Posted on February 16, 2026

Setiap tahun, helaian raya menjadi kanvas buat pereka menafsir tradisi dalam bahasa yang lebih segar. Tahun ini, ZALORA, Asia’s Fashion Expert, sekali lagi mengangkat wacana tersebut menerusi #ZALORAYA2026 — sebuah kurasi yang bukan sekadar meraikan Aidilfitri, malah memperkenalkan reinvensi warisan dalam acuan kontemporari.
Dilancarkan di platform e-dagangnya di Malaysia dan Singapura, ZALORAYA 2026 menampilkan 12 jenama merangkumi busana wanita dan lelaki, pakaian kanak-kanak, aksesori serta kasut. Barisan pereka musim ini menyatukan nama-nama yang tidak asing lagi seperti NH by Nurita Harith, TAS by Tom Abang Saufi, Alia B., Maslea, ZALIA, Lubna dan Yadotsa, bersama kemunculan segar Uzair Shoid, Zaimi Zulkafli, takkan, kamiforkamu serta Studio Jeje for ZALORA.
Mengetengahkan Nama Baharu Dalam Barisan Pereka
Antara sorotan utama tahun ini adalah penyertaan Uzair Shoid dan Zaimi Zulkafli — dua nama yang membawa perspektif berbeza terhadap estetika tradisional.

Zaimi Zulkafli mempersonakan kelembutan dalam setiap helaian eksklusif untuk ZALORA. Permainan lapisan organza bertitik polka yang halus, digandingkan dengan sulaman 3D yang teliti, menyuntik elemen mewah pada baju kurung klasik. Siluetnya kekal sopan, namun perinciannya berbicara tentang kemewahan yang subtil — sempurna buat wanita yang menghargai elegan tanpa perlu berlebihan.
Berbeza pula dengan pendekatan berani Uzair Shoid. Menerusi debut ready-to-wear raya – ABDI, mempertaruhkan 10 gaya yang mencabar konvensi. Corak flora digabung berani bersama motif kotak-kotak, manakala siluet Melayu ditata dengan sentuhan moden yang segar. Ia adalah dialog antara tradisi dan ekspresi peribadi bagi mencerminkan generasi baharu yang tidak takut bereksperimen, namun tetap berpijak pada akar budaya.

Kolaborasi Bersama Label Indonesia
Selepas kejayaan jenama takkan pada tahun lalu, ZALORA terus memperluas horizon serantau dengan membawa masuk dua lagi label dari Indonesia — kamiforkamu dan Studio Jeje.
Studio Jeje memperkenalkan koleksi eksklusif pertamanya bersama ZALORA yang sarat dengan sulaman dan perincian embellishment yang menjadi signatur jenama tersebut. Rekaannya bersifat timeless, memadukan siluet tradisional dengan interpretasi moden untuk wanita urban yang mendambakan sofistikasi dalam kesederhanaan.

Sementara itu, kamiforkamu tampil dengan rangkaian beg eksklusif yang direka khusus untuk musim perayaan. Diperbuat daripada vegan leather, pilihan siluet bahu dan sling bag ini mudah digayakan bersama apa jua plihan busana raya. Palet warna seperti coklat, camel, washed green, dark espresso dan burgundy menjadikan aksesori ini pelengkap gaya yang versatil — dari pagi Syawal hingga ke sesi rumah terbuka.

Melengkapkan trio label Indonesia musim ini, takkan kembali dengan seleksi kasut yang meraikan feminiti dalam bentuk paling puitis. Dikenali dengan rekaan tumit tinggi yang dihiasi perincian bunga tiga dimensi, setiap rekaan kasut tampil sebagai karya seni yang boleh digayakan. Sama ada dalam rona lembut pastel mahupun tona klasik yang lebih dramatik, rekaan takkan menyuntik sentuhan romantis pada busana raya.

Meraikan Fesyen, Menghidupkan Suasana
Bagi menyemarakkan pelancaran koleksi 2026, ZALORA menganjurkan sebuah pertunjukkan eksklusif di ibu pejabat mereka di Kuala Lumpur, menghimpunkan wakil media dan KOL untuk melihat sendiri perincian setiap helaian. Ia menjadi ruang intim untuk menghargai tekstur, potongan dan craftsmanship yang mungkin tidak sepenuhnya terserlah di layar digital.
Sebelumnya, Alia B. telah mengadakan pertunjukan fesyen tersendiri sebagai pembuka tirai musim perayaan. Diikuti jenama lain seperti Nurita Harith dan Maslea yang juga telah berlangsung dari 30 Januari hingga 2 Februari lalu.

Sementara jenama seperti LUBNA dan Zalia bakal mengadakan pertunjukkan mereka di KLCC pada 15 Februari nanti. Kesemua acara ini menambahkan dimensi pengalaman luar talian, menjadikan ZALORAYA 2o26 bukan sekadar kempen beli-belah, tetapi sebuah perayaan gaya hidup.

Selain itu, Zaimi Zulkafli turut meraikan pelancaran koleksi eksklusifnya menerusi sebuah sesi high tea dan presentasi istimewa pada 10 Februari lalu — sebuah pertemuan lebih intim yang memberi ruang kepada tetamu terpilih untuk menghayati setiap perincian rekaan secara dekat.
Yadotsa pula mengadakan acara tersendiri pada 21 Februari, meneruskan momentum musim ini dengan pendekatan yang lebih peribadi dan terkurasi. Inisiatif-inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh naratif ZALORAYA 2026, malah mengukuhkan lagi hubungan antara pereka, koleksi dan komuniti fesyen yang menghargai pengalaman di luar ruang digital.
Koleksi ZALORAYA 2026 dilancarkan secara berperingkat sepanjang Januari dan Februari dan boleh didapati di Malaysia serta Singapura menerusi aplikasi mudah alih ZALORA atau laman sesawang rasmi.
Tahun ini, ZALORAYA 2026 membuktikan bahawa warisan tidak pernah statik — ia sentiasa berevolusi. Dan dalam evolusi itulah, tradisi terus hidup, diberi nafas baharu oleh kreativiti yang berani dan visi yang progresif.




















.gif)

Apa pandangan anda?