Baru dua bulan dilancarkan di Indonesia, Honda City Hatchback telahpun berjaya mencantas kedudukan Toyota Yaris bagi kategori hatchback di segmen B. Walaupun jualannya baru sahaja bermula April lepas, Honda City Hatchback laris di Indonesia dan dengan santainya mengungguli carta yang selama ini diterajui oleh Toyota Yaris.
Dengan jualan sebanyak 788 unit pada April yang lalu, City Hatchback jauh meninggalkan Toyota Yaris yang hanya terjual sebanyak 241 unit sahaja. Dengan jualan sebanyak 462 unit pula, Suzuki Baleno juga berjaya melepasi kedudukan Toyota Yaris. Malah, ia hampir 2 kali ganda lebih laris daripada Toyota Yaris. Menarik kan?
Sebelum impak Honda City Hatchback bermula, pasaran hatchback segmen B di Indonesia dijulang oleh Toyota Yaris. Perkara ini dapat dilihat sendiri pada analisis untuk bulan Mac yang mana jualan Toyota Yaris sebanyak 1,020 unit jauh menjuarai carta.
Malangnya, jualan Mazda 2 Hatchback kekal di belakang Suzuki Baleno, Toyota Yaris dan juga Honda City Hatchback. Perkara ini mungkin disebabkan faktor saiz, harga, dan usia model itu sendiri.
Apa yang kita dapat lihat di sini ialah Honda City Hatchback laris dan diterima dengan begitu baik di negara-negara jiran. Dengan itu, kehadirannya di pasaran Malaysia pasti dinantikan oleh ramai pembeli yang berminat dengan hatchback di segmen B.
Artikel ini ditulis oleh Faisal untuk WapCar
Apa pandangan anda?