Posted on March 16, 2021
Ramai yang sedar akan khasiat ginseng. Ia adalah salah satu tumbuhan herba yang popular di seluruh dunia. Tetapi apakah benar ginseng rawat diabetes?
Sudah beribu tahun lamanya ginseng digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit terutamanya jika ia berkait dengan masalah kelesuan, stres dan sebagainya.
Apa yang mungkin kamu tidak tahu adalah, ginseng juga sering digunakan untuk mengawal gula dalam darah, memperbaiki aliran darah, memperkuatkan imuniti badan dan meningkatkan tahap kerintangan badan terhadap stres.
Lebih menarik, jika digunakan oleh pesakit diabetes, herba ini mampu memberikan kebaikan dalam konteks kawalan gula pesakit.
Baca artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Kaya dengan antioksidan, khasiat ginseng rawat diabetes
Antioksidan adalah kompaun yang sering menjadi perhatian pengguna di seluruh dunia.
Ia boleh membantu menurunkan kadar kemusnahan sel akibat daripada aktiviti molekul radikal bebas dan mempunyai sifat anti kanser.
Ginseng mengandungi kompaun antioksidan yang dikenali sebagai ginsenosida.
Ia berupaya untuk menurunkan kadar tekanan oksidatif dan keradangan sel yang kebiasaannya dialami oleh mereka yang menghidap masalah kencing manis.
Oleh sebab itulah ginseng pernah menarik minat pengkaji yang ingin mencari penawar kepada masalah kencing manis.
Terdapat pelbagai kajian telah dijalankan bagi mengenal pasti khasiat ginseng dalam rawatan kencing manis.
Kajian metaanalisis 2014
Kajian pada 2014 meninjau semula 16 kajian berbeza yang memfokuskan kaedah pengambilan subjek bersifat rawak dengan tempoh kajian melebihi 30 hari.
Subjek diambil dalam kalangan pesakit kencing manis dan individu sihat.
Keputusan menunjukkan mereka yang mengambil ginseng mempunyai paras gula di dalam darah yang lebih stabil berbanding dengan kumpulan kawalan.
Walau bagaimanapun, herba tersebut tidak menunjukkan kesan ketara pada kawalan A1C (sejenis darah yang membawa gula), insulin semasa berpuasa atau tahap kerintangan insulin.
Kajian metaanalisis 2016
Kajian ini melibatkan tinjauan terhadap 8 kajian yang membuktikan khasiat ginseng terhadap program rawatan bagi pesakit yang menghidap masalah kencing manis jenis 2.
Antara kebaikan yang terbukti melalui kajian-kajian tersebut:
- Kawalan gula dalam darah semasa berpuasa yang baik.
- Kawalan insulin selepas makan yang baik.
- Penurunan pada tahap kerintangan insulin.
Walau bagaimanapun, implikasi penggunaan ginseng terhadap paras A1C masih tidak menunjukkan kesan yang ketara.
Kajian tersebut turut menemui khasiat ginseng lain seperti kawalan trigliserida, kolesterol dan lipoprotein berketumpatan rendah yang baik dalam kalangan pengguna.
Kajian 2019 berkaitan khasiat ginseng
Kajian pada 2019 menunjukkan penggunaan ginseng boleh meningkatkan fungsi endotelial (lapisan dalam salur darah).
Mereka yang mengambil ginseng bersama dengan ubat kencing manis seperti metformin mempunyai tekanan darah sistolik rendah, paras lipid di dalam darah yang rendah serta peningkatan pada paras penghasilan nitrik oksida.
Perubahan pada paras bagi parameter tersebut memberi implikasi bahawa penggunaan ginseng boleh melindungi pesakit diabetes daripada masalah kardiovaskular.
Kontraindikasi dan kesan sampingan ginseng
Jangan ingat pengambilan herba tiada kesan sampingan! Ia sejenis rawatan yang boleh mempengaruhi fungsi pelbagai jenis organ dan sistem di seluruh badan.
Setakat ini, kesan ginseng terhadap ibu hamil dan janin yang sedang membesar masih lagi tidak diketahui.
Maka mereka tidak digalakkan untuk mengambil herba tersebut.
Jika kamu mengambil ubat cair darah, kamu mungkin perlu merujuk kepada doktor sebelum menggunakan sebarang suplemen yang mengandungi ginseng.
Ia berikutan herba tersebut boleh mempengaruhi keupayaan darah untuk membeku.
Mereka yang mempunyai masalah ketumbuhan sensitif hormon (seperti kanser payudara) atau keadaan sensitif hormon seperti endometriosis juga tidak digalakkan mengambilnya.
Antara kesan sampingan yang boleh dialami oleh mereka yang mengambil ginseng adalah:
- Insomnia
- Keresahan
- Cirit-birit
- Sakit kepala
Jika kamu mengambil ubat kencing manis seperti insulin dan beberapa jenis pil seperti glimepiride, glyburide dan glipizide, kamu perlu merujuk kepada doktor terlebih dahulu.
Ia berikutan interaksi di antara ginseng dan ubatan tersebut boleh menyebabkan masalah hipoglisemia (paras gula di bawah normal).
Ginseng rawat diabetes
Walaupun ginseng terbukti berkesan untuk mengawal paras gula dalam kalangan pesakit diabetes, penggunaannya perlu dipantau oleh doktor perubatan.
Ia berikutan herba tersebut boleh berinteraksi dengan ubat kencing manis sehingga menyebabkan kesan sampingan yang boleh mengancam nyawa.
Jika kamu mempunyai persoalan berkaitan dengannya, ajukan kepada doktor perubatan bertauliah untuk khidmat nasihat kesihatan.
Untuk lebih banyak artikel sebegini lawati Hello Doktor
Apa pandangan anda?