Posted on March 2, 2020
Kutuklah, makilah Off White copy paste rekaan orang lain, sebagai penyedap mulut atau bahan bualan, tetap ada orang tidak ambil pusing dan tidak kisah berbelanja ke atas apa sahaja yang dihasilkan oleh Virgil Abloh. Tahun lepas Off White mentakhtai senarai ‘Hottest Fashion Brands’ (berdasarkan Lyst) dan itu sahaja sudah membuktikan ia adalah a welcomed rip-off brand.
Apa yang saya faham mengenai himpunan Off White musim luruh dingin 2020 ini adalah ia membuka mata hati kita fasal rujukan Virgil Abloh – yang merujuk rekaan serta siluet-siluet pereka fesyen lain sebagai sendi ilhamnya. Boleh jadi juga ia adalah tanda penghargaan Virgil yang menaruh rasa hormat atau kagum dengan hasil kerja pereka-pereka fesyen lain?
Off White musim luruh dingin 2020 umpama mencungkil ingatan kita pada sesuatu yang pernah terlihat sebelum-sebelum ini. Daripada Tom Ford ke Moschino, ke Viktor & Rolf dan Givenchy, Virgil menafaskan semula apa yang pereka-pereka atau jenama-jenama ini buat dahulu. Virgil menyalin elemen-elemen rekaan pereka-pereka atau jenama-jenama ini, meminjam elemen-elemen tersebut untuk diterapkan pada rekaan-rekaannya kali ini. Dalam mencapai tujuan “menyalin sebagai inspirasi”, dia bersungguh mengatur balik gaya-gaya tersebut mengikut cita rasa Off White.
https://www.instagram.com/p/B9HIkKLhXud/
Sorotan utama Off White musim luruh dingin 2020 adalah menjelmakan siluet ‘split decision’ yakni rekaan asimetri dengan menyatukan dua aspek yang saling bercanggah dalam satu pola. Contohnya, salah satu look yang tidak ubah seperti siluet olahan tulle fabrik jaring Viktor & Rolf musim bunga panas 2010 dahulu, namun Virgil gabung ia dengan seluar kargo bercorak camo ala-ala seragam tentera. Mempertemukan sifat dekoratif yang ultra-kewanitaan dengan elemen streetwear – asosiasi corak camo tentera dengan gaya streetwear.
Kiri : Viktor & Rolf musim bunga panas 2010. Kanan “Off White musim luruh dingin 2020
Malah, rekaan Tom Ford untuk Gucci pada pertengahan tahun 90an pun turut dikutip oleh Virgil. Look dress putih dengan butiran cut out pada bahagian torso yang Carolyn Murphy pakai seakan-akan mengangkut kita ke era Tom Ford untuk Gucci. Virgil mahu mengulang sejarah, agaknya.
Namun kecurigaan orang terhadap apa yang Virgil lakukan untuk Off White ini menjadi aneh. Menjadi paranoid, kerana dia menyalin semula rekaan pereka-pereka atau jenama-jenama lain tetapi tidak ada pembaharuan. Tidak ada dinamik atau tidak progresif. Hampir sama sahaja. Lazimnya dalam ajaran seni, setiap kali imitasi pasti ada stylization. Tetapi pandangan orang terhadap hasilan Virgil ini seolah-olah mencadangkan imitasi yang menyingkir aspek stylization.
Saya tertarik pada artikel Robin Givhan dalam The Washington Post yang menerangkan lagi fikiran kita fasal himpunan Virgil untuk Off White musim luruh dingin 2020. Dalam perenggan hujungnya, dia tidak memberatkan kepala kita dengan tanggapan negatif. Sebaliknya memberi ‘opsyen’ untuk kita nilai sendiri tentang himpunan ini. Robin menulis fasal “fashion is all about borrowing, referencing and reinventing” dan menyatakan Virgil tidak mempersembahkan kebaharuan; “he gives something that’s already been done a shout-out.”
‘Cause at the end of the day, fashion is subjective. Kerana fesyen yang bagus mampu mengubah sesuatu – contohnya, meminjam elemen-elemen rekaan pereka-pereka terdahulu – kepada hasilan yang di luar jangkaan atau maha dahsyat. Sama ada ia beroleh kemenangan atau tidak, atau sama ada ia mencapai ‘standard’ tertentu atau tidak… itu semua terpulang kepada tafsiran kita sendiri.
Kiri : Moschino musim bunga panas 2019. Kanan : Off White musim luruh dingin 2020
Kiri : Givenchy couture musim bunga 2020. Kanan : Off White musim luruh dingin 2020
Apa pandangan anda?