Posted on June 23, 2021
Sebelum ini, kami pernah laporkan tentang bunyi getaran Perodua Ativa yang datang dari bahagian belakang sebelah kanan kereta. Ia sudahpun dibaiki dahulu, namun selepas beberapa minggu, bunyi yang sama kembali menghantui kami.
Oleh itu, sebelum berakhirnya bulan Ramadhan yang lalu, kami sempat menghantarnya ke pusat servis Perodua untuk diperiksa sekali lagi. Setelah kami maklumkan Perodua tentang isu ini, mereka cepat-cepat menetapkan tarikh temujanji untuk kami.
Sama seperti servis terdahulu, Perodua menghantar pasukan pakar mereka dari ibu pejabat Perodua untuk membetulkan masalah ini.
Buny getaran Perodua Ativa: Masalah masih lagi berkaitan brek dram
Punca masalah bunyi getaran Perodua Ativa ini kekal sama iaitu brek dram di tayar belakang sebelah kanan. Sekurang-kurangnya puncanya masih sama, oleh itu kami boleh jimat masa dan cuba kaedah lain pula jika kaedah terdahulu kurang berkesan.
Masalah ini pernah dibetulkan dahulu dimana ‘brake shoe’-nya diketatkan. Namun, sekejap saja bunyinya hilang dan tiba-tiba ia kedengaran semula setelah beberapa minggu.
Perkara yang membimbangkan kami ialah bunyi bahagian yang longgar di bahagian belakang sebelah kanan kereta setiap kali ia dipandu melepasi jalan tidak rata, contohnya tampalan jalan, lubang, atau jalur perangkap kelajuan.
Makan masa separuh hari
Masa menunggu kali ini lebih lama berbanding servis sebelumnya. Nasib baik kami datang bertiga, tak lah bosan.
Sementara menunggu, kami nampak kumpulan juruteknik yang bertugas keluar untuk memandu-uji Ativa kami bagi memastikan masalah ini dibetulkan dengan sempurna. Setiap pandu uji dilakukan dengan 4 orang dewasa duduk di dalam kereta.
Pendek cerita, Cik Tiva berulang kali dibetulkan dan dipandu-uji sepanjang hari.
Kami harap kunjungan kami ke pusat servis yang seterusnya hanyalah untuk servis biasa kerana kami lihat pasukan Perodua sememangnya bertungkus-lumus untuk membetulkan isu ini.
Ditambah pula dengan cabaran di bulan Ramadhan, kami amat menghargai usaha pasukan Perodua yang bekerja keras walaupun ketika berpuasa.
Kami diberitahu yang ‘brake shoe’ Cik Tiva sudah diketatkan sekali lagi, tetapi dengan beberapa langkah tambahan kali ini.
Berbaloikah tunggu lama-lama?
Saksikan Jason untuk penceritaan proses servis kali ini:
Artikel ini ditulis oleh Mersita untuk WapCar
Apa pandangan anda?