Posted on January 21, 2020
Bab berbangga dengan kepositifan tubuh, serahkan kepada Lizzo! Dalam pada memadam kenegatifan sindir badan dan menjadikan saiz tubuh rencaman sebagai sesuatu yang ideal buat sejagat, ada sahaja yang menyuarakan tentangan terhadap apa yang cuba diperjuangkan oleh Lizzo.
Baru-baru ini, pelatih kecergasan selebriti, Jillian Michaels memberi komen tentang apa yang Lizzo bangga-banggakan selama ini. Tercetus kontroversi apabila Jillian berbincang, lalu mempersoalkan saiz tubuh Lizzo yang besar dalam rancangan The View. Tetapi Jillian menjelaskan bahawa perbincangan yang tiada mengecap muafakat itu menjurus kepada kebimbangan dia terhadap kesihatan yang disebabkan oleh kegemukan. Seperti diabetes, masalah jantung atau kanser. Itu sahaja.
Namun, itulah realiti dunia sekarang. Apa yang berputar ligat dalam kotak akal orang masa kini, adalah jangan sekali-kali menyentuh atau merendah-rendahkan hal fizikal orang lain. Kerana sensitiviti orang masa kini sangat-sangat tinggi. Tak fasal-fasal ditempelak dengan kata-kata yang kurang enak, sehingga bisa menjatuhkan martabat diri.
https://www.instagram.com/p/B7RYAwCBdhZ/
Bercakap tentang martabat diri, Lizzo pula mempertahankan sesuatu yang dekat dengan hatinya – saiz tubuh badannya. Dia yang terlihat menggayakan harness atau abah-abah baru-baru ini sebenarnya bersandarkan sebab-sebab tertentu. Sudah tentulah sebab utamanya adalah mempamerkan rasa bangga yang dipupuk fasal tubuhnya. Salah satu harness yang dipakai oleh Lizzo termasuklah rakaman video Instagram, yang menayangkan telatahnya bersenda-senda dengan beg saiz mini Jacquemus – di mana dia mengeluarkan item-item bersaiz besar dan kelihatan mustahil untuk dimuatkan dalam beg Jacquemus tersebut… kelakar juga!
Kemudian, Lizzo memakai harness lagi, kali ini berona hijau turquoise pudar pula sewaktu dia mengadakan persembahan di FOMO Festival di Auckland, New Zealand. Lizzo mengekalkan gaya ini kerana penting baginya untuk menyampaikan mesej kepositifan tubuh menerusi pemakaian harness. Tidak ada apa yang hendak dimalukan dan dia tidak mahu menyembunyikan apa-apa. Menyahkan segala tanggapan mengenai pembatasan gaya buat wanita bersaiz besar dan tidak boleh seksi.
Tambahan pula pemakaian harness selalu dipalit dengan konsep seks juga kejantinaan, Lizzo turut menyisip mesej tersebut – tidak ada lagi istilah ketegaran jantina dan pada masa yang sama, menyingkir ketradisionalan maskuliniti.
Apa pandangan anda?