua kita.
KEMPEN RAYA 2020 : ANA ABU
Saya ingat lagi teman saya menghantar video kempen Raya Ana Abu menerusi DM (direct message). Teman saya bilang dia amat suka kempen tersebut dan saya pun bersetuju dengannya. Mula-mula menonton kempen Raya daripada Ana Abu ini, saya merasai mood cereka MIdsommar. Umpama satu kultus yang menghimpun gerombolan manusia di tengah-tengah padang belantara hijau. Bila ia diiringi tema ‘Alam’ serta gerak tari tanpa menuturkan kata-kata, ceritera ini mentamsilkan kisah kaitan hubungan manusia dengan alam semulajadi dan syurga (berdasarkan pemerhatian kami).
Diarahkan oleh Amania, kempen ini menyaksikan syot-syot artistik, banyak bermain dengan detik-detik yang menunjukkan tangan-tangan yang saling berhubung dan satu bola putih yang berubah-ubah saiznya seperti melambangkan sesuatu. Menyentuh bab rekaan-rekaan pula, jati diri Ana Abu yang mementingkan keringkasan dan tidak rumit jelas terbetik Rona-rona pakaiannya pun rata-ratanya daripada rona-rona butala dan asas.
KEMPEN RAYA 2020 : LUBNA
Kempen Raya 2020 Lubna adalah kegemaran utama kami! It’s fun, playful and so tastefully done. Kempen ini mengembalikan detik-detik suasana balik kampung dan berkumpul bersama keluarga, sanak-saudara juga teman-teman. Entahlah… olahan kempen ini seakan-akan menimbulkan nostalgia. Barangkali dari aspek filter, ragam model-model dalam kempen ini, kemudian disempurnakan lagi dengan latar bunyi muted trumpet serta hingar-bingar suara orang. Bertemakan ‘Welcome Home’, Lubna menjentik perasaan kita dengan iklan acah yang menyandiwarakan gerombolan anak-anak muda dalam bas pulang ke kampung halaman dan ia benar-benar menyuntik semangat beraya!
Dihasilkan oleh Nelson Chong, kempen Raya 2020 Lubna tersusun mengikut beberapa siri – selain sandiwara dalam bas, ia turut memperlihatkan cereka pendek sekumpulan gadis (representasi diversifikasi) duduk santai di meja makan ala piknik, cereka pendek pemuda-pemuda kencang berborak di ruang tamu dan cereka pendek suasana menjamah juadah Raya. Love!
KEMPEN RAYA 2020 : PARCA
Bercakap fasal balik kampung, Parca pun turut mengaitkan himpunan rayanya dengan tema tersebut. Apa yang membuatkan kami suka pada kempen Raya Parca arahan Jufri Jamal ini adalah jalan ceritanya yang ringkas dan tidak terlalu kompleks. Mengisarkan seorang gadis di kampung, sedang bersenda bersama neneknya seraya menggayakan helaian-helaian Raya daripada Parca. Disaingi lagu keroncong, kemudiannya masuk syot gadis bersama neneknya bersahaja di atas pangkin, berlatarkan rumah kayu dan sawah padi… hai, bikin rasa rindu kita pada suasana beraya di kampung.
Parca meneroka elemen-elemen tradisional Melayu – seperti basikal tua, duduk bersimpuh di bendang, duduk di anak tangga sambil si nenek mendandani rambut – yang dijadikan sebagai mood utama. Kempen sebegini begitu dekat dengan jiwa, lantas mengingatkan kita pada simpler times. Membuatkan kita sebagai audiens bisa memahami karya ini dengan mudah. Menghayatinya dengan hati yang selesa.
Apa pandangan anda?