Posted on February 16, 2021
Syot gambar diri sendiri yang ditangkap oleh fotografer jalanan dan kemudiannya melihat ia keluar dalam laman street style di internet umpama satu pencapaian, ya. Bergelora semangat, wajah terseringai, kerana berasa seperti ‘being approved on international level’. Bangga bukan kepalang, yang bercambah ke timbulnya keterujaan. Lol!
Well, itu dululah. Sewaktu berpeluang pergi ke minggu fesyen antarabangsa di Milan, Paris dan New York. Tiba-tiba saya terkenang pengalaman ke minggu fesyen menswear Paris bersama seorang rakan media yang bersiap beria kerana menghasratkan impian ‘gambarnya ditangkap oleh fotografer jalanan’ terlaksana. Hai, macam-macam!
Seperti yang dinyatakan awal tadi, ia umpama satu pencapaian. Boleh diuar-uarkan di media sosial atau kepada teman-teman lain, kut.
Tetapi, dengan berlalunya masa, menginjak ke era baharu, ada pihak yang menganggap street style seperti dah ‘mati’. Trend tersebut bagai sudah lenyap. Secara peribadinya, kami tidak rasa ia lenyap atau terkambus terus. Cuma dek peralihan yang berlaku berperingkat-peringkat dan disruption baharu, ia mengaburi sedikit trend street style.
Daripada street style secara rawak (orang-orang umum yang berada di tepi jalan) ke sekumpulan editor atau pemain-pemain kuat lapangan fesyen, kemudiannya perhatian beranjak ke gerombolan fashion influencers – yang datang diundang oleh jenama tertentu, yang berperanan menghiasi gerombolan fashion influencers ini dengan pakaian serta aksesori daripada jenama-jenama tersebut, dari kepala hingga hujung kaki. Apalagi dengan keadaan dunia sekarang sepertikan menjanda dan segalanya terlambat. Kadang-kadang terhalang. Terpaksa berorientasikan digital – pertunjukan atau persembahan fesyen digital – yang tidak lagi dihadiri oleh fashion influencers, editor-editor atau individu-individu fesyen lain. Mungkin ada, tetapi hype tidak sama seperti dulu.
Ingat lagi dulu, sanggup beli buku Facehunter dan mengikuti blog Facehunter yang diasaskan oleh fotografer jalanan, Yvan Rodic. Kami rujuk street style menerusi buku serta blog itulah. Malah fotografer seperti Scott Schuman (The Sartorialist) juga antara individu yang dikagumi kerana kesungguhan dan bakatnya dalam menangkap gambar-gambar street style. Bila terserempak dengan Schuman sendiri di minggu fesyen Milan tujuh tahun yang lalu… starstruck sekejap. Hati berbisik, “It’s freaking Scott Schuman!”
Perasan atau tidak, street style is actually unstoppable. Masih ada lagi orang yang menghargai atau tidak cemuih dengan dunia street style. Bagi mereka, memerhatikan street style atau gaya peribadi orang lain lebih menarik. Tambahan pula, kesan pandemik membuatkan orang tidak berhenti menatal telefon pintar masing-masing dan asyik ‘bermain’ dengan media sosial. Lantas orang pun mencari-cari inspirasi di media sosial. Lagi-lagilah dengan minggu fesyen terkekang sementara, menyebabkan kalendar sosial minggu fesyen berubah-ubah. Lantaran itu, orang lebih tertuju kepada everyday style. Atau stail-stail orang umum yang lebih stailish, realistik dan unik.
Terima kasih kepada akaun-akaun Instagram seperti Parisiens In Paris (@parisiensinparis), Milanese a Milano (@milaneseamilano) dan Londoners In London (@londonersinlondon) –yang menayangkan street style atau everyday style orang umum – mengembalikan budaya street style, cukup hanya dengan menggunakan telefon pintar untuk mengambil gambar-gambar stail orang. Gambar-gambar seperti orang sedang mengitari jalanan, lepak-lepak di taman, duduk di atas bangku taman, dalam tren, di kedai buah, di kafe serta di kedai mudah beli… semuanya ‘dipaparkan’ di akaun-akaun Instagram ini! Namun, orang-orangnya tetap kelihatan stailish. Feeling inspired? Of course. Bagi saya this is the real street style!!!!
Menerusi temu bualnya dengan Refinery29, pengasas Parisiens In Paris berkongsi tentang bagaimana dan mengapa dia memulakan akaun Instagram tersebut. Jelasnya, ia tercetus sewaktu minggu fesyen di Paris. Setelah dia memerhatikan barisan influencer yang datang menggayakan pakaian berjenama dan ada yang sudah ‘disiapkan’ oleh jenama-jenama itu sendiri, timbul minat untuk mengasas akaun Instagram Parisiens In Paris yang didedikasikan khusus untuk menunjukkan stail-stail orang umum. “I wanted to pay tribute to the people for whom fashion is not necessarily their profession, in order to show that the Parisian style really exists naturally,” katanya kepada Refinery29.
Menurutnya lagi, akaun Parisiens In Paris menjadi semakin dikenali selepas berlakunya pandemik COVID-19. Kerana orang menganggap akaun tersebut bak satu eskapisme, membolehkan mereka melihat dunia luar. Memerhatikan stail-stail orang umum di jalanan itu menghiburkan hati mereka. So, it is time to follow these IGs!
Apa pandangan anda?