Posted on October 6, 2020
Apakah Givenchy yang baharu kali ini, yang dikepalai oleh Matthew Williams menghapuskan keluhan di fikiran kerana merasakan bahawa Givenchy akhirnya menemukan kesempurnaan setelah ditinggalkan oleh Clare Waight Keller? Ataupun membuatkan kita bertepuk dahi, menyungkum wajah pada dua telapak tangan kerana merasakan himpunannya tidak menuju keberhasilan?
Berbelah bahagi. Ia berbalik pada asas fesyen yang lazimnya membangkitkan kesubjektifan. Suka atau tidak, cantik atau hodoh. Terbata-bata jadinya. Ada yang suka, ada juga yang tak gemar. Ada yang bilang, himpunannya bak hit-and-miss. Terpulang.
Matthew M. Williams adalah seorang jagoan fesyen pakaian siar, aspek gaya kesukanan dan percaya pada budaya subversif untuk mendasari rekaannya. Perkakasan industri umpama ‘rujinya’ dan fabrik-fabrik teknikal yang membuatkan jenamanya ternama. Daya pemikirannya tidak jauh beza dengan Riccardo Tisci sebenarnya. Melihat pada keserupaan gaya atau stail (hampir sama) Matthew dengan Riccardo, – mantan pengarah artistik Givenchy – kebolehjadian Matthew memapankan semula kedudukan Givenchy itu adalah sesuatu yang tidak mustahil.
Menurut Matthew, dia melanjutkan idea himpunan musim bunga panas 2021 ini berpandukan kod klasik rumah fesyen Givenchy. Dia meneroka himpunan Givenchy era 50an dan 60an, menyalin estetika Givenchy yang dahulu sebagai dasar rekaan-rekaannya. Kita terus membayangkan yang Matthew mungkin ‘terkelencong’ sedikit, cuba menafaskan semula dress malam dan tailleur ringkas Hubert de Givenchy. Atau cuba untuk lebih menegaskan siluet daripada butiran-butiran hiasan pada sesuatu rekaan, seperti apa yang Hubert pernah buat dahulu. Dalam pemikiran biasa kita pula, terbit gagasan bahawa apakah Matthew akan menggemilangkan semula dress-dress Audrey Hepburn.
Sudah tentulah tidak. Matthew lain orangnya. Ya, benar, Matthew merujuk kod klasik rumah fesyen Givenchy, tetapi sememangnya dia menyisipkan ideanya sendiri. ‘Hardware’ is key – dalam nota presentasi Givenchy kali ini. ‘Perkakasan’ yang melumpukkan perhatian gerombolan pemerhati pada himpunannya adalah besi serta logam yang dia guna – sebagai butiran utama – pada hampir semua looks. Baik pada rekaan pakaian mahupun aksesori. Matthew merencanakan pula sebuah kisah cinta di balik penceritaan ‘perkakasan’ dalam himpunannya, di mana dia mengindahkan inspirasi tersebut dengan Lover’s Lock. Yakni kunci mangga pasangan kekasih di titi besar Le Ponts des Arts di Paris.
Berbicara fasal merujuk kod klasik rumah fesyen Givenchy, Matthew tidak ‘memangkas’ aspek-aspek seperti teknik draping, bahagian belakang yang dibiarkan terbuka ke konsep tanduk yang dipopularkan oleh Alexander McQueen sewaktu dia mengemudi Givenchy pada era sebelum millennium. Matthew turut mencemerlangkan youthful femininity serta standard elegan tertentu yang kiranya sinonim dengan karakter atau stail rekaan Hubert. Konsep tailoring dipelihara, malah dia memperbaharui beg Antigona. Namun, boleh ‘hidu’ sedikit nada gaya Alyx dalam rekaan-rekaan Givenchy ini. Ia terlihat sedikit agresif atau sedikit… risqué? Basically, playing on the crux. Apalagi dengan konsep runcing sepertikan menjadi obsesi Matthew di Givenchy kali ini.
Topi bertanduk, kasut bertumit tanduk kecil dan rekaan bahu yang distrukturkan sehingga mengumpamakan bentuk tanduk (dan rekaan bahu distrukturkan nampak gayanya kembali menjadi trend musim bunga panas 2021, kerana Balmain pun sama mengetengahkannya). Tetapi melihat rekaan bahu ‘bertanduk’ pada material kulit eksotik yang dimunculkan melalui akal budi Matthew untuk Givenchy ini saling tak tumpah seperti rekaan-rekaan yang pernah dihasilkan oleh pelajar-pelajar kolej fesyen – seakan sama seperti apa yang pernah saya hasilkan sewaktu di kolej fesyen dahulu. Digabungkan lagi bersama dress sheer lembut bersulamkan hiasan, dengan kasut tumit tinggi sarat perkakasan serta rantai leher, padanannya seperti off.
Namun, pujian diberi atas keberanian Matthew yang membawa pembaharuan pada konsep tailoring serta evening dresses dan menukar paradigma pakaian lelaki. Dari aspek menyatukan ‘perkakasan’ dengan evening dresses, perincian badan pakaian slashed atau umpama dicantas-cantas, seluar berpotongan bersih juga berpinggang tinggi untuk lelaki, manipulasi pola lengan pada jaket dan teknik draping ikatan lepas pada badan baju berjaya menajamkan pemerhatian kita. Sekaligus menukar perspektif kita tentang konsep pemakaian. Tambahan lagi, idea Matthew menerapkan siluet feminin seperti draping, sheer dan bahu yang distrukturkan – sungguhpun saya kurang gemar konsep rekaan ini – pada rekaan-rekaan lelakinya, membuka luas mata kita.
Apa pandangan anda?