Posted on February 10, 2021
Simone Rocha X H&M ‘menenteng’ sebakul harapan. Dia mencongak maklum balas serta sambutan yang positif dalam kepalanya, sebaik berbimbingan tangan dengan H&M. Di samping mahu menampilkan diri (jenamanya) ke depan sekali gus merangkul pelanggan baharu, Rocha malah juga menghajati penerimaan orang terhadap hasil ciptaannya bukan berupa kesementaraan. Sebaliknya, biarlah tersimpan dalam ‘gedung khazanah’ fesyen.
“I hope that the items in this collection will be worn and treasured for years to come.”
Di kesempatan meredah senario sekarang bagai diikat dengan sehasta tali, hajat Rocha untuk mengeluarkan himpunan kerjasamanya dengan H&M tidak tergencat di pertengahan. Ia dijangka akan mula dijual kepada umum pada awal bulan Mac ini nanti. Apabila sudah dikeluarkan serta dijual kelak, Rocha sedapat mungkin berazam mahu orang mengenali idea dan inspirasi yang membentuk jenama Simone Rocha, yang sudah berusia satu dasawarsa!
Selepas menggazet hubungan kerjasama pada pertengahan bulan Januari lepas, Rocha dan H&M tidak mengubah janji yang dikepal – yakni menyediakan himpunan atau gerobok pakaian kononnya untuk seisi keluarga. Berdasarkan full lookbook yang ‘didedahkan’ minggu ini, Simone Rocha X H&M terbukti benar menyediakan himpunan atau gerobok pakaian seisi keluarga. Daripada pakaian sedia pakai wanita, lelaki sehinggalah untuk kanak-kanak, dan ini kali pertama Rocha mereka pakaian untuk lelaki juga kanak-kanak.
Sebarisan pakaian seperti kot trench yang diperbaharui gayanya dengan butiran mutiara pada kolar, parka, baju panas dengan tekstur cable knit, kemeja, kemeja T, sut dan blazer bercorak checks tersedia dalam himpunan julung kali pakaian sedia pakai lelakinya. Ternyata jiwa klasik yang memekat dalam diri Rocha tidak mematikan aspirasinya untuk mengetengahkan sifat-sifat klasik tersebut pada rekaan pakaian lelaki. Manakala himpunan kanak-kanak pula membariskan pakaian yang memimik rekaan pakaian dewasa, tetapi ‘berskala’ kecil. Selain itu, Simone Rocha X H&M turut menampilkan dress-dress kanak-kanak yang dilengkapkan dengan perincian smoking dan ropol – perincian lazim yang sering kita lihat ada pada pakaian kanak-kanak.
Rekaan pakaian-pakaian wanita Simone Rocha X H&M pula seperti mengunjungi semula himpunan rekaan pakaian-pakaian Rocha sebelum-sebelum ini. Salah satu look Simone Rocha X H&M menyalin look Simone Rocha musim luruh dingin 2019, yakni rekaan bustier-like yang dilapis atas dress kembang. Malah, ada beberapa look yang sememangnya mencerminkan ‘atribut’ rekaan Rocha – seperti lengan umpama lengan kaki kambing, ceraian fabrik nipis sebagai layerings, banyak butiran ropol serta rekaan-rekaan yang bersandarkan siluet bentuk loceng. Bermakna Rocha jujur dalam mempersembahkan rekaan-rekaannya untuk koleksi kapsul H&M ini yang bertujuan untuk merawat ingatan kita pada daya ciptanya.
Kot trench klasik, kot tweed, ceraian atas berupa apron, dress-dress tulle, kardigan wool dengan perincian mutiara pada bahagian leher dan dress kloki pendek antara helaian-helaian wanita Simone Rocha X H&M.
Himpunan kapsul ini bukannya satu himpunan yang kehilangan tuju. Bukan. Pendek kata, revisit atau ‘mengunjungi semula’ mendasari segala aspeknya. Horizon Simone Rocha X H&M mengkombinasikan sedekad rekaan Rocha – yang banyak berteraskan nada gaya Romanticism bertemu Pre-Raphaelitism dengan pengaruh Belle Epoque – yang dikumpul menjadi satu himpunan baharu. Mengulang apa yang dinyatakan oleh Rocha (perenggan awal di atas)… mahu orang mengenali idea dan inspirasi yang membentuk jenama Simone Rocha!
Apa pandangan anda?