Posted on September 29, 2023
Pembelengguan dalam hal berpakaian atau berfesyen belum sekalipun diterima oleh Onitsuka Tiger. Apalagi menyentuh aspek yang bisa memenangkan individu, yang selazimnya bermakna buat Onitsuka Tiger. Bukan sebab mahu menjadi anarkis, sebaliknya inilah yang diperjuangkan kerana bermatlamat untuk mencorakkan individu yang ada sifat berani berekspresi melalui penggayaan diri – ekspresi gaya individu yang tiada noktah!
Konsentrasi Andrea Pompilion untuk Onitsuka Tiger sewaktu mempersembahkan himpunan musim bunga panas 2024 adalah pada ‘Personal Layered’ (atau ‘Lapisan Peribadi’), yang diangkat sebagai tema. Onitsuka Tiger berideologi bahawa ‘Lapisan Peribadi’ ini umpama membawa pesanan yang autonomi dalam hal berpakaian perlu dirangkum rapi dalam jiwa setiap individu. ‘Lapisan Peribadi’ adalah konteks yang cuba menenggelamkan garis pinggir seseorang individu dan ia dikembang subur pada menerokai segala kemungkinan dalam penggayaan diri.
Konteks ‘Lapisan Peribadi’ ini menterjemahkan gabungan konsep gaya lapisan dengan aspek asimetri, gathers mahupun rekaan keratan yang menjadi seberkas idea atau tema penggayaan individu yang tidak berbatas. Ia menggemilangkan mood moden, elegan dan sofistikated yang bati benar dengan jati diri Onitsuka Tiger.
Menyoroti aspek-aspek ini, ia diekspresikan menerusi siluet kokun pada rekaan outerwear dan kot yang masih mengekalkan keringanan. Ditambah dengan kemeja, kemeja polo, seluar Bermuda dan seluar berpotongan lebar, memperkuatkan lagi konsep gaya lapisan tidak asimetri. Walaupun berdasarkan pemerhatian ‘kasar’, konsep yang terlihat seakan-akan biasa namun Onitsuka Tiger mengomposisikan keseluruhan gaya dengan elemen helaian-helaian unik – pakaian-pakaian klasik lelaki ditentang oleh gaya gerobok pakaian wanita yang beteraskan romantisisme. Teknik jahitan pakaian lelaki kelihatan lembut tetapi tidak meminggir ketelitian, manakala pakaian wanita pula, elemen-elemen perincian diintegrasikan untuk menerbitkan looks yang lebih bersifat feminin.
Seragam lapisan Onitsuka Tiger diteruskan lagi dengan penggayaan helaian-helaian lain seperti jiperak yang dilengkapi belahan bahagian tepi, dress serta kemeja T dengan perincian keratan, helaian-helaian yang berbeza panjang pendeknya, skirt jersi dan seluar pendek Bermuda kanvas, bagi menghidupkan siluet-siluet di luar jangkaan.
Menyentuh hal fabrik, Onitsuka Tiger menggunakan fabrik-fabrik seperti kapas dua muka yang structured tetapi tidak keras dan nilon kait tembus terus yang menampakkan kulit tubuh. Fabrik-fabrik dengan cetakan motif flora berasaskan empat elemen (tanah, air, angin dan api) yang digunakan pula adalah kolaborasi Onitsuka Tiger bersama jenama tekstil Jepun yakni Nowartt. Cetusan idea pada cetakan motif flora ini menyimpulkan mesej “comfort of harmony with nature.”
Apa pandangan anda?