
Pertama, kongsikan segalanya tentang diri kamu?
Nama saya Atasha, berumur 35 tahun. Saya merupakan seorang pencipta kandungan (pelancongan) sepenuh masa. Saya juga banyak buat review makanan sebab saya suka makan. Saya suka semua perkara berkaitan Korea, thanks to BTS!
Saya boleh berbahasa Korea kerana minat saya terhadap K-pop dan drama Korea. Pada mulanya, saya mengikuti kelas Bahasa Korea bersama kakak saya hanya untuk membantunya berlatih. Namun, lama-kelamaan saya mula menikmati proses pembelajaran itu. Kini, saya berasa seronok apabila dapat bertutur dalam bahasa Korea, terutamanya semasa melancong ke negara tersebut.

Sebelum ini kamu bekerja dalam industri media — ceritakan peralihan kamu bergelar seorang pencipta kandungan?
10 tahun yang lalu saya pernah bekerja dengan BluInc, di bahagian pemasaran dan acara. Kemudian saya buat keputusan untuk berehat seketika sebelum kembali bekerja. Saya tak pernah terfikir pun untuk bergelar seorang pencipta kandungan, saya hanya menggunakan platform Instagram sebelum ini untuk memuat naik gambar.
Tapi, tiba-tiba ramai orang yang seakan suka dengan kandungan yang saya ketengahkan, views dan followers juga semakin bertambah. Kemudian ramai yang sarankan saya untuk jadikan ini sebagai sebuah kerjaya dan cuba jadi pencipta kandungan. sepenuh masa.

Kongsikan pahit manis kehidupan sebagai pencipta kandungan yang ramai tak tahu?
Dari dasarnya orang hanya melihat yang indah tentang kerjaya ini – makan dibayar, melancong percuma dan kebanyakkan perkara ditanggung ketika melancong tetapi orang tak tahu cabaran seperti kekangan masa yang kebanyakkan pencipta kandungan hadapi.
Contohnya, apabila kami keluar melancong untuk tempoh seminggu. Kadang-kadang pada minggu yang sama juga kami perlu terus keluarkan sehingga 6-7 video untuk mempromosikan tempat tersebut. Saya pernah tidur hanya satu jam sehari untuk edit dan siapkan video.
Tak ramai yang tahu akan struggle kami sebab orang hanya melihat ‘the good things’ yang kami paparkan melalui media sosial. Satu lagi, apabila bergelar pencipta kandungan dan menampilkan kandungan berbayar, kadang-kadang kami tak dapat berkreativiti sepenuhnya dalam menghasilkan kandungan, perlu mengutamakan kehendak klien. Saya sangat bersyukur kalau dapat bekerja sama dengan jenama-jenama yang percaya pada saya dan beri saya ruang untuk berkreativiti.

Bagaimana cara kamu kekal jujur dengan diri sendiri dan mengimbangkan kehendak klien pada masa yang sama?
Bila aya buat review, contohnya tentang produk makanan. Jika ia sedap saya memang akan cakap sedap. Tapi kalau sebaliknya, saya tak akan begitu banyak menguulas mengenai produk tersebut. Saya hanya akan menjalankan tanggungjawab saya untuk meningkatkan ‘brand awareness’ supaya orang tahu tentang produk tersebut dan cuba sendiri.
Sebab sebolehnya saya tidak mahu tipu pengikut saya, ia akan menjejaskan kredibiliti saya sebagai seorang pencipta kandungan.
Pendapat kamu tentang generasi muda yang ingin menjadi pencipta kandungan tanpa mengutamakan pelajaran?
Saya sering dengar pandangan yang menganggap pelajaran tidak penting untuk menjadi seorang pencipta kandungan — dan perkara ini sangat menyedihkan. Hakikatnya, ilmu pengetahuan adalah asas yang sangat penting dalam apa jua bidang, termasuk dunia penciptaan kandungan.
Sebagai pencipta kandungan, peranan kamu bukan sekadar menghasilkan video atau gambar yang menarik, tetapi juga melibatkan kerjasama dengan pelbagai pihak. Keupayaan berkomunikasi dengan berkesan, memahami selok-belok industri, dan mengamalkan etika kerja yang baik — semuanya berlandaskan ilmu yang kukuh.
Bagi saya, pencipta kandungan yang baik ialah mereka yang menggunakan platform secara bertanggungjawab — untuk mendidik, memberi inspirasi dan menyampaikan maklumat yang bermanfaat. Kandungan saya, contohnya, memberi panduan serta informasi berguna kepada mereka yang ingin melancong ke luar negara. Untuk hasilkan kandungan seperti ini, saya perlu membuat kajian yang tepat supaya maklumat yang disampaikan tidak mengelirukan.
Tanpa ilmu, kita akan mudah dimanipulasi dalam industri ini. Pengetahuan bukan sahaja membantu seseorang berkembang secara profesional, malah bertindak sebagai pelindung diri — terutamanya apabila berurusan dengan pihak luar. Ilmu membolehkan kamu memahami kandungan kontrak, terma kerja dan hak anda sebagai pencipta.

Dua negara yang pada kamu wajib untuk dilawati dan meninggalkan memori paling indah buat kamu setakat ini?
Pertama sekali, Korea Selatan! Sangat mudah untuk dapatkan makanan halal di Korea. Pengangkutan awam di sana juga sangat-sangat Efisien, mudah buat kamu untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Malah, ada banyak aplikasi yang boleh membantu orang ramai dalam merancang perjalanan mereka – termasuk maps, kadar pertukaran wang dan sebagainya.
Kedua adalah Portugal, biasanya di Eropah pelancong akan lebih cenderung untuk melawat Perancis dan Itali. Tapi, Portugal sebenarnya punya daya tarikan yang tersendiri. Orang Portugis sangat-sangat mudah untuk didekati, mereka sangat friendly dan suka membantu. Pada saya, barang-barang serta makanan di sana juga jauh lebih murah.
Apakah nasihat kamu untuk berhadapan dengan komen atau kritikan negatif di media sosial?
Jangan terlalu ambil serius akan komen atau kata-kata orang di media sosial, kamu tak boleh puaskan hati semua orang. Kadang-kadang saya sendiri ada terasa marah dengan komen-komen netizen pada posting saya namun bila difikirkan semula tak ada kebaikannya pun untuk kita react, jadi jangan ambil serius dan fokus sahaja untuk menghasilkan kandungan yang berfaedah.

Writer : Syafiqah Alkaf
Art Director: Merrissa Emilda
Project Manager : Ija Rahman
Studio : Peeking Visuals
Photographer/Videographer : Kelemayar Studio & Peeking Visuals
Videoeditor : Kelemayar Studio
BTS Videographer : Jordi Harris
Stylist: Ben Ong/ETC Smiles
Solekan : Barenbliss Malaysia
Rambut : El Manda Zuhairy

.gif)



















.gif)


Apa pandangan anda?