Perut buncit dan menggeleber? Malulah, kan! Eh, bagaimana caranya hilangkan spare tyre perut.
Tidak dinafikan, perut buncit merupakan masalah yang dialami kebanyakan orang. Tetapi, apakah sebab utama perut buncit?
Perut buncit boleh berlaku disebabkan beberapa faktor.
Cuba ingat balik, bilakah kali terakhir kamu bersenam? Bukan itu sahaja, tekanan perasaan dan juga diet tidak seimbang juga boleh membuatkan perut kembung dan buncit.
Tetapi, tahukah kamu bahaya sebenar perut buncit dan apa bezanya dengan perut kembung? Jom ikuti penjelasan kami di dalam artikel ini untuk tahu lebih lanjut.
Perut buncit dan perut kembung, apa bezanya?
Perut kembung berlaku apabila bahagian abdomen rasa penuh disebabkan gas.
Punca sebenar perut kembung ialah sembelit. Malah, ramai orang yang tidak tahu mereka sebenarnya mengalami sembelit sehinggalah mereka berjumpa doktor.
Antara tanda-tanda sembelit yang perlu diperhatikan adalah terpaksa meneran ketika membuang air besar.
Selain itu, tinja yang nampak seperti batu-batu kecil juga antara tanda penyakit ini.
Sembelit boleh menyebabkan perut sakit dan kembung. Malah, lebih lama tinja berada di dalam usus besar, lebih banyaklah gas yang akan dilepaskan oleh bakteria melalui proses fermentasi.
Perut buncit pula berlaku disebabkan lemak visceral, sejenis lemak degil yang mengelilingi organ pada kawasan abdomen.
Lemak visceral dapat meningkatkan risiko penyakit metabolik seperti diabetes, penyakit hati berlemak, sakit jantung, PCOS dan juga apnea tidur.
Menurut Dr. W. Scott Butsch dari Cleaveland Clinic, perut buncit mempengaruhi lelaki dan perempuan dengan cara yang berbeza.
Lelaki lebih berisiko mengalami masalah perut buncit berbanding wanita. Namun, setelah mencecah menopaus, wanita akan mengalami penambahan berat yang mendadak di sekeliling kawasan abdomen.
Sebab utama perut kembung dan buncit
‘Spare tyre’ yang terbentuk pada perut bukan berlaku dengan sekelip mata.
Perut buncit selalunya berlaku apabila lemak mula terkumpul pada kawasan abdomen dan menyebabkan perut membuncit.
Tetapi, perut buncit sukar untuk dihilangkan. Malah, ia mungkin makan masa bertahun-tahun untuk kembali kurus. Sebab utama perut menjadi buncit adalah:
1. Diet tidak seimbang
Salah satu punca perut buncit adalah pengambilan makanan yang manis seperti kek, gula-gula, minuman berkarbonat dan sebagainya.
Pengambilan makanan sebegini bukan sahaja akan menyebabkan perut kembung dan buncit, malahan ia juga membuat berat badan bertambah dan memperlahankan metabolisme badan.
Selain itu, pernah tak dengar tentang rintangan terhadap leptin? Sel lemak pada badan kita akan melepaskan sejenis hormon yang dikenali sebagai leptin.
Leptin akan memberitahu otak kita – jika kita memiliki simpanan lemak yang cukup dalam tubuh – kita tak perlu makan dan boleh membakar kalori pada kadar normal.
Jika kamu mengalami rintangan terhadap leptin, kamu akan rasa lapar sepanjang masa dan banyak makan!
2. Tidur tidak cukup punca perut buncit
Bukan makan sahaja yang boleh menyebabkan perut buncit, tidak cukup tidur juga mempunyai efek yang sama!
Kajian yang dimuatkan di dalam Journal of Clinical Sleep Medicine mengaitkan masa tidur yang pendek dengan penambahan berat badan.
Malah, tidak cukup tidur juga boleh membuatkan kamu makan secara tidak sihat lebih-lebih lagi jika makan pada waktu tengah malam.
Jika kamu sering makan lewat malam, ketahuilah bahawa risiko untuk menghidap diabetes dan juga perut buncit akan meningkat!
3. Kurang melakukan senaman
Semua orang tahu kepentingan senaman yang mencukupi. Tanpa senaman, tidak mungkin kita akan mendapat bentuk badan yang diidam-idamkan.
Jika kamu mengambil lebih banyak kalori daripada yang badan kamu bakar setiap hari, sudah tentulah berat badan akan meningkat.
Malah, gaya hidup yang tidak sihat juga menyukarkan pembuangan lemak berlebihan, terutamanya pada kawasan keliling pinggang.
4. Perut buncit disebabkan tekanan
Apa agaknya yang kebanyakan kita akan lakukan jika stres? Makan!
Tapi, sebelum kamu membeli apa-apa makanan segera untuk melegakan tekanan, ingatlah bahawa amalan ini bukan sahaja tidak baik untuk kesihatan, malahan ia juga akan menyebabkan perut kembung dan buncit!
Hilangkan Spare Tyre Perut
Bukan mudah untuk hilangkan spare tyre perut, lebih-lebih lagi jika kamu sudah bertahun-tahun buncit dan tidak melakukan senaman dengan kerap.
Walau bagaimanapun, dengan perubahan gaya hidup, tidak mustahil kamu boleh kekal sihat dan tampil bergaya dengan perut yang kempis.
Pertama sekali, kamu perlulah makan dengan sihat. Elakkan makanan bergula dan mempunyai karbohidrat yang tinggi. Kemudian, cuba bersenam dengan lebih kerap.
Amalkan senaman seperti yoga atau lakukan meditasi untuk menangani stres yang dialami. Selain itu, tidur yang cukup juga penting untuk mengelakkan masalah perut kembung dan buncit!
Akhir sekali, lakukanlah pemeriksaan doktor jika runsing dengan kondisi tubuh badan kamu.
Berbincanglah dengan doktor berkenaan ujian apa yang paling sesuai untuk kamu lakukan berdasarkan gaya hidup serta sejarah keluarga.
Artikel ini ditulis untuk Hello Doktor
Apa pandangan anda?