Posted on January 1, 2021
Situasi: Abg. Jamil singgah ke stesen minyak sambil berfikir, “Bajet tak kencang bulan ni, tapi aku selalu pam RON97. Myvi turbolah katakan.” Maka, Abg. Jamil pun fikir 10 kali nak pam RON95 atau tidak untuk ‘topup’ RON97 yang berbaki setengah tangki. “Boleh ke campur RON95 dan RON97, ya?” fikirnya.
Jawapannya mudah, Abg. Jamil. RON95 dan RON97 boleh dicampur tanpa ada sebarang perubahan prestasi ketara ataupun mendatangkan musibah pada enjin kereta. Apa yang penting, tak kisah apa jua jenis kereta kamu, pengguna mestilah mengikut piawaian yang ditetapkan dalam panduan pemilik kereta masing-masing. Contohnya, buku panduan pemilik atau label pada penutup tangki minyak akan menyatakan sama ada kamu perlu menggunakan RON95 atau lebih tinggi (“RON95 or higher”).
Apa-apa pun, dalam kes boleh ke campur RON95 dan RON97, tiada apa yang perlu dirisaukan. Yang penting, enjin kereta kamu boleh menerima RON95 dan ke atas. Bagi kenderaan yang memerlukan RON97 ke atas, sekali sekala mencampur RON95 ke atas lebihan RON97 yang sudah ada di dalam tangki tidak memberi impak yang ketara.
Cuma pastikan nisbah RON95 tidak terlalu banyak dalam campuran tersebut kerana penggunaan RON yang lebih rendah daripada spesifikasi yang ditetapkan (RON97) untuk enjin kereta akan menyebabkan enjin kamu berbunyi kuat (‘knocking’) yang boleh menjejaskan enjin jika dibiarkan terlalu lama.
Bagi enjin kereta berspesifikasi sekurang-kurangnya RON93 atau RON95 seperti kereta Perodua dan Proton misalnya, campur sajalah dengan RON sama atau lebih tinggi kerana ini tiada impaknya. Sama juga dengan jenama petrol (Shell, Petron, dll.) – walaupun lain formulasinya (tahap detergen dsb.), tiada masalah jika dicampur dengan petrol jenama berbeza.
Ikuti WapCar – BM di Facebook untuk dapatkan lebih banyak tip tentang apa saja berkaitan kereta dan motosikal! Juga dapatkan kemaskini harga petrol terkini setiap minggu di WapCar – BM!
Untuk lebih banyak artikel sebegini, lawati www.wapcar.my
Apa pandangan anda?