Posted on November 16, 2020
Burberry menampilkan The Voices Of Tomorrow – kempen fesyen yang menyimbah rasa murni, sanggah sikap pesimis dan menggenggam nekad untuk menjadikan dunia sebagai taman harapan. Riccardo Tisci menggarapkan kempen ini dengan penuh kebulatan hati, hasratnya mahu anak-anak muda, barisan generasi seterusnya, untuk tidak lagi bertagak-tagak mengejar impian mereka!
Dalam pada marcapada menunda kesepian, ditambah lagi rasa ‘pengap’ menanggung krisis wabak yang sepertikan tidak berkeputusan, Burberry mengobarkan semangat cinta, kesatuan dan menajamkan harapan. Kerana itulah Burberry, sepanjang masa mahu membenihkan kepositifan dalam melanjutkan tema komuniti. Mengekspresikan kebebasan dan membina sikap tidak mengenal takut. “This campaign is about looking forwards, looking to the future,” jelas Tisci.
The Voices Of Tomorrow menghimpun anak-anak muda yang berbeza-beza latar – datangnya daripada lapangan fesyen, seni tari serta sukan – namun punya cinta yang sama. Dipadukan atas dasar komitmen serta minat, mereka diumpamakan seperti pengejar impian yang tidak lagi kehilangan tuju dan kempen ini sebenarnya tentang meniti cita-cita – mencita-citakan segala sesuatu yang tinggi bukan lagi mustahil! Babak-babak seperti dimulakan dengan aksi penari muda bersama temannya membeli makanan sewaktu hujan batu ais bercucuran jatuh ke bumi, seraya mereka meligatkan aksi tari melawan kerasnya kerpasan itu, melewati jalanan yang dilanda ketulan-ketulan ais dan akhirnya ke pantai yang kelihatan damai, lalu mereka tersenyum membasahkan diri dalam lautan yang bergelora kecil, menyandiwarakan mesej Burberry yang berkaitan dengan sentiasa memandang ke hadapan. Menguntumkan makna harapan dan kebebasan.
Mereka bersenda lagi dengan iringan lagu merdu Singing In The Rain, menyampaikan ekspresi melawan gentar mereka mendepani hujan batu (hujan batu diumpamakan sebagai cabaran).
Bekerjasama dengan Megaforce, kempen The Voices Of Tomorrow ini diarahkan oleh Katelin Arizmendi dan (LA)HORDE bertindak sebagai koreografi tarian. Barisan penarinya pula terdiri daripada empat penari muda yakni Kevin Bago, Robinson Cassarino, Chantel Foo dan Zhane Samuels, memanifestasikan karakter serta personaliti tersenediri. Aksi tari mereka pula mencerminkan harapan juga impian masing-masing.
Fotografi oleh Rafael Pavarotti dan penataan gaya oleh Ibrahim Kamara. kempen fesyen ini menampilkan figura-figura dari lapangan fesyen, seni tari dan sukan, yang disatukan untuk menunjukkan karakter masing-masing.
Apa pandangan anda?