Mula-mula mendengar khabar yang Chloe bakal dibuka di Malaysia – di Kuala Lumpur – hati bagai menggelitik. Tak sabar rasanya menunggu kedatangan jenama asal Perancis ini yang sangat dikenali dengan estetika perempuan berjiwa bebas, adakalanya sedikit poetic dan begitu memahami kehendak perempuan semasa.
Apatah lagi rangkaian beg Chloe Nile yang menjadi kegilaan kami (our personal favourite!), akan ‘bertamu’ ke Malaysia, lagilah membangkitkan antisipasi. Bila ketahuan ia sudah dibuka secara rasminya minggu lepas, nampak gayanya… take all my money! Take it all! Dan ada satu lagi perkara yang mengujakan yakni pembukaan semula butik Bottega Veneta yang diberi wajah baharu. Yang kini ia lebih bersifat keterbukaan dan memperlihatkan produk-produknya dengan jelas.
Butik Pertama Chloe Di Kuala Lumpur!
Kedatangannya diiringi sekali himpunan musim luruh dingin 2020. Bernaung di bawah kumpulan Valiram, Chloe dengan bangganya diumumkan membuka butik pertamanya di Kuala Lumpur. Ia memilih lokasi Pavilion Kuala Lumpur sebagai penapakan butik pertamanya.
Butik Chloe ini berkeluasan 111 meter persegi, dengan estetika feminin yang mencerminkan kod maison mendasari rekaan bahagian dalamannya dan digabungkan lagi bersama elemen moden untuk mencelup rasa mewah buat mereka yang datang berkunjung. Bahagian ruang masuknya pula gah dengan binaan skrin gelas, mempamerkan segala yang terkandung di dalam butik tersebut. Ia mendekati aspek rekaan yang berteraskan sifat lapang, ketampakan jelas dan tidak berselindung.
Sungguhpun dalamannya terasa seperti luas, butik Chloe ini tidak mengabaikan faktor keintiman untuk memesrai ruang si pengunjung. Di mana ruang intim tersebut dihidupkan oleh binaan panel-panel melengkung pada perabot-perabotnya, yakni kerusi-kerusinya, yang turut membangkitkan nada sensual. Rona putih menyuasanai kelilingnya, ditambah lagi dengan palitan rona krim, kuning air juga merah jambu bak rona bunga mawar dan disempurnakan oleh pencahayaan lembut. Segala aspek rona dan pencahayaan ini melambangkan identiti Chloe.
Lekapan-lekapan di dalam butik ini pula diperbuat daripada logam loyang yang sinonim dengan butiran perkakasan pada beg-beg serta barang kemas rekaan Chloe.
Butik Bottega Veneta Yang Baharu
Diperbaharui dan diubah suai. Butik Bottega Veneta di Pavilion Kuala Lumpur telah diberi wajah baharu! Yang kini digelar the newly refurbished boutique!
Sudah hampir sembilan tahun dibuka di Pavilion Kuala Lumpur, butik Bottega Veneta kini tidak lagi seperti yang kita kenal – dahulunya berona kelabu dan perang gelap. Butik yang berwajah baharu ini (sama seperti Chloe), lebih bersifat keterbukaan, di mana dinding-dindingnya disimbah rona putih terang dan dihidupkan lagi dengan tekstur travertin Roman.
Itulah yang cuba dikecap. Dalam pada keluasan 1,579 kaki persegi, ia mahu menghubungkan pengunjung-pengunjung dengan konsep keringanan atau kecerahan. Tak mahu lagi ‘bersembunyi’. Apalagi semenjak Daniel Lee, selaku pengarah kreatif, sudah mula memandu jenama Bottega Veneta, segalanya kini diperbaharui. Selain memfokuskan pada dinding dan tema, butik Bottega Veneta yang diubah suai ini turut menumpukan perhatian pada lantainya yang diperbuat daripada reclaimed wood.
Manakala kayuan Oak yang pucat ronanya digunakan sebagai kemasan pada rak-rak dalam butik tersebut dan meja pameran yang dilengkapi permukaan gelas. Bahagian dalamannya yang berasaskan kemodenan ini diperkukuhkan lagi oleh elemen seperti kiub-kiub jeli berwarna-warni – kiub ini adalah meja pameran – serta tiang-tiang simen untuk memperagakan produk. Dan tak lupa juga kerusi-kerusinya yang menampilkan tekstur anyaman Intrecciato, bagi merai jati diri Bottega Veneta.
Apa pandangan anda?