Posted on June 11, 2025

Pertama, kongsikan segalanya tentang diri kamu?
Hi, nama saya Syed Umar Sadique tapi orang lebih mengenali saya sebagai Marc Sadique. Saya dilahirkan di United Kingdom pada 23 Jun, Saya anak keempat daripada enam orang adik-beradik. Sebelum ini, saya banyak menumpukan perhatian kepada pelajaran dan saya mengambil bidang Komunikasi Bahasa Inggeris.
Ketika belajar saya mula menceburkan diri dalam bidang peragaan dan aktif di media sosial. Kemudian saya menerbitkan buku saya sendiri pada dua tahun lepas yang bertajuk ‘Believe Me, You’ll Heal’, pada masa yang sama saya juga banyak memberikan ceramah di sekolah-sekolah.
Terbaru, pada tahun lepas saya mula menerima tawaran untuk berlakon dalam drama TV. Jika hendak bercerita tentang hobi pula, saya sebenarnya seorang yang sangat cintakan laut. Saya seorang penyelam profesional.

Kongsikan bagaimana kamu mula berminat untuk menulis buku
Semasa saya di sekolah menengah saya merupakan mangsa buli. Jadi, salah satu cara saya untuk kuatkan diri dan menghadapi situasi tersebut adalah dengan menulis kata-kata semangat pada tangan saya. Kemudian apabila tamat pengajian saya mula membuka akaun Twitter saya sendiri dimana saya banyak membuat ciapan berdasarkan kata-kata semangat tersebut.
Tak lama selepas itu, saya mula sembuh sepenuhnya daripada trauma buli dan saya himpunkan kesemua kata-kata semangat tersebut menjadi sebuah buku dengan harapan dapat membantu mangsa buli di luar sana.

Pernahkah kamu menerima maklum balas daripada pembaca yang mengatakan buku kamu membantu mereka mengatasi pengalaman dibuli?
Pernah! Saya agak terkejut kerana pernah menerima direct message daripada pembaca di India. Malah, saya juga banyak menerima maklumbalas baik daripada rakyat Malaysia sendiri dan ada juga daripada Indonesia.

Boleh ceritakan kerjaya lakonan kamu dan apa yang mendorong kamu untuk mula berlakon?
Saya sebenarnya tidak mahu langsung jadi seorang pelakon, tapi itulah kata orang jangan terlalu membenci kan?. Ianya bermula ketika saya rajin melalukan sesi live di TikTok, dari situ ramai produser yang mula mendekati saya. Tapi, titik permulaan saya bergelar seorang pelakon adalah ketika saya memuat naik banyak video mengenai Palestin, video tersebut mendapat perhatian bukan sahaja di Malaysia malah luar negara termasuk Itali, Rusia dan banyak lagi negara lain.
Video-video saya meraih jutaan tontonan, sehinggakan saya menerima kecaman dan ugutan bunuh. Akaun Instagram saya kemudiannya disekat dan digantung. Saya umpama kehilangan sebuah platform rezeki, tawaran untuk review dan kerja-kerja di media sosial semakin berkurang selepas itu.
Tak lama kemudian saya dan keluarga berpeluang untuk menunaikan umrah. Sebaik sahaja, saya pulang semula ke Malaysia, saya mendapat panggilan daripada salah seorang produser tempatan menawarkan saya peluang untuk berlakon. Ketika itulah saya mula merasakan mungkin ini peluang terbaik untuk saya kembali menghidupakn akan Instagram baru dengan menjadi seorang pelakon.
Watak idaman yang ingin kamu cuba?
Ada banyak watak yang ingin saya cuba! Tapi, dalam drama yang akan datang saya dapat mencuba watak komedi. Ianya salah satu watak yang saya idamkan juga kerana karakter saya diluar adalah seorang yang cheeky dan suka buat lawak. Jadi, saya agak teruja untuk membawakan watak ini. Saya sangat berharap orang ramai akan dapat melihat bakat saya melalui watak ini.
Kamu kuat bersuara tentang Palestin, selain melalui media sosial apakah lagi cara kamu menyuarakan sokongan?
Saya juga berkerjasama dengan sebuah organisasi bernama ‘Help Palestine’ – ianya sebuah organisasi yang aktif mengumpul dana dan menyampaikan bantuan secara terus ke Palestin.
Selain berlakon adakah kamu berminat untuk cuba mengarah atau lain-lain?
Sejujurnya, saya belum pernah terfikir sampai ke situ lagi. Tapi, siapa tahun mungkin satu hari nanti? Cuma untuk sekarang mungkin belum lagi.

Writer : Syafiqah Alkaf
Art Director: Merrissa Emilda
Project Manager : Ija Rahman
Studio : Peeking Visuals
Photographer/Videographer : Kelemayar Studio & Peeking Visuals
Videoeditor : Kelemayar Studio
BTS Videographer : Jordi Harris
Stylist: Ben Ong/ETC Smiles
Solekan : Barenbliss Malaysia
Rambut : El Manda Zuhairy
Apa pandangan anda?