Posted on September 16, 2021
Saya sendiri tidak nampak stail atau tema yang nyata pada penampilan tetamu-tetamu yang melewati permaidani merah MetGala 2021 sebenarnya. Ada juga kekeliruan antara tema dua tahun lepas Camp: Notes on Fashion dan tema 2018, Heavenly Bodies: Fashion and the Catholic Imagination. Jadi agak sukar untuk saya menentukan apakah stail yang melambangkan tema In America: A Lexicon of Fashion itu.
Tetapi setelah melihat wanita-wanita ini (yang disenaraikan dalam artikel ini) barulah saya mengerti bahawa lebih mudah jika stail yang dibawa ke MetGala 2021 ini memberi penghormatan kepada wanita Amerika dan gaya hebat mereka. Kerana jika direnung, tidak ada satu look khas atau konsep khusus untuk gaya Amerika sebenarnya. Ini kerana Amerika tidak begitu terkenal dengan kreativiti dan estetika berbanding dengan rekaan Eropah. Yang Amerika pandai ialah pemasaran, pakej dan penjenamaan.
Oleh itu, tidak salahlah jika kebanyakan rujukan yang saya senaraikan dalam artikel ini ialah gaya wanita-wanita glamor Old Hollywood atau bintang terkenal Amerika. Itu adalah stail yang paling hampir untuk mereka rujuk sebagai gaya Amerika pun sebenarnya. Ketua Pengarang Vogue, Anna Wintour memilih rekaan Oscar de la Renta untuk majlis ini. Dress flora dengan perincian pada leher, lengan dan ruffles di bahagian bawah dress ini mengambil fabrik koleksi FW 21. Tetapi rekaan dress itu mengambil inspirasi dress yang direka Oscar sewaktu dia menjadi sketcher di Balenciaga. Oscar sendiri ialah imigran di Amerika berasal dari Santo Domingo tetapi membuat nama di Amerika.
Pabila Billie Eilish memotong rambutnya dengan potongan bob, saya seperti sudah dapat meneka bahawa dia akan merujuk kepada Marilyn Monroe. Tepat sekali telahan saya kerana dia hadir menyarung Oscar de la Renta juga tetapi rekaan dress off shoulder itu memang begitu sinonim dengan gaya Monroe. Apalagi pabila dikenakan dengan solekan dan dandanan rambut ala Monroe. Tetapi Monroe sememangnya lambang wanita Amerika dan mendefinisikan wanita Amerika sejak 50-an lagi.
MetGala 2021 Tributes Old Hollywood
Gemma Chan memilih rekaan Prabal Gurung tetapi rujukannya ialah Anna May Wong, pelakon wanita Cina pertama di Hollywood. Signature cetakan naga yang begitu sinonim dengan Wong pada baju-bajunya di era 30-an diambil untuk dress pendek Chan. Dress yang dipakai oleh Wong dalam gambar ini ialah rekaan Travis Banton untuk filem Limehouse Blue, 1934.
Kendall Jenner pula hadir mengenakan dress sheer Givenchy. Mungkin pada pandangan pertama tiada siapa pun ingat akan rekaan dress ini tetapi setelah dirujuk-rujuk ia mengambil inspirasi dress yang dipakai Audrey Hepburn dalam filem My Fair Lady, 1964. Rekaan Cecil Beaton ini diolah semula oleh Matthew Williams, Pengarah Kreatif Givenchy. Cap sleeve, rantai yang VAST serta batu-batu yang menjadi perincian pada draping di bahagian depan dress ini diilhamkan semula dalam cara lebih seksi sesuai personaliti Jenner.
Dior mengilhamkan dress untuk Yara Shahidi berdasarkan dress Christian Dior yang dipakai Josephine Baker di era 30-an dahulu. Walaupun nama Baker lebih sensasi di Paris, namun dia masih American girl (lahir di sana) dan memainkan peranan penting dalam membentuk budaya Amerika. Rujukan yang tepat!
Individu Ikonik Dalam Budaya Amerika Sebagai Rujukan
Dress ini mencipta sedikit kekecohan di laman Instagram. Shrimpton Couture membetulkan fakta beberapa media yang mengatakan dress asal yang dipakai oleh Bianca Jagger ini ialah rekaan Halston. Sedangkan ia adalah rekaan Christian Dior kerana Shrimpton Couture yang menjual dress-dress vintaj memiliki dress asal ini. Versi Kaia Gerber pula adalah rekaan Oscar de la Renta yang mengambil Jagger sebagai inspirasi kerana Jagger juga adalah antara individu ikonik dalam budaya Amerika. Jagger memakai dress Christian Dior ini juga untuk ke MET Gala 1981.
Gerber nampak hebat dalam dress ini tetapi kekecohan yang tercipta turut menyumbang kepada kehebatan dress yang cukup ringkas ini!
Memang sudah dijangka Jennifer Hudson akan merujuk kepada ikon dunia nyanyian Amerika, Aretha Franklin dalam penampilannya. Dia pula memang sedang dalam rangka promosi filem Respect, biopik Aretha. Dress ini adalah rekaan AZ Factory maka secara tak langsung Hudson turut memberi penghormatan kepada mendiang Alber Elbaz kerana memakai jenama yang dimulakan oleh Elbaz ini.
Pada saat saya melihat Troye Sivan hadir dengan slip dress ini, di kepala saya ‘ohhhh dia melambangkan grunge 90’s dengan sempurna’! Ditata gaya oleh Melzy yang terkenal pernah menata gaya Rihanna dan kebelakangan ini Christina Aguilera, Melzy tidak menafikan pabila ada akaun IG yang merujuk kepada gaya Gwyneth Paltrow yang sering tampil dengan slip dress begini di era 90-an dahulu.
Dress ini adalah rekaan Altu by Joseph Altuzarra, koleksi kapsul tanpa gender oleh pereka ini. Bagi saya, Sivan nampak hebat dalam dress ini kerana bentuk tubuhnya yang waif dan skinny. Kena walau setelah dipandang berkali-kali.
Bintang baru R&B, Chloe dan Halle Bailey menghadiri MetGala 2021 yang juga Met Gala pertama mereka dalam rekaan Rodarte. Chloe dalam dress putih yang mengambil inspirasi ikon perfileman 50-an, Marilyn Monroe manakala Halle pula merujuk kepada ikon nyanyian 60-an Tina Turner. Ringkas tetapi on-point!
Apakah STAIL Amerika?
Seperti yang saya sebut di awal rencana, stail Amerika itu tidak berapa nyata sebenarnya kerana Amerika lebih bijak dalam penjenamaan, pakej dan pemasaran. Mungkin yang lebih sesuai sebagai stail Amerika ialah sportswear, denim, koboi atau paling sesuai untuk acara besar fesyen seperti ini ialah Old Hollywood Glamour. Kerana jika dilihat dalam dunia fesyen itu sendiri, pereka Amerika banyak mendapat pengaruh daripada rekaan Eropah sebenarnya.
Banyak juga jenama Amerika yang mengambil imigran dari Eropah sebagai pengarah kreatif lalu seterusnya membentuk stail Amerika. Oleh itu tidak salahlah pabila banyak juga tetamu yang hadir tahun ini sedikit terpengaruh dengan tema tahun-tahun lepas kerana begitu kuatnya pengaruh daripada liputan acara tahun-tahun sudah. Apa-apa pun pameran bertema Amerika ini akan dipecahkan kepada dua. In America: A Lexicon of Fashion ini adalah bahagian pertama.
Bab kedua akan menyusul Mei tahun depan, mengikut jadual normal pameran tahunan Metropolitan Museum of Art’s Costume Institute dengan tema In America: An Anthology of Fashion yang akan berkisar tentang inclusivity dalam dunia fesyen Amerika.
Apa pandangan anda?