Dalam entri kali ini, kami ingin menjawab satu soalan yang diajukan oleh pembaca WapCar.my: “Apakah cara terbaik untuk pandu turun bukit menggunakan kereta automatik?” Guna gear D atau N?
Kami sudahpun kupas tentang bagaimana brek enjin berfungsi dalam entri terdahulu dan ia boleh diaplikasikan pada semua jenis kotak gear.
Oleh itu, kami tidak akan bincangkan butiran teknikal secara terperinci bagi pemanduan turun bukit di sini.
Sebaliknya, kami akan jelaskan perkara yang harus dan tidak harus dilakukan ketika memandu turun bukit berfokuskan kereta bertransmisi automatik, walaupun prinsip yang sama boleh diaplikasikan pada kebanyakan jenis transmisi yang lain.
Harus
Perkara pertama yang harus anda beri perhatian ialah sentiasa pilih gear rendah apabila memandu turun bukit. Kebiasaannya, anda boleh lihat pilihan ‘L’ atau ‘2’ (kadangkala ‘S’) pada pilihan gear kereta kamu. Pada tuas itu pula ada satu butang kecil untuk ‘Overdrive off’.
Semakin rendah gear kamu, semakin berkesan brek enjin kereta untuk memperlahankan kereta. Ini akan mengurangkan beban pada sistem brek kereta.
Di dalam kereta yang dilengkapi ‘paddle shift’, kamu cuma perlu pilih gear 2 atau 3 supaya kamu dapat efek brek enjin yang mencukupi bagi memandu turun bukit dengan selamat. Ini bermaksud kamu tak boleh bergantung pada brek enjin semata-mata untuk turun dengan selamat.
Kamu mungkin pernah dengar beberapa pemandu berlagak yang mereka tak tekan brek pun ketika memandu turun bukit. Anggap sajalah kata-kata itu auta semata-mata.
Perkara paling penting yang kamu perlu pelajari ialah cara untuk membrek secara efisien dan berkesan. Maksudnya, tekan brek hanya bila perlu dan aplikasikan tekanan brek yang optimum bagi memperlahankan kereta.
Memandangkan brek enjin kereta kamu sudahpun membantu dalam memperlahankan kereta, penggunaan brek kaki kamu juga boleh dilaras mengikut keperluan.
Contohnya, lebih baik jika pijak pedal brek dengan tekanan kuat selama 3 saat daripada memijak pedal brek dengan tekanan sederhana selama 5 saat.
Memendekkan masa antara satu-satu brek membolehkan brake pad dan rotornya untuk menyejuk antara pijakan. Secara kumulatifnya, ini akan mengelakkan sistem brek kamu daripada ‘overheat’ atau terlampau panas terlalu awal.
Tidak Harus Guna Gear D Atau N Turun Bukit
Kamu tak sepatutnya memandu turun bukit dengan gear ditinggalkan pada ‘D’. Dalam mode ini, pemetaan transmisi kamu dilaraskan bagi penjimatan bahan api dan transmisi kamu akan memilih gear paling tinggi sepantas mungkin.
Akibatnya, brek enjin anda tidak dapat berfungsi dengan efektif bagi memperlahankan kereta.
Jangan pandai-pandai guna ‘N’ ketika turun bukit. Jika ia pada ‘D’, sekurang-kurangnya ia masih ada brek enjin walau sipi-sipi sahaja. Jika kamu gunakan ‘N’, kamu sebenarnya memisahkan enjin daripada sistem transmisi kereta secara keseluruhannya = tiada langsung brek enjin.
Hasilnya? Brek kereta kamu dibiarkan menanggung keseluruhan berat kereta termasuklah pemandu, penumpang, dan beban yang dibawa. Kalau nak brek jahanam cepat, silakan.
Satu lagi perkara yang harus dielakkan ialah menekan brek secara berterusan sambil kereta bergerak. Selalunya, inilah punca brek terlebih panas atau ‘overheat’.
Ramai pemandu tak sedar apabila mereka memijak pedal brek lama-lama dan pada masa yang sama tidak meletakkan tekanan yang mencukupi sambil kereta masih berjalan. Ini satu tabiat yang boleh menjahanamkan sistem brek kereta kamu dengan cepat.
Sentiasa pastikan kereta kamu diselenggara dan dalam kondisi baik sebelum dibawa memandu turun-naik bukit. Bagi penjagaan sistem brek pula, pastikan tahap cecair brek kamu mencukupi dan brake pad serta rotor masih lagi boleh digunakan.
Jika kereta kamu boleh bergerak seperti biasa, tak ada masalah. Masalah besarnya ialah apabila kereta kamu tak boleh berhenti.
Artikel ini ditulis oleh Mersita untuk WapCar.
Apa pandangan anda?