Tak kenal, maka tak cinta. Sebab itulah kamu harus mengembara ke Taiwan untuk melihat sendiri keindahan lanskap alam dan keunikan warisan budaya negara yang terkenal dengan bangunan ikonik, Taipei 101 ini. Lagipun, semenjak Biro Pelancongan Taiwan giat mempromosikan kempen Salam Taiwan, semakin ramai pengembara atau pelancong muslim dari Malaysia yang tertarik untuk bercuti ke negara itu.
Kempen yang mula diperkenalkan pada tahun 2017 itu bertujuan untuk memperkenalkan lokasi dan aktiviti menarik di Taiwan yang mesra muslim seperti makanan dan minuman, penginapan dan tempat awam yang dilengkapi surau untuk menunaikan solat. Jika kamu salah seorang peminat pelakon dan penyanyi popular Ayda Jebat, pasti kamu tahu bahawa dia merupakan duta kempen Salam Taiwan terkini. Sebagai duta pelancongan, Ayda banyak berkongsi tempat-tempat menarik di sana, malah dia juga muncul dengan sebuah diari perjalanan ke Taiwan untuk dijadikan rujukan ramai.
Untuk perkongsian kali ini, saya mahu membawa anda mengintai beberapa tempat menarik di Kaohsiung dan Taipei serta beberapa persingahan berdekatan dua bandar ini. Dua bandar utama di Taiwan ini punya pesona tersendiri. Kaohsiung ialah bandar ketiga paling ramai penduduk di Taiwan dan ia juga mempunyai masjid besar untuk kemudahan umat Islam beriadat. Masjid Kaohsiung agak mudah ditemui kerana ia terletak berhampiran tarikan pelancong, iaitu kira-kira 100 meter dari pangsapuri pelangi yang terkenal di bandar ini.
Taipei pula merupakan sebuah bandar raya serba moden terbesar di Taiwan yang berada di kedudukan kelapan dalam indeks global bandar pintar sehingga mendapat pengiktirafan sebagai Bandaraya Alpha oleh Globalization and World Cities Study Group and Network (GaWC). Selama enam hari, lima malam saya mengembara ke sana atas undangan Biro Pelancongan Taiwan, ada banyak tarikan yang sempat dilawati, dan daripada kesemua itu, ada lima tarikan yang paling digemari.
Dek itulah, ada banyak foto dan video yang berjaya saya rakam. Setengah daripadanya telah pun dikongsi ke platform media sosial. Maklumlah ada pocket WiFi, Travel Recommends yang menemani. Dengan data tanpa had, memang ‘laju’lah jari-jemari ini kongsikan ke media sosial. Baiklah, tanpa membuang masa, berikut adalah 5 tarikan pelancongan yang boleh dilawati jika bercuti ke Taiwan.
1) Suzuka Circuit Park
Suzuka Circuit Park menjanjikan keseronokan untuk semua golongan umur. Taman ini merangkumi dua tema utama, iaitu Mini Suzuka Circuit dan Circuit Park. Mini Suzuka Circuit ialah trek go-kart dengan piawaian antarabangsa, iaitu versi miniatur 1/10 realistik berbanding Litar Antarabangsa Suzuka di Jepun, menghasilkan semula ciri-ciri selekoh terkenal trek profesional.
Jangan takut untuk mencuba kerana ada sesi taklimat yang perlu diikuti sebelum dibenarkan berlumba di atas trek perlumbaan. Selesai berlumba, bolehlah mengelilingi taman tema ini untuk mencuba pelbagai permainan lain. Jika kamu suka membeli-belah, panjangkan langkah ke pusat beli-belah ‘outlet’ berjenama yang hanya terletak bersebelah. Untuk maklumat lanjut, kamu boleh layari laman web www.suzukacircuitpark.com
2) Kaohsiung Pier 2 Art Centre
Jika kamu suka bergambar dan meminati hasil-hasil seni, Kaohsiung Pier 2 Art Centre adalah untuk kamu. Tarikan yang dibangunkan di deretan gudang lama ini dipenuhi dengan mural berwarna-warni dan arca moden oleh artis tempatan.
Ada banyak ‘spot’ untuk bergambar, lebih-lebih lagi ia menghadap pelabuhan yang menjanjikan pemandangan matahari terbenam mengasyikkan. Selesai merakam memori, masuklah ke deretan kedai. Mana tahu ada yang berkenan di hati, boleh beli dan jadikan cenderamata untuk dibawa pulang.
Untuk ke sini, aksesnya mudah dengan menggunakan pengangkutan awam. Paling senang, gunakan MRT. Berhenti di Stesen Yanchengpu (stesen O2) susur keluar di pintu 1. Kemudian berjalan kaki selama lima minit di sepanjang Jalan Dayong dan kamu akan tiba di sini.
Jika menggunakan laluan oren, berhenti di Stesen Sizihwan (stesen O1) dan susur keluar di pintu 2. Berjalan sejauh dua minit di sepanjang laluan basikal laluan West Side Harbour Line dan kamu akan tiba di sini.
Lebih banyak maklumat boleh diperolehi di sini.
3) Pantai Cijin dan Rumah Api Kaohsiung
Percutian ke Kaohsiung tidak akan sempurna jika anda tidak singgah ke Pantai Cijin yang terletak kira-kira setengah jam dari pusat bandar Kaohsiung. Saya dimaklumkan pantai ini juga popular di kalangan penduduk tempatan yang mahu menghabiskan masa di hujung minggu atau hari-hari kelepasan umum.
Kamu boleh menyewa basikal untuk mengelilingi kawasan pantai ini jika tidak mahu berjalan jauh atau sekadar suka-suka untuk mencipta keseronokan. Cuma jangan terleka sehingga lupa untuk singgah sebentar ke Cijin Star Tunnel yang pernah menjadi laluan tentera semasa era penjajahan Jepun. Terowong ini bukan biasa-biasa kerana ia dihiasi dengan lampu-lampu dan lukisan yang bercahaya dan berwarna-warni.
Di penghujung terowong, anda akan dijamu dengan pemandangan indah lautan yang terbentang luas. Tak perlu berjalan jauh pun, mungkin 10 minit, itupun jika kamu tidak menghabiskan masa bergambar atau merakam video. Sebelum mengakhiri hari, bolehlah singgah ke Shoreline Coffee & Roaster yang terletak di Rumah Api Kaohsiung bagi menghilangkan dahaga dan menikmati manisan yang digemari.
Lagipun, kafe ini adalah satu-satunya kafe di Taiwan yang terletak di tapak rumah api. Sambil menikmati minuman, nikmati hembusan bayu sepoi-sepoi bahasa dan jamu mata dengan pemandangan Pelabuhan Kaohsiung yang mengagumkan. Untuk saat romantis, datanglah ke sini sebelum matahari terbenam.
Sedikit fakta yang mungkin anda ingin tahu ialah, Rumah Api Kaohsiung ini sering menjadi tumpuan pasangan pengantin merakam potret pra-perkahwinan. Selain itu, persiapkan diri dengan sedikit stamina untuk memanjat bukit!
4) Miaoli Old Mountain Line Rail
Antara tarikan terbaharu yang menanti di daerah Mioli. Kawasan yang dilatari pergunungan ini terletak kira-kira 3 jam dari Kaohsiung dan 2 jam dari bandaraya Taipei. Operasi kereta api lama ini berhenti pada tahun 1998. Hanya baru-baru ini ia telah diperbaharui oleh Kerajaan Daerah Miaoli untuk menjadi denai ‘basikal kereta api’ yang pertama di Taiwan.
Berbasikal di sepanjang laluan kereta api berusia lebih 100 tahun ini memang satu pengalaman indah kerana kamu berpeluang menikmati pemandangan panoramik Miaoli, termasuklah Stesen Shengxing dan Jambatan Longteng yang terkenal. Basikal kereta api elektik ini boleh memuatkan sehingga empat orang dalam satu gerabak dan keseluruhan masa yang diambil untuk pengembaraan ini adalah kira-kira satu jam 30 minit.
Terdapat dua persinggahan, satu di terowong berwarna-warni dan satu lagi di perkampungan Hakka, di mana kamu boleh membeli buah-buahan dan sayur-sayuran segar daripada strawberi hingga kacang tanah dan teh yang ditanam dari ladang belakang rumah. Dari kampung ini, bolehlah berjalan kaki untuk melihat Jambatan Lonteng yang runtuh akibat gempa bumi pada tahun 1935. Harga yang dikenakan ialah $3960 TWD untuk satu unit basikal keretapi.
5) Taoyuan Xpark
Boleh dijadikan persinggahan terakhir sebelum bertolak pulang. Ini kerana ia terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan Taiwan. Biarpun ia tidaklah seluas Aquaria KLCC, tetapi Taoyuan Xpark tidak rugi jika dilawati, lebih-lebih lagi jika anda bercuti dengan anak-anak. Dianggap sebagai salah satu akuarium terbesar di Taoyuan, lawatan ke sini memerlukan masa sekurang-kurangnya dua jam untuk lebih kepuasan. Apa tidaknya, setiap akuarium mempunyai hidupan marin yang cantik dan unik sehingga membuatkan kita terleka.
Paling mengasyikkan di kawasan pemulihan obor-obor. Liuk-lentuk spesis marin ini membuatkan diri terasa cukup damai dan tenang. Kerlipan lampu yang bertukar-tukar warna menyuntik mood yang lebih menawan. Selain itu, kamu juga boleh melihat keletah penguin, anjing laut dan beberapa spesis haiwan lain yang terlibat dengan pertunjukan haiwan secara langsung di teater persembahan yang terletak di bahagian luar.
Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.xpark.com
Jadi, tunggu apa lagi? Jomlah ke Taiwan. Bulan Mac hingga Mei adalah waktu terbaik untuk merancang perjalanan ke sana. Ini kerana pada waktu ini Taiwan berada dalam musim bunga. Dengan suhu yang tidak melebihi 25 darjah selsius, anda bebas ke sana sini dengan selesa.
Apa pandangan anda?