Posted on September 1, 2021
Kebelakangan ini, penggunaan ivermectin, sejenis ubat anti parasit yang digunakan untuk haiwan menjadi trending dan viral di laman sosial. Ivermectin rawat COVID-19? Ia didapati amat berkesan dalam menurunkan kes COVID-19 di negara India.
Walaupun begitu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melarang keras penggunaan ivermectin untuk merawat COVID-19. Hanya penggunaan ivermectin untuk kajian klinikal sahaja dibenarkan.
Bukan itu sahaja, keputusan yang sama juga dikeluarkan oleh badan-badan besar seperti European Medicine Agency (EMA), Food and Drug Administration (FDA) dan United States National Institute of Health (NIH).
Walaupun telah ditegah, ada juga yang percaya ubat ini tidak diluluskan ‘atas sebab-sebab tertentu’. Jadi, semakin ramailah rakyat Malaysia yang bertindak mendapatkan ubat ajaib ini untuk ahli keluarga mereka yang menghidap COVID-19.
Tetapi, benarkah ubat ini mempunyai keberkesanan seperti yang digembar-gemburkan? Mari ikuti kupasan kami mengenai penggunaan ivermectin dan hakikat sebenar di sebalik ubat ajaib ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.
Bolehkah ivermectin rawat COVID-19?
FDA tidak meluluskan penggunaan ivermectin untuk mencegah COVID-19 dalam kalangan manusia kerana ubat ini bukanlah ubat antivirus. Malahan, pengambilan dos yang tinggi boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius.
Ubat antiparasit ini juga hanya digunakan untuk haiwan seperti lembu dan kuda. Sehingga hari ini, belum ada ivermectin yang diluluskan penggunaannya untuk manusia.
Jangan lupa, ubat yang diformulasi khas untuk haiwan hanya boleh digunakan oleh haiwan sahaja. Disebabkan ivermectin digunakan dengan meluas untuk kegunaan veterinar, ia murah dan boleh didapati dengan mudah.
Selain itu, ivermectin yang digunakan untuk haiwan juga mempunyai cara penyediaan yang berbeza. Untuk haiwan, ivermectin digunakan untuk merawat cacing jantung (heartworm) dan juga beberapa jenis parasit.
Selain itu, ivermectin untuk haiwan juga selalunya mempunyai dos yang tinggi kerana ia digunakan untuk merawat binatang yang bersaiz besar dan mempunyai berat yang mungkin 3 atau 4 kali ganda daripada manusia.
Jika tersilap makan, dos yang tinggi ini boleh menjadi toksik kepada manusia!
Tetapi, ada kajian yang sokong ivermectin rawat COVID-19!
Benar, namun, kajian ini telah ditarik balik disebabkan beberapa isu.
Kajian bertajuk Efficacy and Safety of Ivermectin for Treatment and prophylaxis of COVID-19 Pandemic yang telah dimuat naik ke dalam laman sesawang Research Square pada November lalu telah ditarik balik disebabkan ‘pelanggaran etika’.
Bukan itu sahaja, kajian yang ditulis oleh Dr. Ahmed Elgazzar dari Benha University ini juga didapati telah menciplak hasil tulisan orang lain.
Menurut seorang pelajar perubatan yang dikenali sebagai Jack Lawrence, ada banyak lagi masalah yang terdapat di dalam kajian tersebut.
Sebagai contoh, pengarang dikatakan telah menjalankan kajian tersebut ke atas individu berusia 18 hingga 80 tahun, namun 3 orang pesakit di dalam kajian didapati berusia kurang daripada 18 tahun.
Selain itu, datanya juga didapati tidak tepat dan tidak seragam.
Dalam kajian tersebut, pengarang juga mendakwa 4 daripada 100 pesakit meninggal dunia setelah mendapat rawatan standard untuk COVID-19 bagi kes yang ringan dan sederhana.
Walau bagaimanapun, data asal menunjukkan jumlah pesakit yang meninggal dunia adalah 0, sama dengan data untuk kumpulan pesakit yang menerima rawatan ivermectin untuk COVID-19.
Untuk kes COVID-19 yang serius pula, pengarang mendakwa 2 orang pesakit meninggal dunia setelah dirawat dengan ivermectin. Hakikatnya, bilangan yang sebenar ialah 4 orang.
Kesimpulannya, kajian ini sebuah penipuan dan tidak boleh dipercayai. Besar kemungkinan data yang digunakan juga adalah palsu.
Namun, ramai yang tertipu dengan kajian yang dilakukan oleh Elgazzar kerana keputusannya yang amat positif – 90% pengurangan kematian – setelah penggunaan ivermectin.
Adakah ivermectin mempunyai kesan sampingan?
Seperti ubat-ubatan lain, penggunaan ivermectin juga mempunyai kesan sampingannya yang tersendiri. Antaranya:
- Sakit otot dan sendi.
- Rasa letih dan lemah.
- Kulit gatal dan naik ruam.
- Pening kepala.
- Loya, muntah-muntah dan rasa tidak sedap perut.
- Bengkak pada kawasan muka atau kaki.
- Serangan asma yang menjadi semakin teruk.
Kesan sampingan ini selalunya berlaku akibat reaksi badan terhadap parasit yang mati. Ia juga bersifat sementara dan akan pulih.
Walau bagaimanapun, kesan sampingan yang sementara tidak bermaksud penggunaan ivermectin benar-benar selamat. Ini tanggapan yang salah dan tidak betul!
Mengambil sebarang ubat-ubatan yang tidak diluluskan amat berbahaya. Jika ivermectin bertindak balas dengan ubat-ubatan lain, ia boleh menyebabkan kesan sampingan yang teruk.
Bukan itu sahaja, pengambilan ivermectin dengan dos yang tinggi boleh menyebabkan kematian!
Kesimpulan
Sebagai rakyat yang cakna, elakkan percaya secara semberono terhadap semua informasi yang anda dapati di media sosial.
Dahulu, muncul juga beberapa teknologi ‘baharu’ yang dikatakan boleh mencegah COVID-19. Tetapi, semuanya tidak betul dan tidak mempunyai sebarang sokongan dari segi saintifik.
Masih terlalu awal untuk menyimpulkan penggunaan ivermectin boleh menyembuhkan COVID-19. Berdasarkan kajian yang sedia ada, semua dapatan masih belum cukup untuk menyokong kenyataan tersebut.
Bukan itu sahaja, fikirlah mengenai bahaya ubat tersebut sebelum mengambilnya. Kesan sampingan ubat ini juga serius dan boleh membawa maut.
Daripada mengambil ivermectin, lebih baik kita teruskan pengambilan vaksin yang dapat mencegah jangkitan dan juga hospitalisasi disebabkan COVID-19.
Artikel ini ditulis oleh Fatin Zahra untuk Hello Doktor
Apa pandangan anda?