Ramai rakyat Malaysia gemar membeli aksesori untuk kereta mereka. Macam-macam benda ada, baik yang bermanafaat, sekadar gaya, atau menambahkan prestasi. Namun begitu, satu aksesori yang paling bahaya dan yang kami hairan kenapa dijual tanpa segan silu, adalah dummy buckle, atau alat nyah aktif penggera tali keledar.
Ada sebab kenapa pengeluar kenderaan meletakkan bunyi penggera (‘beep’ / ‘chime’) sekiranya kamu tidak memakai tali pinggang keledar – keselamatan.
Malah, sekiranya kamu tidak tahu (kalau memang betul tak tahu, kamu tak layak memandu), pemakaian tali pinggang keledar ketika memandu adalah WAJIB. Tiada hukum lain dah. Namun begitu, masih ramai dil uar sana yang enggan memakainya.
Kamulah ‘dummy’ sebenar
Saya pernah melihat dengan mata kepala saya sendiri beberapa tabiat pelik berkaitan pemakaian tali pinggang keledar, antaranya ialah:
- Duduk, pakai tali pinggang keledar, lepas tu alih kan tali di bahagian tengah itu ke belakang
- Pakai tali pinggang keledar siap-siap, kemudian baru duduk
- Dah elok pakai tali pinggang keledar, tiba-tiba buka kerana alasan tidak selesa
- Pakai, tetapi sengaja membuatkannya longgar
Saya berharap kamu yang baca ini tidak melakukannya, tetapi jika salah satu daripada ini sudahpun menjadi kebiasaan kamu, tolonglah ubah mentaliti.
Kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang melibatkan 326 responden menunjukkan bahawa 12.9 peratus pemandu atau penumpang kenderaan pernah menggunakan dummy buckle.
Jika kamu rasa ini hanya setakat ujian tahun ini sahaja, kajian yang sama pada tahun lepas sejak 2017 dengan 1,000 responden mendapati 30 peratus daripada pemandu atau penumpang pernah menggunakan alat ini.
Kenapa mudah sangat nak beli dummy buckle?
Itulah yang kami sendiri di WapCar – BM hairan. Namun begitu, ini Malaysia, di mana golongan kayangan dan puak VIP selalunya “kebal” imuniti. Ini belum masuk lagi isu plat nombor ‘fancy’, alat kononnya jimat minyak tapi palsu semata-mata, minyak enjin palsu, dan pelbagai lagi yang lain.
Pihak MIROS sendiri pernah membangkitkan isu ini kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) agar jualan benda sebegini dihentikan, jadi kenapa mereka hanya diam seribu bahasa?
Ada pihak yang sedang mengaut untung dengan mengorbankan nyawa orang, ibarat situasi Covid-19 di Malaysia sekarang?
Ayat biasa yang rakyat kerap kali dengar adalah “kita perlu kaji dahulu”, atau “kita perlu tubuh jawatankuasa dahulu”. Bagi kami, perkara sebegini tidak perlu perbincangan yang panjang.
Lihat sahajalah contoh video-video yang menunjukkan akibat tidak memakai tali pinggang keledar.
Walaupun video ini adalah ujian simulasi sahaja, tetapi kes pemandu atau penumpang tercampak keluar ketika berlakunya kemalangan kerap kali terjadi. Dalam kes sebegini, amat jarang sekali salah satu daripadanya terselamat.
Baca juga: Kereta Paling Selamat di Jalan Raya Yang Boleh Kamu Beli
Susah sangat ke nak pakai tali pinggang keledar?
Adakah nilai nyawa kamu begitu murah, bawah RM 10 sahaja? Tahukah kamu bahawa tali pinggang keledar bekerjasama sekali dengan beg udara untuk menyelamatkan kamu sekiranya berlaku kemalangan? Jika tiada salah satu daripadanya, risiko untuk kamu terselamat berkurang dengan ketara.
Pada sesiapa yang kata “tak apa, kereta ada airbag, walaupun pakai dummy buckle”, kamu tahu tak yang beg udara itu sendiri boleh membunuh jika kamu tidak memakai tali pinggang keledar dengan sempurna? Haaa… jangan cakap kami tak bagitau.
Boleh kamu bayangkan, pengeluar kereta menghabiskan banyak masa, usaha, serta kajian untuk mengembangkan sistem keselamatan agar kamu kekal selamat ketika memandu, tapi sebab kamu menyampah dengan bunyi penggera tali keledar, kamu mempertaruhkan nyawa, semuanya dengan nilai bawah RM 10 sahaja.
Kalau beli kereta siap dengan sistem bantuan pemandu ADAS pun, ia tidak akan membantu.
Jangan beli/ boikot dummy buckle
Harapan saya pada masa kini dan akan datang ialah jadilah orang yang bertanggungjawab, berhemah, dan berakal ketika memandu demi diri sendiri.
Kamu kena ingat, kita semua berkongsi jalan raya, jika kamu terlibat dalam kemalangan, kamu dah menyusahkan orang lain. Jika kamu tahu rakan-rakan atau ahli keluarga yang menggunakan dummy buckle ini, nasihati lah mereka.
Sekiranya kamu melihat platform vendor e-dagang menjualnya, kamu boleh memilih untuk tidak menyokongnya, atau lebih baik lagi, buat laporan. Saya pasti jika tiada siapa yang nak membeli benda bodoh ini, penjualan juga akan berhenti.
Sekiranya kamu tidak memahami betapa pentingnya pemakaian tali pinggang keledar ketika memandu, maka kamu sebenarnya tidak layak mendapat lesen memandu, dan hak istimewa untuk memiliki kereta. Ubahlah.
Artikel ini ditulis oleh Zamil Syaheer untuk WapCar
Apa pandangan anda?