Memandangkan PKP 3.0 telah dikuatkuasakan, kami terpaksa menangguh rancangan untuk perjalanan jarak jauh bersama Perodua Ativa kami. Hampir semua ahli pasukan WapCar telah memandu Cik Tiva dan setakat ini, khidmatnya cukup memuaskan. Walaupun kami anggap Ativa sebagai kereta Perodua paling bagus setakat ini, masih ada beberapa perkara yang kami kurang gemari dan ia perlu ditambahbaik. Kali ini, kami ingin kupas satu-persatu kekurangan Perodua Ativa setelah dua bulan memiliki.
1. Ia tidak cekap/jimat minyak seperti yang dikatakan
Kami sudahpun memandu Ativa lebih 4,000 kilometer setakat ini, dan kami dapati bahawa enjin 1.0L turbo Ativa bukanlah secekap atau jimat petrol seperti yang dinyatakan.
Stiker EEV-nya bertulis “5.3 liter/100km”, namun kami belum lagi dapat angka yang hampir dengan ini setelah beberapa bulan memandu Ativa kami.
Setakat ini, kami hanya mampu mendapat bacaan purata 7.5 liter/100 km. Dalam kondisi pemanduan yang paling konservatif, kami mampu mencapai 6.76 liter/100 km.
Malangnya, Ativa tidak dapat menandingi hasil ujian penggunaan minyak kami pada enjin 1.0L turbo Nissan Almera iaitu 5.8 liter/100 km.
Berdasarkan ujian penggunaan minyak kami, Ativa juga kalah dengan kereta berenjin lebih besar tanpa turbo seperti Honda City (6.3 liter/100 km) serta Toyota Vios (6.5 liter/100 km).
Kami tidak tahu standard ujian yang mana satu digunakan bagi mencapai prestasi 5.3 liter/100 km berkenaan.
Walaupun ketika memandu, kami dapat rasakan yang Ativa membakar lebih banyak petrol. Pada kelajuan lebuh raya (sekitar 110 – 130 km/jam), enjin 1.0 liter Ativa ‘rev’ pada tahap hampir 3,000 rpm.
Ativa sememangnya mempunyai enjin yang tangkas atau ‘punchy’, dipadankan pula dengan kotak gear yang bagus. Namun, jika kecekapan minyak adalah salah satu perkara penting bagi kamu, Ativa mungkin menghampakan.
2. Tiada pelaras stereng teleskopik
Pelaras stereng teleskopik amat berguna bagi mendapatkan posisi pemanduan ideal kamu. Namun malangnya, Ativa tidak didatangkan dengan perincian ini.
Oleh itu, kamu terpaksa menarik tempat sandar ke depan sedikit supaya lengan kamu boleh mencapai stereng dengan elok dan selesa.
Ada antara kami yang berbadan tinggi dengan kaki panjang – disorong kerusi ke belakang untuk meluaskan ruang kaki namun lengan pula yang terpaksa diregang lurus. Akhirnya, terpaksalah duduk menegak – agak payah untuk dapatkan posisi pemanduan yang betul-betul selesa.
Kami sudah agak selesa dengan kehadiran pelaras stereng teleskopik di dalam Proton X50 dan Honda City. Selain daripada Ativa, antara contoh kereta lain yang tiada perincian ini adalah Toyota Vios dan Proton Persona.
3. Suspension tidak menimbulkan keyakinan, dan terasa hampir terpencil
Jika kamu baca artikel-artikel kami yang terdahulu, kamu mungkin sudah maklum yang kami pernah memuji suspensi Ativa. Ia amat mengagumkan pada rebiu awal kami dengan kereta media dan kekaguman itu kekal ada pada beberapa minggu pertama pemilikan kami.
Walau bagaimanapun, perasaan itu kekal ada selagi Ativa dipandu di kawasan urban. Apabila dipandu di jalan raya berombak, Ativa terasa melayang-layang. Kamu perlu memandunya dengan lembut supaya Ativa boleh menempuh jalan tidak rata dengan selesa.
‘Rebound’-nya perlahan dan walaupun perasaan ‘terapung’ cukup selesa untuk meluncur perlahan, ia agak menakutkan sedikit jika kamu mahu pandu dengan lebih laju di atas permukaan mencabar.
Namun, kami masih lagi beranggapan yang ini ialah model Perodua paling selesa setakat ini. Jika suspensinya lebih keras sedikit, ia mungkin membantu untuk mengimbangi kekurangan ini.
4. Tiada Android Auto atau Apple CarPlay
Sambungan telefon bimbit yang bagus patut ada di dalam kereta ‘entry level’ varian paling tinggi pada masa kini. Skrin terapung di dalam Ativa dah nampak cantik, ia cuma perlukan sambungan Android Auto/Apple CarPlay untuk duduk setara dengan pesaing-pesaingnya.
5. ‘Tonneau cover’ agak menyukarkan proses memasukkan barang/muatan
‘Tonneau cover’ Perodua Ativa memang cekap ruang pada pandang pertama. Ia tidak memakan ruang ketika dipasang ataupun ketika dicabut dan disimpan.
Walau bagaimanapun, setelah menggunakan kereta ini sekian lama, ia sebenarnya menyusahkan sedikit.
Mengapa?
Ia tidak terangkat sekali dengan pintu but (tailgate) seperti para (parcel shelf) kereta hatchback, dan ia sukar untuk ditarik balik seperti yang ada pada SUV lebih besar.
Katakan kamu perlu menyusun beberapa item di dalam but Ativa. ‘Tonneau cover’nya perlu ditanggalkan terlebih dahulu untuk memudahkan kerja. Nak tanggalkan memang senang, namun kamu perlu sedikit latihan untuk melipatnya dengan kemas.
Jika ia tidak ditanggalkan, bukaan but jadi kecil dan ia menyukarkan proses memasukkan muatan ke dalam but.
Mungkin kamu fikir yang kami terlalu memilih, namun itulah pengalaman kami setakat ini. ‘Tonneau cover’ Ativa cukup hebat dalam menjimatkan ruang, namun rekaannya tidak begitu sesuai jika dibandingkan dengan yang lain.
Kekurangan Perodua Ativa
Setakat ini, itulah kekurangan yang kami kesan sebagai pemilik Perodua Ativa selama beberapa bulan. Pada mulanya, kami ingin masukkan sekali bunyi bergetar di bahagian brek dram belakang sebelah kanan ke dalam senarai kali ini, namun kami masih beri peluang untuk Perodua betulkan isu ini.
Selain daripada perkara-perkara yang telah kami senaraikan, kebanyakan aspek lain bagi Ativa masih boleh diterima. Kami masih lagi menganggapnya sebagai kereta Perodua paling bagus setakat ini, dan pastinya apa-apa jenis model sekalipun ada “room for improvement”.
Pengumuman berkaitan PKP 3.0 baru-baru ini mungkin mengekang kami dari membuat pelbagai ujian untuk Ativa. Namun, kami masih lagi ada beberapa aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang PKP kali ini dan kami akan kongsikan di dalam entri akan datang.
Purata penggunaan minyak/petrol Ativa kami setakat ini:
Bacaan meter FC (fuel consumption) Perodua Ativa | ||
---|---|---|
Bacaan odometer ketika isian semula | Bacaan FC ‘onboard’ | |
20 km | – | – |
421 km | 13 km/l | 7.69 l/100 km |
740 km | 12 km/l | 8.33 l/100 km |
1,032 km | 14.8 km/l | 6.76 l/100 km |
1,453 km | 13.2 km/l | 7.57 l/100 km |
1,750 km | 11.9 km/l | 8.40 l/100 km |
1,976 km | 12.5 km/l | 8.00 l/100 km |
2,200 km | 12.6 km/l | 7.94 l/100 km |
2,577 km | 12.8 km/l | 7.81 l/100 km |
2,826 km | 9.6 km/l | 10.41 l/100 km |
3,217 km | 14.1 km/l | 7.09 l/100 km |
3,490 km | 13.1 km/l | 7.63 l/100 km |
3,873 km | 13.4 km/l | 7.46 l/100km |
4,191 km | 12.2 km/l | 8.19 l/100 km |
4,592 km | 12.7 km/l | 7.87 l/100 km |
4,956 km | 12.3 km/l | 8.13 l/100 km |
Artikel ini ditulis oleh Mersita untuk WapCar.
Apa pandangan anda?