Posted on September 17, 2021
Kacang bendi mempunyai khasiat yang amat baik terhadap pesakit diabetes? Bukan hanya satu, tetapi terdapat banyak khasiat kacang bendi yang mungkin kita belum tahu. Teruskan membaca jika anda ingin tahu sama ada betul atau tidak bendi kawal gula untuk pesakit diabetes.
Khasiat kacang bendi: bendi kawal gula & jadi ubat untuk pesakit diabetes?
Ada yang gemar memakan bendi goreng, dan ada juga yang gemar memakannya dengan cara direbus.
Apa pun cara penyediaannya, bendi telah lama dianggap sebagai antara tumbuhan yang menjadi ubat diabetes.
Ini kerana, antara khasiat kacang bendi ialah ia dapat mengawal paras gula darah dalam tubuh manusia.
Selain daripada mengawal paras gula darah, kacang bendi juga mempunyai beberapa manfaat khusus terhadap pesakit diabetes.
Berikut ialah lima khasiat sayur bendi khusus bagi penghidap diabetes.
Mengandungi serat yang tinggi
Sayur bendi antara sayur yang tinggi dengan kandungan serat. Bagi setiap 100 gram bendi, ia mengandungi sekitar 3.6 gram serat.
Bagi penghidap diabetes, makanan yang tinggi serat sememangnya amat baik untuk diambil.
Ini kerana, makanan yang tinggi serat dapat membantu mengawal paras gula darah dengan melambatkan proses pembentukan gula dalam tubuh manusia.
Kajian ada menunjukkan, peningkatan pengambilan serat boleh mencegah gula darah daripada naik secara mendadak dalam kalangan pesakit diabetes jenis 2.
Selain itu, sayuran yang tinggi serat seperti sayur bendi ini juga boleh menurunkan risiko penyakit kardiovaskular dan buah pinggang dalam kalangan pesakit diabetes.
Bendi kawal gula dalam darah
Oleh sebab itu, sayur bendi sering digunakan sebagai tumbuhan semula jadi dalam merawat diabetes.
Satu kajian telah dilaksanakan terhadap tikus penghidap diabetes bagi melihat khasiat sayur bendi ini.
Hasil kajian tersebut menyatakan bahawa, pengambilan ekstrak bendi yang kaya dengan antioksidan dapat menyekat tekanan oksidatif dan kerintangan insulin.
Oleh itu, sayur bendi dapat membantu memperbaiki paras gula darah dalam kalangan pesakit diabetes.
Namun kajian ini hanya tertakluk kepada tikus sahaja. Masih banyak kajian lanjutan diperlukan bagi menguatkan manfaat sayur bendi terhadap kawalan gula darah.
Menurunkan kadar kolesterol dalam tubuh
Kandungan serat yang tinggi dalam sayur bendi sangat bermanfaat dalam menurunkan paras kolesterol yang tinggi, yang biasa dialami oleh penghidap diabetes.
Persatuan Jantung Amerika menyatakan bahawa, individu yang menghidap diabetes lebih cenderung untuk mempunyai kadar kolesterol yang lebih tinggi.
Kolesterol yang tinggi boleh memberikan kesan yang amat buruk kepada penghidap diabetes disebabkan oleh kesan negatifnya terhadap kesihatan jantung.
Bendi mempunyai kesan antistres
Hiperglisemia ialah keadaan di mana paras gula darah menjadi terlalu tinggi.
Oleh itu, penghidap diabetes juga perlu mengetahui cara untuk mengawal stres yang mereka alami bagi mengelakkan hiperglisemia.
Jangan risau kerana antara khasiat sayur bendi ialah ia memiliki kesan antistres.
Kajian menyatakan bahawa, ekstrak biji kacang bendi mempunyai kesan antioksidan dan juga antistres apabila ia diuji terhadap tikus makmal.
Mencegah keletihan
Sekiranya kamu menghidap diabetes dan sedang melakukan sebarang aktiviti, makanlah sayur bendi untuk mengelakkan kamu menjadi terlalu letih atau penat.
Sekiranya kamu kerap memakan sayur ini, kamu mungkin tidak mudah berasa letih ketika bersenam atau melakukan aktiviti fizikal lain.
Walaupun bendi kawal gula dalam darah, awas…!
Walaupun sayur bendi mempunyai pelbagai manfaat dan khasiat, ia bukanlah satu-satunya jalan atau ubat bagi merawat diabetes.
Kamu tidak boleh sekali-kali meninggalkan ubat yang telah diberikan oleh doktor kerana ubat tersebut ikhtiar utama bagi penyakit diabetes.
Sekiranya kamu ingin mula memasukkan sayur bendi dalam diet, bertanyalah kepada doktor terlebih dahulu.
Doktor akan memberikan cadangan pemakanan yang bersesuaian dengan keadaan semasa kamu.
Kamu mungkin tidak digalakkan memakan bendi jika ada mengambil ubat metformin.
Ubat metformin berfungsi mengawal paras gula darah.
Jika kamu memakan bendi ketika mengambil ubat ini, dikhuatiri ia boleh menyekat penyerapan ubat tersebut ke dalam tubuh.
Kesannya, ia mungkin menyebabkan ubat tersebut tidak begitu berkesan dalam mengawal keadaan diabetes kamu.
Artikel ini ditulis oleh Muhammad Wa’iz untuk Hello Doktor
Apa pandangan anda?