Posted on July 24, 2023
Perjalanan selama enam jam tidak begitu terasa kerana berbesar hati untuk menjejakkan kaki buat pertama kali ke Busan, Korea Selatan – bumi K-pop dan K-drama. Destinasi pertama krew STAIL.MY sebelum ke Seoul untuk pengambaran campaign Kore At First Sight adalah Busan dengan menaiki pesawat AirAsia X dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae, Busan. Sejurus tiba, kami disambut oleh pemandu pelancong yang disediakan oleh pihak Korea Tourism Organization.
HARI PERTAMA
MENJEJAKKAN KAKI KE BUSAN!
Bandaraya metropolitan Busan merupakan bandar kedua terbesar di Korea Selatan selepas Seoul, dengan populasi melebihi 3.4 juta penduduk. Dahulunya ditulis sebagai Pusan, ia merupakan pusat ekonomi, budaya dan pendidikan di tenggara Korea Selatan. Busan juga telah disenaraikan dalam the UNESCO Creative Cities Network sebagai “City of Film” pada Disember 2014.
Saya sebagai peminat tegar K-drama berasa begitu teruja untuk menerokai Busan – yang juga dinamakan sebagai salah satu ‘TOP DESTINATIONS’ oleh National Geographic – bersama sepasukan krew STAIL.MY dengan pelakon High Council, Nadhir Nasar dan juga Erysha Emyra. Usai makan tengahari, kami terus dibawa ke hotel penginapan yang terletak di kawasan lama Busan atau lebih dikenali sebagai Old Busan. Hotel Crown Harbor yang lengkap dengan pemandangan bandar dan pelabuhan, memiliki lebih 500 bilik penginapan yang bermula daripada bilik standard sehinggalah suite mewah. Di sini, kami berehat sebentar sebelum ke destinasi seterusnya.
Hotel Crown Harbor
Alamat: 114 Jungang-daero, Jung-gu, Busan
Tel: +82 51-678-1000
Laman web : www.crownharborhotel.com
KAMPUNG WARNA-WARNI & MAKAN SOTONG HIDUP?
Aktiviti hari pertama kami dimulakan dengan melawat Gamcheon Culture Village yang mengambil masa lebih kurang 30 minit dari hotel penginapan. Perkara yang terlintas di fikiran saya apabila kali pertama melihat perkampungan warna-warni ini, adalah teringatkan Chefchaouen di Maghribi. Tetapi yang berbezanya adalah Gamcheon Culture Village, yang juga dipanggil ‘Machu Picchu of Busan’, disimbahi variasi rona gembira. Pabila melawat Gamcheon Culture Village, memakai kasut yang bersesuaian sangat penting kerana di sini banyak melibatkan aktiviti naik turun tangga. Mengikut sejarah, perkampungan ini dibina sekitar tahun 1920-an dan terletak di atas bukit berdekatan dengan Pelabuhan Busan. Selain rumah yang berwarna warni, terdapat juga pelbagai kafe dan kedai cenderahati buat para pengunjung. Manakala antara aktiviti istimewa khusus buat para pengunjung, termasuklah mengumpul cop atau stamp di setiap pitstop sepanjang menelusuri Gamcheon Culture Village.
Gamcheon Culture Village
Alamat: 203 Gamnae 2-ro, Saha-gu, Busan
Tel: +82 51-204-1444
Waktu Operasi: Setiap hari 9:00 pagi – 6:00 petang
Laman web: english.visitkorea.or.kr
Selesai berjalan-jalan mengitari Gamcheon, kami meneruskan perjalanan ke pasar Jagalchi semata-mata mahu untuk mencuba sotong hidup! Ya, ini adalah makanan wajib yang patut dicuba sekiranya ke Jagalchi. Sotong hidup itu sungguhpun masih “bergerak-gerak”, sebenarnya ia sudah dibersihkan dan bahagiannya telah dipotong kecil-kecil. Enak dimakan bersama minyak bijan dan daun bawang. Pastinya ia adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan! Berbicara fasal Pasar Jagalchi, ia merupakan pasar ikan terbesar di Busan. Terletak di kawasan pelabuhan, pasar ini menawarkan pengalaman kuliner yang autentik dan menarik buat pengunjung. Di sini, pengunjung dapat melihat pelbagai jenis ikan segar, makanan laut dan produk makanan laut. Pasar Jagalchi juga mempunyai restoran-restoran kecil yang menjual hidangan laut. Pengunjung dapat memilih ikan atau makanan laut kegemaran mereka dan menikmatinya untuk dimasak mengikut cara masakan yang diingini seperti direbus, digoreng atau dipanggang.
Jagalchi Market
Alamat: 52 Jagalchihaean-ro, Jung-gu, Busan
Tel: +82 51-713-8000
Waktu Operasi: Setiap hari 5:00 pagi – 10:00 malam
Laman web: english.visitkorea.or.kr
Bila tiba waktu makan malam, kami disajikan menu Shabu Shabu di Chaeseondang, cawangan Busan Station. Menu di restoran ini terdiri daripada pelbagai jenis makanan laut dan juga sayuran. Dan bagi mengimbangi pemakanan, amat disarankan untuk makan sayur-sayuran yang dihidangkan bersama setiap makanan anda. Cara penyediaan makanan di sini juga sangat mengujakan – pelayan telah mendemonstrasi cara penyediaan bubur dengan menggunakan sup dan sayuran, ditambah lagi dengan telur ayam. Hasilnya? Sungguh enak.
Chaeseondang, Shabu Shabu
Alamat: 513-1, Seodaesin-dong 3-ga, Seo-gu, Busan
Tel: +82 051-242-2003
Waktu Operasi: Setiap hari 11:00 pagi – 9.40 malam
HARI KEDUA
PENGALAMAN MELUNCUR MELALUI LITAR YANG MENGUJAKAN
Selepas makan sarapan pagi di hotel pada hari kedua, kami terus ke lokasi tarikan pelancong yang pertama iaitu Skyline Luge. Kami telah ditaja oleh Busan Tourism Organization untuk menggunakan Visit Busan Pass sepanjang berada di Busan. Visit Busan Pass adalah kad tawaran yang membolehkan pengunjung menikmati akses dengan mudah dan pada masa yang sama, menjimatkan kos apabila ke pelbagai jenis tarikan serta kemudahan di Bandar Busan. Termasuklah Skyline Luge ini (Teruskan membaca artikel, untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Visit Busan Pass). Skyline Luge merupakan aktiviti pemanduan kendiri yang menawarkan pengembaraan menuruni bukit dengan menggunakan kenderaan luge. Boleh memilih untuk meluncur secara relax untuk menikmati pemandangan indah kawasan sekitar atau boleh juga untuk meluncur laju buat mereka yang gemarkan keseronokan adrenalin. Kami amat gembira kerana dapat juga merasa pengalaman ini dan mencuba di dua trek yang berbeza. Jika anda bercadang untuk datang kesini, bersedialah! Kerana di setiap selekoh terdapat kamera yang akan merakam reaksi serta aksi anda. Gambar-gambar itu boleh dibeli dan disimpan sebagai kenangan.
Skyline Luge
Alamat: 205 Gijanghaean-ro, Gijang-gun, Busan
Tel: +82 51-722-6002
Waktu Operasi: Setiap hari 10:00 pagi – 7:00 petang
Laman web: www.skylineluge.kr
Setelah puas beraksi dan berlumba-lumba di Skyline Luge, kami terus ke Restoran Vegenarang, yang menyajikan hidangan vegan yang sihat. Restoran ini agak popular di kalangan para vegetarian dan vegan serta mereka yang mencari pengalaman gastronomi kuliner yang berbeza. Vegenarang terkenal kerana menu mereka yang menggugah selera dan menggunakan bahan segar yang berkualiti tinggi. Daripada hidangan khas Korea tradisional hingga hidangan antarabangsa yang inovatif, setiap hidangan di Vegenarang dirancang dengan cermat untuk memuaskan selera para tetamu. Selain suasana restoran yang nyaman dan pelayan yang ramah, ia juga telah dilabel sebagai restaurant “Muslim-friendly” oleh Korea Tourism Organisation.
Vegenarang
Alamat: 9F, 9-32 Gwanganhaebyeon-ro 370beon-gil, Suyeong-gu, Busan
Tel: +82 70-4177-5555
Waktu Operasi: Setiap hari 11:30 pagi – 3:00 petang, 5:00 petang – 8:00 malam
Laman web: english.visitkorea.or.kr
AKTIVITI HEALING UNTUK MENENANGKAN HATI!
Dari restoran vegan, kami ke Haeundae Blueline Park pula. Di sini, panorama laut yang menenangkan membuatkan taman ini sempurna untuk beriadah dan aktiviti healing. Apatah lagi dengan hembusan bayu laut yang dingin dan disempurnakan oleh kehijauan alam semula jadi. Kami dibawa menaiki Haeundae Beach Train yang unik dan retro. Buat pengetahuan kamu, akses menaiki kerata api ini juga menggunakan Visit Busan Pass. Mudah, kan?! Kereta api ini berjalan selari dengan denai pejalan kaki untuk kami menikmati pemandangan laut yang tenang. Ia memberi pemandangan dan perasaan yang sungguh berbeza dengan pejalan kaki.
Selain itu, pengunjung-pengunjung juga boleh memilih untuk menaiki Sky Capsule. Saya bersama krew STAIL.MY dapat merasai pengalaman unik ini. Memandangkan Sky Capsule berada di atas ketinggian yang agak tinggi, maka kami mengambil kesempatan untuk menikmati pemandangan yang sedikit berbeza daripada Haeundae Beach Train. Bayangkan sebuah laluan di sepanjang landasan keretapi di mana laut dan langit biru menyambut anda. Amazing! Satu kapsul boleh memuatkan empat orang dan sesuai bagi pasangan-pasangan bercinta untuk meluangkan masa bersama sambil menikmati keindahan matahari terbenam. Romantis, bukan? Bagi kamu yang mahu marasai pengalaman ini, nasihat saya adalah membuat tempahan secara dalam talian lebih awal untuk memastikan kamu mendapat slot yang diinginkan. Tickets are selling like hot cakes!
Haeundae Blueline Park
Alamat: 116, Cheongsapo-ro, Haeundae-gu, Busan
Waktu Operasi: Setiap hari 10:00 pagi – 7:00 petang
Laman web: www.bluelinepark.com
Haeundae Beach
Alamat: 264, Haeundaehaebyeon-ro, Haeundae-gu, Busan
Laman web: english.visitkorea.or.kr
Tibalah waktu untuk makan malam pada hari kedua dan kami memilih untuk ke Restoran Namaste – sebuah restoran yang menyajikan masakan India. Kerana ingin tahu juga bagaimana agaknya rasa makanan India di Korea? Terletak berdekatan Haeundae Beach, Restoran Namaste menawarkan pelbagai hidangan lazat seperti chicken tikka masala, butter chicken, beriani, naan dan banyak lagi. Jika ingin mencari makanan india yang autentik di Busan, Restoran Namaste adalah tempat yang sempurna untuk menjelajahi rasa dan aroma India. Kami bertambah-tambah makan selepas seharian beraktiviti. Puas!
Namaste Haeundae
Alamat: 7, Haeundaehaebyeon-ro 265beon-gil, Haeundae-gu, Busan
Tel: +82 51-746-1946
Waktu Operasi: Setiap hari 11:00 pagi – 11:55 malam
Laman web: english.visitkorea.or.kr
HARI KETIGA
HARI YANG BERANGIN & BERJALAN DI ATAS AWAN
Pada hari ketiga di Busan, cuaca pagi tidak begitu memihak kepada kami. Hujan renyai dan angin yang kuat sewaktu kami berada di Songdo Skywalk membuatkan hampir kesemua payung kami patah, malah ada yang diterbangkan oleh angin kuat! Tetapi ia tidak mematahkan semangat kami untuk menikmati pemandangan indah di lokasi ini. Songdo Skywalk terletak di atas tebing di pantai Songdo dengan pemandangan yang menakjubkan. Pengunjung dapat menikmati panorama indah sepanjang menelusuri papan jalan kaca yang melintasi air. Ia memberi bayangan seolah-olah berjalan di atas air. Songdo Skywalk menawarkan pemandangan spektakular matahari terbenam dengan warna-warni langit yang memukau. Selain itu, terdapat juga kawasan istirehat di sepanjang jalan untuk bersantai-santai.
Songdo Skywalk
Alamat: 129-4, Amnam-dong, Seo-gu, Busan
Laman web: english.visitkorea.or.kr
Seterusnya kami ke Busan X the Sky, ia adalah ikon terbaru di kota Busan yang merupakan menara observasi yang terletak di tingkat 98, 99 dan 100 Haeundae LCT The Sharp – Landmark Tower di Busan. Untuk menaiki menara observasi ini, Visit Busan Pass juga boleh digunakan. Menara ini adalah bangunan tertinggi di Busan dan yang kedua tertinggi di Korea Selatan selepas Lotte World Tower di Seoul.
Dari menara observasi kaca ini, ia membolehkan kami melihat pemandangan bandaraya Busan dari pelbagai sudut. Contohnya, pemandangan laut yang luas dari kafe Starbucks yang tertinggi di Korea Selatan yang terletak di aras 99, rangkaian gunung dan mercu tanda terkenal di Busan seperti Haeundae Beach, Pulau Dongbaekseom, Haeundae Marine City serta Jambatan Gwangandaegyo. Busan X the Sky dilengkapi juga dengan restoran, kafe dan kedai cenderahati menarik. Antaranya, Restoran Sky 99 Grill and Pasta di Busan X The Sky adalah salah satu restoran yang telah menarik perhatian para penggemar K-drama. Mengapa? Kerana pernah menjadi lokasi pengambaran “Now, We Are Breaking Up”.
Busan X the Sky
Alamat: 30, Dalmaji-gil, Haeundae-gu, Busan
Tel: +82 51-731-0098
Waktu Operasi: Setiap hari 10:00 pagi – 9:00 malam
Laman web: www.busanxthesky.com
SAIZ KEPAH YANG LUAR BIASA & LAWATAN KE KUIL DI TEPI LAUT!
Makanan tengahari untuk hari ketiga sedikit istimewa kerana kami dihidangkan makanan laut segar di Restoran Makanan Laut Manseon. Antara makanan laut yang disajikan adalah kepah yang bersaiz luar biasa, udang harimau serta sotong yang digelar Haemultang bermaksud “fish stew“. Fish sperm juga terhidang sekali dalam fish stew disini. Meskipun kedengaran aneh, hidangan ini merupakan antara yang sangat popular di Korea. Sperma ikan memiliki tekstur yang lembut dan rasa berkrim ini adalah salah satu hidangan harus dicuba apabila ke Busan. Selalunya saya hanya mampu melihat dalam saluran mukbang Youtuber Korea sahaja, tetapi kali ini saya dan krew STAIL.MY dapat merasai makanan itu sendiri.
Manseon Haemultang
Alamat: 1753-16, Daeyeon-dong, Nam-gu, Busan
Tel: +82 051-612-1611
Kami teruskan lagi aktiviti hari ketiga dengan melawat Haedong Yonggungsa Temple, sebuah destinasi suci yang terletak di Gijang-gun, Busan. Kuil ini didirikan pada tahun 1376 oleh seorang guru beragama Buddha yang dikenali sebagai Naong pada masa Dinasti Goryeo. Pada awalnya, Haedong Yonggungsa Temple dikenali sebagai Bomun Temple yang telah musnah semasa pencerobohan Jepun ke atas Korea dan telah dibina semula pada tahun 1930. Empat singa yang terletak di kawasan utama kuil ini melambangkan kegembiraan, kemarahan, kesedihan dan kebahagian. Kami menuruni 108 anak tangga dan berhenti sejenak di bahagian tengah untuk menikmati bunyi ombak dan matahari yang megah sebelum kami sampai di kuil. Oh, siri K-drama kegemaran saya yakni “My Name” juga pernah membuat pengambaran episod keempat meraka di sini. Ms. Jennifer, selaku pemandu pelancong kami, berkongsi maklumat bahawa ramai orang di Korea melawat kuil ini hanya untuk meminta satu hajat sahaja.
Haedong Yonggungsa Temple
Alamat: 86 Yonggung-gil, Gijang-gun, Busan
Tel: +82 51-722-7744
Waktu Operasi: Setiap hari 5:00 pagi – 8:00 malam
Laman web: english.visitkorea.or.kr
Sudah tentu, kembara Busan kami takkan lengkap jika tidak pergi membeli-belah. Jadi, kami diberi peluang sebentar untuk membeli-belah di Lotte Premium Outlet yang terletak berdekatan Haedong Yonggungsa Temple. Terletak di daerah Dongnae-gu, outlet ini menawarkan pengalaman berbelanja yang eksklusif dengan harga berpatutan yang tidak terjangkau. Pengunjung dapat menemui pelbagai barangan fesyen, aksesori dan barangan rumah yang berkualiti tinggi. Segala jenama terkenal seperti Nike, Adidas, Coach dan banyak lagi tersedia di Lotte Premium Outlet! Usah risau, sama seperti outlet lain, pusat membeli-belah ini juga menawarkan perkhidmatan makan dan minuman. Lotte Premium Outlet adalah destinasi membeli-belah yang popular bagi mereka yang suka berbelanja di Busan.
Lotte Premium Outlet
Alamat: 147 Gijanghaean-ro, Gijang-eup, Gijang-gun, Busan
Tel: +82 51-1577-0001
Waktu Operasi: Isnin hingga Sabtu 10:30 pagi – 9:00 malam, Setiap Ahad (24 jam)
Laman web: www.premiumoutlets.co.kr
Malam terakhir kami di Busan tidak lengkap tanpa makan malam istimewa di Restoran Eobu. Restoran ini terletak berdekatan pantai Haeundae dan menyajikan keistimewaan hidangan mereka yakni makanan laut yang dipanggang di atas bara arang. Sejujurnya, makan di kedai-kedai kecil sebegini mengingatkan saya pada babak-babak yang saya selalu tonton dalam K-drama di saluran Netflix. Restoran ini dilabel sebagai “Muslim-friendly” oleh Korea Tourism Organisation dan cukup popular di kalangan pengunjung-pengunjung dari Malaysia. Pengalaman yang kami terima sewaktu mengembara seraya berkenalan dengan penduduk lokal yang sentiasa bertanya kami dari mana, belajar tentang budaya mereka dan keindahan alam tenang di Busan telah membuatkan saya jatuh cinta pandang pertama pada Busan, Korea Selatan. Adakah saya akan kembali lagi? Pasti!
Eobu
Alamat: 10, Gunam-ro 12beon-gil, Haeundae-gu, Busan
Tel: +82-51-746-0619
Waktu Operasi: Setiap hari 4:00 petang – 2:00 pagi
Laman web: english.visitkorea.or.kr
VISIT BUSAN PASS – SATU PAS UNTUK SEMUA!
Visit Busan Pass adalah kad tawaran pelancongan yang menyediakan akses kepada lebih 30 tempat tarikan seperti Busan Tower, Songdo Cable Car, Running Man Thematic Experience Center dan pelbagai diskaun di bandar Busan, Korea Selatan. Ia membolehkan pelawat menjelajahi Busan dengan mudah dan menikmati pelbagai pengalaman dengan harga yang lebih murah. Selain itu, kad ini juga menyediakan faedah tambahan seperti diskaun di restoran, kedai cenderahati dan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas dan kereta api. Kad Visit Busan Pass bertujuan untuk meningkatkan pengalaman para pelancong dengan menyediakan kemudahan, jimat wang dan akses mudah kepada tempat tarikan dan kemudahan hanya untuk para pelancong yang datang ke Busan.
Untuk informasi lebih lanjut tentang Visit Busan Pass, layari www.visitbusanpass.com
KEMUDAHAN NAVIGASI DI BUSAN, KOREA SELATAN
Naver Map dan Kakaomap adalah dua perkhidmatan navigasi terbaik di Korea Selatan bagi para pelancong. Naver Map menawarkan peta terperinci, arahan navigasi dan maklumat lalu lintas dalam masa nyata. Ia sangat berguna untuk berjalan-jalan mengitari pelbagai kawasan di Korea Selatan, termasuk bandar-bandar utama seperti Seoul dan Busan. Kakao Map juga menyediakan perkhidmatan yang sama serta maklumat pengangkutan awam dan maklumat tempat-tempat menarik di kawasan anda berada. Dua aplikasi yang mesra pengguna ini boleh dimuat turun ke telefon bimbit dan adalah pilihan terbaik bagi pelancong yang ingin memandu dan mengemudi perjalanan di Korea Selatan.
Untuk informasi lebih lanjut, layari laman web:
Naver Map: www.naver.com
Kakao Map: www.kakaocorp.com
Segala jadual perjalanan tertakluk kepada keadaan cuaca. Pembaca dinasihati merancang mengikut laluan terbaik. Untuk mendapatkan kemas kini dan maklumat perjalanan ke Korea kunjungi media social dan laman web Korea Tourism Organization Malaysia:
Instagram: @KTO_Malaysia
Facebook: @KTOMalaysia
Laman web: english.visitkorea.or.kr
Apa pandangan anda?